Pengerusi TSMC, C.C. Wei, menegaskan kedudukan syarikat itu dalam industri foundri global masih kukuh dan percaya pesaingnya masih belum mampu mencabar penguasaan TSMC. Ketika ditanya sama ada Samsung Electronics mampu memintas TSMC pada masa hadapan, Wei menyifatkan perkara itu sebagai “mimpi” sambil menegaskan Taiwan mempunyai kelebihan ekosistem semikonduktor yang dibangunkan selama beberapa dekad.
Menurut beliau, walaupun Korea Selatan mendominasi pengeluaran memori HBM, teknologi pembungkusan cip termaju masih dikuasai TSMC dan tidak mudah ditandingi dalam masa singkat. Data TrendForce menunjukkan TSMC menguasai 69.9% pasaran foundri global pada 2025, jauh meninggalkan Samsung dengan pegangan 7.2%.
Jurang antara kedua-dua syarikat itu turut meningkat daripada 55 mata peratusan pada 2024 kepada 62.7 mata peratusan tahun lalu. Dalam perkembangan sama, Wei menjangkakan permintaan berkaitan AI akan terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang yang meningkatkan permintaan terhadap cip berprestasi tinggi.
Beliau turut mengekalkan unjuran pertumbuhan hasil TSMC melebihi 30% tahun ini serta menjangkakan perbelanjaan modal syarikat mencecah sehingga AS$56 bilion. Menurutnya, permintaan pelanggan ketika ini masih melebihi kapasiti pengeluaran sedia ada menyebabkan TSMC terus memperluaskan operasi di Taiwan dan Jepun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Taiwan akan kekal sebagai pangkalan pengeluaran paling penting bagi syarikat itu. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Edaily

