Site icon TechNave BM

Tukar MyKad baharu? MyDigital ID tak perlu daftar semula

MyDigital ID mengumumkan bahawa pengenalan MyKad generasi baharu tidak akan menjejas fungsi atau penggunaan platform identiti digital berkenaan. Pengguna yang memiliki kad pengenalan versi terkini masih boleh menggunakan sijil MyDigital ID sedia ada seperti biasa tanpa sebarang masalah.

Untuk pengetahuan, pendaftaran MyDigital ID dalam talian menggunakan MyKad baharu boleh dibuat bermula 1 Oktober depan melalui proses yang disediakan. Buat masa ini, pendaftaran baharu boleh dilakukan secara fizikal di kiosk MyDigital ID yang beroperasi di lokasi terpilih seluruh negara.

Pengguna yang memohon MyKad baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga boleh membuat pra-pendaftaran MyDigital ID secara terus di kaunter dengan memaklumkan pegawai bertugas. Selepas proses pra-pendaftaran selesai, pendaftaran penuh boleh dilengkapkan menerusi telefon pintar tanpa perlu melakukan proses imbasan kad eKYC lagi.

MyKad generasi baharu yang diperbuat daripada bahan polikarbonat dilengkapi dengan pemprosesan cip dwi-muka, ukiran laser, maklumat QR khusus penguatkuasaan serta tetingkap lutsinar. Walaupun mempunyai ciri keselamatan fizikal baharu, sistem pengesahan identiti digital negara tersebut kekal beroperasi secara selari tanpa memerlukan perubahan pada akaun sedia ada.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version