Jika anda merasakan anda adalah seorang pemain yang hebat dalam game Call of Duty Mobile, kini sudah tiba masa untuk buktikannya dalam pentas dunia. COD: Mobile World Championship 2020 akan dianjurkan bermula 30 April sehingga 24 Mei ini dan ia terbuka untuk pemain COD seluruh dunia.
Setiap hari minggu dalam tempoh hampir sebulan itu, pemain yang mempunyai ranking veteran atau lebih tinggi boleh berentap sesama sendiri untuk pusingan kelayakan dalam Stage 1. Mana-mana pemain yang berjaya mendapat 80 mata dalam Stage 1 akan mara ke Stage 2.
Dalam Stage 2, pemain-pemain yang layak perlu membuat pasukan sendiri dan terus bermain dalam perlawanan dalam talian. Setakat ini, masih tiada butiran lanjut tentang Stage seterusnya.
Pemain yang ingin mencuba nasib harus bermain daripada peranti yang layak dan tidak menggunakan aksesori gaming yang boleh memberi kelebihan tidak adil seperti controller, tetikus, papan kekunci dan lain-lain.
Bagaimana? Mungkin pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) inilah anda boleh berlatih dan tunjukkan pada dunia bahawa andalah pemain COD Mobile terhebat. Beritahu kami di Facebook jika anda akan menyertainya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: COD Mobile

