Site icon TechNave BM

Twitter akan gantung sebarang akaun parodi atau menyamar sebagai orang lain

Sebaik sahaja Elon Musk mengambil alih pucuk pimpinan Twitter pada akhir Oktober lalu, beliau mengambil banyak langkah drastik terhadap syarikat media sosial tersebut, seperti memecat individu-individu berjawatan tinggi serta memperkenalkan yuran bulanan untuk mendapatkan pengiktirafan Twitter Blue dengan tanda blue checkmark.

Kini Musk memperkenalkan sebuah lagi langkah drastik untuk Twitter iaitu penggantungan kekal untuk sebarang akaun yang bertindak sebagai akaun parodi atau menyamar sebagai seorang individu yang lain.

Sebelum ini, akaun parodi hanya akan menerima amaran awal, sebelum ia digantung jika pemilik akaun itu gagal mematuhi syarat penggunaan Twitter.

Sungguh pun begitu, memandangkan sesiapa sahaja kini boleh mendapatkan pengiktirafan Twitter Blue, media sosial itu tidak akan lagi memberi amaran kepada akaun parodi bagi melindungi identiti akaun sebenar.

Musk menjelaskan bahawa ini bakal menjadi salah satu syarat untuk mana-mana pengguna yang ingin melanggan kepada pengiktirafan Twitter Blue. Selain itu, sebarang pertukaran nama juga akan mengakibatkan kehilangan tanda biru itu buat sementara.

Segolongan pengguna Twitter tidak bersetuju dengan langkah ini dan bertindak menukar nama profil mereka kepada Elon Musk dengan tanda biru. Hasilnya, akaun mereka terus digantung seperti yang mula-mula dikatakan oleh Musk.

Kongsi pendapat anda tentang langkah terbaharu oleh Twitter ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version