Site icon TechNave BM

Twitter berminat untuk membeli operasi TikTok di AS

Menurut laporan media, Twitter telah berurusan dengan pemilik TikTok di China, ByteDance, untuk membeli operasi aplikasi perkongsian video tersebut di Amerika Syarikat (AS). Ini adalah berita terbaru tentang pemerolehan TikTok oleh syarikat AS, selepas Microsoft dilaporkan ingin membuat urus niaga yang sama.

Walau bagaimanapun, pakar ekonomi meragukan kemampuan Twitter untuk membeli TikTok sebelum 15 September, iaitu tarikh tamat yang diberikan oleh Presiden Donald Trump untuk sebuah syarikat AS membeli TikTok. Twitter dilihat tidak mempunyai kebolehan pinjaman kewangan untuk membeli TikTok yang bernilai hampir US$30 bilion.

Setakat ini, Microsoft dilihat sebagai syarikat yang lebih layak untuk mengambil alih operasi TikTok di AS. Walau bagaimanapun, Twitter mengatakan syarikatnya tidak akan mengalami peraturan atau tekanan oleh kerajaan China jika mereka berjaya memperoleh TikTok kerana Twitter tidak beroperasi di negara itu.

Sebelum ini, Presiden Trump menandatangani perintah eksekutif yang akan mengharamkan TikTok dan WeChat bermula 15 September, atas sebab-sebab keselamatan negara. Walau bagaimanapun, pengharaman ini mungkin tidak akan dilaksanakan jika TikTok dijual kepada syarikat yang berpengkalan di AS seperti Microsoft.

Dalam pada itu, Instagram telah menawarkan fungsi baru bernama Reels yang menawarkan fungsi mirip TikTok. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version