Site icon TechNave BM

Twitter Blue akan dilancar semula pada 12 Disember 2022 bermula ~RM36 sebulan

Selepas perkhidmatan Twitter Blue digantung pada November lalu, Twitter kini mengumumkan bahawa Twitter Blue akan dilancar semula pada hari Isnin, 12 Disember 2022. Semua pengguna Twitter kini boleh dapatkan semula tanda pengiktirafan biru (blue checkmark) selagi mereka melanggan kepada perkhidmatan berbayar itu.

Sungguh pun demikian, yuran Twitter Blue akan ditawarkan dengan harga berlainan berbanding sebelum ini. Pengguna Twitter dalam komputer boleh melanggan pada harga USD8 (~RM36) sebulan, manakala pengguna iOS pula perlu membayar mahal sedikit iaitu USD11 (~RM49) sebulan.

Sebelum ini, semua pelanggan Twitter Blue perlu membayar USD8 sebulan tanpa mengambil kira platform yang digunakan. Setakat ini Twitter masih belum memberi sebab mengapa pelanggan iOS dikenakan yuran yang lebih mahal.

Selain tanda pengiktirafan biru, para pelanggan Twitter Blue akan menerima pelbagai fungsi tambahan seperti suntingan ciapan, muat naik video 1080p dan mod pembaca (reader mode). Tanda pengiktirafan biru hanya akan terpapar selepas akaun pengguna itu disemak oleh Twitter.

Mereka juga boleh mengubah nama penguna (username handle), nama profil dan gambar profil, namun jika ia dilakukan dengan kerap, tanda pengiktirafan biru itu akan dipadamkan buat sementara dan Twitter akan membuat pengesahan akaun lanjut.

Twitter turut menjelaskan bahawa tanda pengiktirafan akan mempunyai warna berlainan menurut jenis akaun, iaitu tanda emas untuk akaun perniagaan dan tanda kelabu untuk akaun kerajaan.

Pada awal bulan lalu, Twitter Blue digantung sementara selepas ramai pengguna Twitter menyalahgunakan perkhidmatan itu untuk membuat akan samaran dan berpura-pura sebagai orang lain, lantas mewujudkan banyak kekeliruan dalam kalangan pengguna Twitter.

Setakat ini masih tidak diketahui jika Twitter Blue akan ditawarkan untuk para pengguna di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menggunakan Twitter Blue dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version