Site icon TechNave BM

Twitter Blue hanya boleh dibeli oleh akaun yang ditubuhkan sekurang-kurangnya selama 90 hari

Sejak Twitter memperkenalkan pakej langganan Twitter Blue yang membenarkan mana-mana pengguna media sosial itu untuk mendapatkan tanda pengiktirafan biru (blue checkmark) pada harga USD8 sebulan, syarikat media sosial itu menghadapi banyak masalah terutamanya daripada mereka yang berpura-pura dan menyamar sebagai individu atau organisasi lain.

Hanya beberapa jam kemudian, Twitter Blue ditamatkan bagi mengurangkan masalah tersebut dan buat masa ini, masih tidak diketahui bilakan Twitter akan memperkenalkan semula langganan tersebut.

Dalam pada itu, dalam laman soalan lazim (FAQ), Twitter mengemas kini laman itu dan menjelaskan bahawa akaun-akaun Twitter yang baru dibina perlu menunggu selama 90 hari jika mereka ingin melanggan kepada Twitter Blue. Pihak Twitter juga berhak memanjangkan lagi tempoh tersebut jika mereka menghendakinya untuk akaun terpilih.

Walaupun Twitter tidak menjelaskan mengapa tindakan ini diambil, ia pastinya bertujuan untuk membendung pengguna baharu daripada mewujudkan akaun samaran.

Sebelum ini, CEO Twitter Elon Musk berkata akaun yang menukar nama yang telah diiktiraf (verified name) akan tidak lagi mempunyai tanda biru tersebut, sementara Twitter menyemak semula nama yang baru itu.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version