Site icon TechNave BM

Twitter Circle benarkan ciapan anda untuk hanya dibaca oleh orang terpilih

Perkhidmatan media sosial Twitter kini sedang menguji fungsi baharu bernama Twitter Circle yang membenarkan pengguna untuk menulis ciapan yang hanya boleh dibaca oleh individu-individu terpilih sahaja. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan kepada segolongan pengguna sahaja dan bakal ditawarkan kepada lebih ramai orang.

Fungsi ini serupa dengan Close Friends dalam Instagram, di mana pengguna memilih individu yang boleh lihat kandungan-kandungan yang dimuat naik dalam fungsi Close Friends. Pengguna boleh pilih individu yang ingin disertakan dalam Twitter Circles mereka dan hanya individu yang telah disertakan dalam fungsi itu boleh membaca ciapan yang ditulis untuk Circles.

Menurut wakil Twitter, Joseph Nunez, Twitter Circles masih lagi dalam fasa pengujian untuk pengguna terpilih dalam platform iOS, Android dan komputer, dan mereka ingin mendapatkan maklum balas daripada golongan tersebut.

Buat para pengguna yang sudah mendapat akses kepada Circles, sewaktu mereka ingin menulis ciapan, mereka akan melihat sebuah menu di bahagian atas ruang teks. Pengguna boleh pilih Everyone untuk ciapan umum, Twitter Circle untuk ciapan yang hanya boleh dibaca oleh individu terpilih dan Edit untuk memilih orang yang ingin dimasukkan dalam Circles.

Twitter tidak akan memberitahu orang lain jika mereka telah dimasukkan atau dibuang daripada Circles. Seramai 150 orang boleh dimasukkan dalam Circles, dan golongan yang telah dimasukkan dalam Circles boleh melihat nota “Only people in @[username]’s Twitter Circle can see this tweet” dalam ciapan Circle.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version