Site icon TechNave BM

Twitter ingin perkenalkan fungsi baharu untuk kurangkan ciapan berunsur kebencian

Twitter kini dilihat sedang menguji fungsi baharu yang membenarkan pengguna untuk menapis sebarang ciapan yang mempunyai unsur-unsur kebencian atau perkataan kesat. Menurut seorang pereka produk (product designer) Twitter, Paula Barcante, beliau telah berkongsi pratonton untuk fungsi tersebut dan sedang mencari maklum balas daripada para pengguna Twitter.

Dalam fungsi tersebut, Twitter akan bertanya jika anda ingin mengaktifkan fungsi penapis tersebut, sebaik sahaja ia mengesan jika ciapan anda akan mengundang ciapan balasan (reply tweets) yang kasar. Jika fungsi penapisan itu dihidupkan, Twitter akan mengesan sebarang ciapan yang tidak elok dan tidak akan menunjukkannya kepada anda.

Pengguna juga boleh menghalang ciapan daripada pengguna lain yang mempunyai reputasi buruk, seperti mereka yang selalu melanggar garis panduan penggunaan Twitter.

Memandangkan proses pengesanan ciapan kasar ini akan dilakukan secara automatik, Barcante mengakui bahawa fungsi tersebut mungkin tidak tepat sepenuhnya dan mungkin akan menghalang ciapan yang sebenarnya tidak mengandungi sebarang unsur-unsur jahat.

Oleh yang demikian, Twitter akan membenarkan pengguna untuk semak semula ciapan yang telah ditapis dan lihat sama ada ia adalah ciapan biasa sahaja atau mempunyai nada yang kasar. Setakat ini masih tidak pasti bilakan Twitter akan memperkenalkan fungsi ini secara rasmi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version