Twitter terkenal sebagai sebuah platfrom media sosial microblogging yang hanya membenarkan para pengguna untuk menulis ciapan pendek setakat 280 aksara. Sungguh pun begitu, CEO barunya Elon Musk mungkin mempunyai perancangan untuk meningkatkan had tersebut secara mendadak.
Seorang pengguna Twitter bertanya kepada Musk jika media sosial itu akan meningkatkan had aksara daripada 280 kepada 4,000, dan Musk membalas “ya”. Jika beliau merancang untuk melakukan sedemikian, ini bermaksud had aksara dalam satu ciapan akan ditingkatkan sebanyak 14 kali ganda.
Ini pastinya boleh mengubah cara pengguna melayari Twitter kerana dengan had aksara setinggi itu, pengguna boleh menulis artikel atau blog penuh dalam satu ciapan. Sebelum ini, pengguna yang ingin menulis teks panjang perlu membahagikannya kepada untaian (thread) untuk mematuhi had 280 aksara dalam satu ciapan.
Kali terakhir Twitter meningkatkan had aksara adalah pada 2017, di mana ia ditingkatkan daripada 140 kepada 280 dalam satu ciapan.
Sejak mengambil alih Twitter pada bulan Oktober lalu, Musk telah mengambil banyak langkah drastik dalam Twitter seperti membenarkan sesiapa sahaja untuk dapatkan tanda pengiktirafan biru, memecat pegawai tertinggi dan mengembalikan akaun-akaun yang telah digantung.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

