Site icon TechNave BM

Twitter perkenalkan ciri video pendek mirip TikTok dan Instagram Reels

Sejak platform media sosial TikTok berjaya mempopularkan format video menegak, media sosial lain turut sama memperkenalkan fungsi sepertinya termasuklah Instagram dan Facebook. Kini, Twitter juga bakal memperkenalkan ciri video menegak (vertical video) dalam aplikasinya.

Dalam sebuah catatan blog, Twitter akan memperkenalkan fungsi tontonan video pendek ke dalam aplikasinya untuk versi iOS. Untuk menonton, pengguna hanya perlu klik pada video yang dipaparkan, kemudian ia akan memenuhi skrin dalam bentuk menegak.

Twitter mengatakan fungsi ini akan membenarkan pengguna untuk menonton video dengan lebih mengasyikkan berbanding sebelum ini. Sebaik sahaja pengguna habis menonton video tersebut, beliau hanya perlu tatal (scroll) ke bawah untuk menonton lebih banyak video yang serupa.

Ini membuatkannya hampir sama seperti format video dalam TikTok atau Instagram Reels. Sungguh pun begitu, pengguna masih boleh berinteraksi dengan fungsi sedia ada dalam Twitter seperti retweet, balas komen dan suka (like).

Seperti TikTok, Twitter juga akan memaparkan jumlah tontonan (view count) untuk setiap ciapan, di samping jumlah suka, retweet dan petikan semula. Sebelum ini, jumlah tontonan hanya dipaparkan untuk video sahaja.

Ruang Explore dalam aplikasi Twitter

Selain itu, Twitter akan memperkenalkan seksyen baharu dalam aplikasinya iaitu Explore. Seksyen ini boleh diakses dalam tab baharu dan ia akan memaparkan video-video yang sohor (trending) pada waktu tontonan. Fungsi ini sudah pun ditawarkan dalam platform iOS dan Android di negara-negara terpilih.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Blog Twitter

Exit mobile version