Site icon TechNave BM

Twitter teruskan tindakan tegas terhadap Trump, tidak benarkan beliau “tweet” langsung

Twitter telah bertindak menggantung akaun rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas rusuhan yang berlaku di bangunan US Capitol di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Susulan tindakan tersebut, Trump cuba untuk menulis beberapa ciapan melalui akaun lain seperti @POTUS (President of the United States) dan @TeamTrump namun ciapan-ciapan tersebut tetap dihalang oleh Twitter.

Malah, Twitter turut mengatakan jika Trump cuba untuk mencipta akaun peribadi yang baru, Twitter akan terus bertindak menggantungnya sebaik sahaja ia dikesan.

Sebelum ciapan-ciapan Trump dipadam dalam @POTUS dan @TeamTrump , beliau mengatakan Twitter telah mengekang kebebasan bersuara dan beliau sedang merancang kemungkinan untuk menghasilkan platform media sosial beliau sendiri.

Buat masa ini, akaun @realDonaldTrump sudah pun dipadamkan sepenuhnya namun akaun @TeamTrump dan @POTUS sekadar digantung sementara. Twitter merupakan salah satu daripada pelbagai perkhidmatan media sosial yang telah menggantung akaun-akaun rasmi yang berkait dengan Trump.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version