Site icon TechNave BM

Twitter tidak akan kembalikan akaun yang telah diharamkan dalam masa terdekat

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Elon Musk, mengesahkan bahawa platform media sosial itu tidak akan mengembalikan akaun yang telah diharamkan sebelum ini, melainkan selepas Twitter telah menggariskan proses yang jelas untuk melakukan sedemikian.

Selepas Musk memperolehi Twitter pada minggu lalu, antara soalan yang kerap ditanyakan kepada beliau adalah sama ada akaun yang telah diharamkan sebelum ini boleh kembali ke Twitter, terutamanya untuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Sungguh pun begitu, pembinaan proses untuk mengembalikan akaun yang diharamkan ini memerlukan masa beberapa minggu.

Sebelum ini, Musk pernah menyatakan bahawa Twitter tidak seharusnya mengharamkan mana-mana penggunanya dan Donald Trump perlu dikembalikan ke dalam platform tersebut. Akaun Trump telah digantung kerana beliau mengapi-apikan rusuhan di US Capitol, Washington pada 6 Januari 2021.

Selain itu, Musk juga mengatakan beliau akan menubuhkan sebuah majlis pengawalan kandungan yang terdiri daripada pelbagai sudut pandangan. Beliau telah bertemu dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjamin bahawa beliau akan masih menegakkan polisi pengawalan kandungan (content moderation policy) Twitter.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version