Site icon TechNave BM

U Mobile belanja pelanggan tengok 104 perlawanan World Cup 2026 melalui RTMKlik

U Mobile dilantik sebagai Official Broadcast Sponsor FIFA World Cup 2026™ melalui RTMKlik yang membolehkan pelanggan U Mobile mengikuti kesemua 104 perlawanan kejohanan bola sepak terbesar dunia menerusi platform penstriman berkenaan.

Bagi menyokong akses penstriman tersebut, U Mobile memperkenalkan ULTRA Football Pass yang menawarkan data tanpa had pada kelajuan tanpa had untuk menonton perlawanan FIFA World Cup 2026™ melalui RTMKlik. Pas ini boleh ditebus oleh semua pelanggan mudah alih dan broadband U Mobile menerusi aplikasi MyUMobile bermula 11 Jun hingga 20 Julai 2026.

Selain akses tontonan, U Mobile turut melancarkan kempen ULTRA Football Fest yang berlangsung dari 5 Jun hingga 31 Julai 2026 dengan menawarkan beberapa hadiah kepada pelanggan yang mendaftar, menaik taraf atau membeli peranti menerusi pelan ULTRA Prepaid, ULTRA Postpaid dan U Home 5G Broadband.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk ULTRA Dream Football Tour bernilai RM250,000 untuk seorang pemenang bersama tiga teman atau ahli keluarga, empat pakej ULTRA Home Stadium Makeover dengan perkakas rumah Samsung bernilai RM50,000 setiap satu. Hadiah lain termasuk 50 unit Samsung Galaxy S26 Ultra, 100 unit televisyen Samsung 65-inci Crystal UHD 4K Smart TV serta 500 jersi rasmi pasukan FIFA World Cup 2026™.

Pelantikan sebagai penaja siaran rasmi ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat membawa pengalaman FIFA World Cup 2026™ kepada lebih ramai pengguna menerusi akses digital dan rangkaian 5G. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi U Mobile di sini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version