U Mobile dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Malaysia Tahun 2024 dalam kategori Perkhidmatan Mudah Alih oleh Frost & Sullivan. Penghargaan ini mengiktiraf usaha syarikat dalam menyediakan sambungan yang pantas dan boleh dipercayai serta memajukan digitalisasi di Malaysia terutamanya melalui teknologi 5G.
Visi U Mobile adalah menjadi penyedia perkhidmatan mudah alih dan digital utama di Malaysia dengan menawarkan produk inovatif pada harga yang kompetitif. U Mobile juga memperkenalkan pelan U Borneo di Malaysia Timur dengan akses sehingga 2,000 GB data 5G berharga RM15 sebulan yang secara tidak langsung menetapkan piawaian baru bagi nilai dan keterjangkauan.
Syarikat ini turut mencatatkan pertumbuhan dalam pendapatan dan bilangan pelanggan pascabayar serta jalur lebar. Dalam sektor perusahaan, U Mobile menyediakan pelbagai penyelesaian digital termasuk perayau global percuma untuk perusahaan mikro serta pelan U Biz Fibre 10Gbps yang memastikan sambungan perniagaan yang pantas dan selamat.
Frost & Sullivan memuji U Mobile atas usahanya dalam memanfaatkan 5G untuk memperkasa transformasi digital di Malaysia. Usaha syarikat ini turut diperkukuhkan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi global untuk menjelajah penggunaan inovatif 5G dan meningkatkan prestasi rangkaian.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

