Site icon TechNave BM

U Mobile lancar pelan prabayar 5G tanpa had, bermula daripada RM20/bulan

U Mobile hari ini memperkenalkan dua tawaran tersedia 5G yang baharu. Pelan U25 dan U35 ialah pelan prabayar tersedia 5G yang paling mampu dimiliki. Pelan ini menawarkan data dan panggilan tanpa had dan disediakan dengan pek SIM prabayar tersedia 5G yang baharu.

Antara ciri unik pelan U25 dan U35 yang baharu ini ialah booster kelajuan iaitu peningkatan kelajuan data selama 1 jam setiap hari. Apabila pelanggan memerlukan peningkatan kelajuan data, mereka hanya perlu menuntut 1 jam percuma setiap hari melalui aplikasi MyUMobile.

Sempena dengan pelancaran ini, pelan U25 akan ditawarkan pada harga promosi RM20 sebulan untuk data tanpa had pada kelajuan 3 Mbps. Ia menjadikan pelan ini satu-satunya pelan prabayar di pasaran yang menawarkan data dan panggilan tanpa had dengan harga yang sangat berbaloi.

Pelan U35 pula ditawarkan pada harga RM35 sebulan untuk data tanpa had pada kelajuan 6 Mbps dan hotspot percuma sebanyak 3GB. Kedua-dua pelan ini menyediakan panggilan tanpa had dan sah selama 30 hari bagi menawarkan nilai terbaik untuk pelanggan di pasaran.

Pek SIM prabayar 5G terbaharu ini bernilai RM10 dan disertakan dengan kredit pra-isi bernilai RM6 dan data kelajuan tinggi sebanyak 1GB. Panggilan dikenakan bayaran 15 sen seminit manakala SMS pula berharga 12 sen setiap satu.

Para pelanggan juga boleh menikmati 1 kadar tetap yang rendah untuk panggilan IDD ke Indonesia, Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan, Filipina, Thailand, China, Vietnam dan Kemboja.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi U Mobile. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version