Site icon TechNave BM

U Mobile lancarkan pelan Ultra Unlimited Wireless Broadband serendah RM48 sebulan

U Mobile hari ini telah melancarkan pelan internet tanpa had terbaru Ultra Unlimited Wireless Broadband yang ditawarkan pada harga serendah RM48 sebulan. Pelan ini terdiri daripada empat jenis iaitu Pelan WB48 (Study Plan), Pelan WB68 (Work Plan), Pelan WB88 (Work & Play Plan) dan Pelan WB128 (Max Plan).

Pelanggan boleh menggunakan internet tanpa had bagi tujuan tertentu dalam setiap pelan. Sebagai contoh, Pelan WB68 (Work Plan) menawarkan penggunaan tanpa had untuk tujuan pekerjaan dan pembelajaran seperti aplikasi Zoom, Google Meet dan Microsoft 365. Untuk kegunaan di luar perkara tersebut, pelanggan akan menerima data sebanyak 30GB.

Untuk Pelan WB88 (Work & Play Plan) pula, pelanggan akan menerima data tanpa had untuk aplikasi pembelajaran, pekerjaan, perdagangan seperti Shopee dan Lazada serta gaming seperti COD: Mobile dan Garena Free Fire. Untuk harga pula, ia berdasarkan nama pelan yang dilanggan, contohnya RM88 sebulan untuk Pelan WB88.

Sempena pelancaran pelan baru ini, Pelan WB68 (Work Plan), Pelan WB88 (Work & Play Plan) dan Pelan WB128 (Max Plan) akan ditawarkan dengan diskaun 50% selama 24 bulan kepada pelanggan pascabayar Giler Unlimited GX68, Unlimited HERO P79, P99 atau P139. Sebagai contoh, penerima promosi ini hanya akan membayar RM44 untuk pelan WB88 selama dua tahun.

Promosi ini akan bermula hari ini (11 Mac) dan akan berlangsung dalam masa terhad. Layari laman web rasmi U Mobile untuk maklumat lanjut tentang pelan ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan pelan U Mobile ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version