Site icon TechNave BM

U Mobile umum kerjasama dengan Qualcomm untuk majukan industri runcit di Malaysia

Syarikat telekomunikasi tempatan U Mobile telah mengumumkan kerjasamanya dengan syarikat semikonduktor Qualcomm Technologies bagi memajukan industri runcit Malaysia dengan teknologi Smart Retailing.

Dengan program Smart Retailing ini, pasar raya dan peruncit boleh menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih canggih untuk para pelanggan. Sebagai contoh, troli pasar raya sedia ada boleh dilengkapkan dengan komputer khas yang boleh mengimbas barkod pada barang dan mempercepatkan proses pembayaran.

Komputer ini juga boleh membantu pembeli untuk pergi ke lokasi produk yang ingin dibeli dalam pasar raya, serta mendapatkan cadangan untuk produk lain yang berkaitan. Untuk para peruncit pula, skrin komputer ini boleh menyiarkan iklan bagi mempromosikan produk mereka kepada para pelanggan.

Selain itu, komputer pada troli ini boleh mengimbas stok produk yang diletakkan pada rak dan mengemas kini status stok keseluruhan dalam pasar raya. Ini memudahkan pengurusan barang oleh pihak peruncit, manakala teknologi AI dan kamera pada komputer itu juga boleh mengelakkan risiko kecurian dan kerosakan produk.

Dalam menjayakan teknologi ini, Smart Retailing menggunakan peranti elektronik yang dilengkapi komponen Qualcomm. Ini termasuklah troli pintar Smart Shopping Cart, rak elektronik Electronic Shelf Labeling dan kenderaan automatik Electric- Autonomous Guided Vehicle.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version