Site icon TechNave BM

Uber gantung ratusan akaun pengguna kerana disuspek mempunyai Coronavirus

Situasi wabak Coronavirus semakin menular seluruh dunia dengan lebih 17,000 kes jangkitan disahkan dan 362 pesakit meninggal dunia sewaktu artikel ini ditulis. Pelbagai syarikat dan kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak ini.

Terbaru, syarikat e-hailing Uber telah menggantung 240 akaun para penggunanya di Mexico selepas syarikat itu mendapati mereka mungkin telah berada berhampiran dengan individu-individu yang menghidap penyakit Coronavirus. Uber Mexico memberikan kenyataan rasmi tentang perkembangan ini melalui akaun Twitternya.

Syarikat itu mengatakan mereka menerima maklumat bahawa salah seorang penunggang mereka telah disuspek menjangkiti Coronavirus, menurut Jabatan Kesihatan Mexico City. Uber kemudian memberikan butiran dua pemandunya yang mungkin telah memberi perkhidmatan kepada penunggang tersebut.

Tidak lama selepas itu, Uber terus menggantung sementara 240 akaun pengguna yang telah mengambil perkhidmatan daripada dua pemandu itu. Uber memberi mesej kepada pengguna yang terlibat, “demi keselamatan anda dan orang lain, akaun anda tidak akan boleh digunakan untuk memohon tunggangan buat masa ini.”

Ini adalah kali pertama sebuah syarikat e-hailing bertindak sedemikian. Kongsi pendapat anda tentang keputusan ini di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmodo

Exit mobile version