Site icon TechNave BM

UI tablet OPPO pertama tertiris, mempunyai nisbah 16:10 dan menyokong kadar 120Hz

Khabar tentang tablet pertama daripada OPPO telah banyak diperkatakan sejak tahun lalu dan kini terdapat satu lagi maklumat untuk produk tersebut. Pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station telah berkongsi beberapa tangkapan layar (screenshot) yang menunjukkan antara muka (user interface) tablet tersebut.

Tangkapan skrin tersebut menunjukkan skrin utama (home screen) tablet OPPO dan ia mempunyai resolusi 2560×1600 serta nisbah aspek 16:10. Selain mempunyai fungsi yang standard seperti kebanyakan tablet lain, produk ini turut menyokong sambungan berbilang terminal seperti telefon pintar, komputer riba, televisyen, fon kepala wayarles dan jam tangan pintar.

Dalam bahagian tetapan pula, kadar segar semula skrin tablet ini boleh berubah di antara kadar pantas 120Hz atau kadar standard 60Hz.

Sebelum ini, tablet OPPO yang pertama ini dikhabarkan bakal dilengkapi cipset Snapdragon 870, skrin LCD 11 inci, kamera utama 13MP+8MP, RAM 6GB, storan 256GB, perisian ColorOS 12 berdasarkan Android 11 dan bateri 8,080mAh. Tiada maklumat rasmi tentang pelancarannya setakat ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave CN

Exit mobile version