Site icon TechNave BM

UI Windows 11 tertiris, tunjukkan rekaan baru menu Start dan tetingkap

Microsoft akan melancarkan sistem operasi komputer seterusnya, Windows 11, pada 24 Jun. Setakat ini Microsoft masih belum menerangkan sebarang butiran tentang sistem tersebut namun kini beberapa gambar yang menunjukkan antara muka pengguna (UI) sistem itu telah tertiris dalam media sosial Weibo.

Perubahan yang paling ketara adalah pada bahagian taskbar, di mana sebarang ikon telah diletakkan pada kedudukan tengah, berbeza dengan ikon taskbar dalam Windows sebelum ini yang akan diletakkan pada bahagian kiri.

Ikon pada taskbar kini berada di bahagian tengah
Start menu tidak mempunyai Live Tiles

Dalam menu Start pula, ia menyerupai rekaan menu Start dalam Windows 10 namun tanpa kehadiran Live Tiles. Pengguna boleh pin aplikasi kegemaran, fail terbaru (recent files) dan mengakses fungsi-fungsi utama seperti Settings, Mail, Photos dan Shut Down.

Jika pengguna masih inginkan ikon dalam taskbar untuk diletakkan pada bahagian kiri seperti dalam Windows sebelum ini, mereka boleh menetapkannya.

Pada tetingkap aplikasi (window) pula, bucunya tidak lagi bersegi dan kini mempunyai bucu melengkung di sekelilingnya. Bucu dalam menu Start juga kelihatan mempunyai bucu melengkung. Beberapa tetingkap juga boleh disusun dengan mod Snap untuk memudahkan pengguna menggunakan beberapa perisian serentak.

Bucu tetingkap (window) yang melengkung
Demonstrasi fungsi Snap

Kongsi pendapat anda tentang rekaan Windows 11 ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version