Site icon TechNave BM

UiTM Kuala Pilah pertama dalam menggunakan peranti Starlink secara rasmi di Malaysia

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjadi penerima 10 peranti internet Starlink berikutan persetujuan kerajaan dengan syarikat Elon Musk. Kini, peranti internet Starlink pertama Malaysia telah dipasang secara rasmi di kampus Kuala Pilah UiTM, Negeri Sembilan. 

Seperti yang dikongsi oleh Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil di Twitter, peranti Starlink pertama secara rasmi diserahkan kepada kampus awal hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam tweet lain, Fahmi turut menunjukkan peranti internet itu dipasang secara rasmi di kampus berkenaan. 

Tambahnya, penggunaan peranti internet Starlink yang menggunakan sambungan satelit untuk capaian internet adalah bukti konsep untuk membantu pelajar mendapat sambungan rangkaian yang lebih baik. Ini adalah langkah baik sementara menunggu peruntukan yang lebih besar untuk memasang titik akses untuk WiFi kampus. 

Menteri KKD seterusnya menghuraikan bahawa tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kampus UiTM Kuala Pilah mempunyai pelbagai titik buta untuk liputan luar dan dalam bangunannya serta titik akses WiFi. 

Malah, kampus ini merupakan salah satu daripada 10 kampus UiTM yang mengalami masalah sambungan yang serius dan diharapkan peranti internet Starlink dapat mengurangkan masalah ini. Selain itu, Fahmi turut mengesahkan beberapa lagi institut pengajian tinggi di luar bandar telah dikenal pasti menerima perkhidmatan internet satelit itu. 

Apakah pendapat anda tentang penggunaan peranti internet Starlink oleh kerajaan? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Twitter

Exit mobile version