Site icon TechNave BM

Ujian pihak ketiga mendapati engsel Motorola Razr mungkin tidak mampu bertahan lama

Trend peranti lipat semakin mendapat sambutan dalam industri telefon pintar namun kita masih tidak pasti jika engsel dalam telefon-telefon lipat ini mampu bertahan lama. Inilah perkara yang diuji oleh CNET untuk melihat sejauh manakah telefon lipat Motorola Razr mampu bertahan.

Keputusannya mungkin tidak akan menyenangkan hati pelanggan yang berminat untuk membeli telefon itu. CNET menggunakan sebuah mesin bernama FoldBot untuk menguji ketahanan engselnya dan mendapati selepas puluhan ribu lipatan, telefon itu semakin sukar untuk dilipat kerana engselnya menjadi keras dan tidak mampu untuk lipat sepenuhnya.

Ujian itu dihentikan selepas 27,000 lipatan. Akan tetapi, perlu diingat bahawa mesin yang digunakan untuk ujian lipatan itu tidaklah sempurna. Ia menghadapi masalah untuk melipat Razr itu sepenuhnya walaupun dalam tahap awal ujian tersebut. Selain itu, haba yang terjana daripada lipatan yang sangat kerap mungkin juga telah mempengaruhi ketahanan engselnya.

Motorola telah memberi kenyataan bahawa syarikat itu yakin dengan mutu dan ketahanan produknya. Adakah ujian ini akan mempengaruhi keputusan anda untuk membeli Motorola Razr? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechNave

Exit mobile version