Site icon TechNave BM

Ulasan Apple TV 4K Gen-3: Pertama kali menggunakannya, mudah difahami dan lancar!

Untuk generasi ketiga kali ini, Apple TV 4K berfungsi dengan lancar untuk gaming dan penstriman yang cukup menakjubkan. Ini merupakan kali pertama saya menggunakan kotak hiburan Apple TV 4K Generasi ketiga varian Wifi + Ethernet. Di bawah merupakan ulasan saya setelah menggunakannya dalam beberapa bulan.

Secara fizikal, tidak banyak yang berubah antara generasi Apple TV 4K dengan model pendahulunya. Ia membawa kemasan matte dan sisi berkilat namun, namun perkakasan ini mudah menarik habuk di rumah anda.

Kemasan matte berwarna hitam dan logo Apple di kotak Apple TV 4K
Port LAN, port HDMI dan port plug

Ia berbentuk kotak hitam licin dengan sudut bulat, mempunyai logo Apple di atas, agak kecil sedikit dan lebih ringan manakala pengawalnya (remote) juga telah beralih kepada port USB-C mengikut trend terkini. Di bahagian sisi, ia menyediakan port LAN, port HDMI dan port plug kotak TV-ke-plug rumah. Buat masa ini, kabel HDMI dan pengecas alat kawalan jauh perlu dibeli secara berasingan.

Remote Apple mudah dipegang dan mempunyai semua fungsi asas. Ia mempunyai kemasan aluminium dengan butang sentuhan lembut dan pad tatal-dan-gerak di tengah yang membolehkan anda menatal di menu yang berfungsi seperti telefon pintar anda.

Pad sentuh berbentuk bulat di bahagian tengah
Port USB-C untuk pengecasan alat kawalan jauh
Butang mikrofon, perlu ditekan sambil bercakap
https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2023/03/IMG_3512.mov
Menatal di pad bulat tengah
Barangan yang terdapat dalam kotak pembelian

Seperti gambar di atas, kotak pembelian menawarkan plug kotak TV-ke-plug rumah, alat kawalan jauh, dokumen dan kotak hitam Apple TV 4K Generasi Ke-3.

Apple TV 4K Gen-3 ini membawa peningkatan besar dengan cipset A15 Bionic yang sama pada iPhone 13. Ini menjadikannya kotak penstriman yang mampu menyokong HDR10+ dan warna yang lebih pekat untuk tontonan yang mengasyikkan.

Warna sangat pekat, namun ia perlu dilihat secara realiti

Saya turut kagum kerana sepanjang saya menggunakan Apple TV ini, saya tidak mengalami sebarang lengah atau kerosakan pada menu walaupun kelajuan internet di rumah saya hanya pada 30mbps. Turut perlu dimaklumkan, penghuni rumah saya berjumlah tujuh orang dan masing-masing menggunakan Wi-Fi yang sama.

Ia menyediakan storan 128GB yang memberikan ruang yang cukup untuk gaming atau simpanan filem dan gambar. Apple Arcade disediakan secara percuma selama tiga bulan sekiranya anda membeli Apple TV 4K. 

https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2023/03/IMG_3515.mov

Saya menstrim Netflix, YouTube dan banyak lagi terutamanya apabila saya seorang ‘kaki tonton’. Semasa menonton siri komedi ‘The Big Bang Theory’, tidak dinafikan, kualiti imej dan bunyi sangat mengagumkan. Ini mungkin kerana sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos yang ditawarkan. Imej tidak kabur dan pecah serta warna yang pekat manakala kualiti audionya seolah-olah anda berada dalam panggung wayang. 

Terdapat beberapa ciri eksklusif Apple yang menyeronokkan yang mungkin dinikmati oleh orang ramai. Sekiranya anda berebut dengan adik-beradik anda untuk dapatkan alat kawalan jauh, anda boleh sambungkannya kepada iPhone anda dan mengawalnya sesuka hati. 

Malangnya, anda tidak boleh menggunakan ciri ‘Siri’ sekiranya ditetapkan pada Malaysia iTunes Store atau App Store. Tidak dilupakan pilihan Bluetooth yang boleh disambungkan ke fon telinga dengan mudah untuk tontonan senyap, kemudian audio tidak akan keluar melalui pembesar suara TV. Perkongsian audio juga membolehkan anda menggunakan dua pasang fon telinga tidak kira jenis jenama untuk menonton rancangan atau filem.

Walaupun tiada ciri ‘Siri’, anda masih boleh menggunakan butang mikrofon di bahagian sisi kanan alat kawalan jauh. Tekan butang tersebut satu kali dan ia akan membawa anda ke halaman Carian (Search). Tekan butang yang sama sambil mengatakan tajuk filem yang ingin ditonton dan ia akan memberikan beberapa cadangan lain sekiranya filem tersebut tidak berada dalam senarai carian.

Seperti aplikasi Apple TV di iPhone, anda perlu melanggannya terlebih dahulu untuk menonton filem atau rancangan TV pada RM29.90/sebulan. Perkara yang sama pada aplikasi Arcade tetapi pada harga RM19.90/sebulan.

Alangkah bagusnya sekiranya ia turut menyediakan aplikasi tempatan untuk tontonan dan rancangan di Malaysia. Yang dimaksudkan saya adalah rancangan TV3, RTM dan pelbagai saluran tempatan Malaysia. Ibu saya turut merungut kerana terpaksa mencabut kabel HDMI daripada Apple TV beberapa kali dan memasangkannya ke Android TV untuk menonton berita TV3.

Selain itu, ia turut mempunyai satu lagi kelemahan ketika bermain game. Bagi mereka yang gemar bermain game, anda memerlukan gaming controller yang menyokong sambungan Bluetooth. Saya mempunyai cadangan untuk gaming controller yang boleh didapati secara dalam talian termasuk PlayStation 5 DualSense, DualShock 4 Wireless, SteelSeries Nimbus+ dan Xbox Core.

Kesimpulannya, Apple TV 4K Generasi Ke-3 adalah terbaik dan mesra pengguna. Fungsinya mudah difahami walaupun bagi mereka yang menggunakannya buat pertama kali seperti saya. Namun, sekiranya anda kerap menonton hiburan tempatan secara langsung di TV, Apple TV ini bukanlah pilihan utama anda kerana ia tidak menyediakan sebarang saluran tempatan.

Perlu diingatkan, untuk kualiti video dan audio yang lebih baik, anda perlu sambungkannya kepada TV dan pembesar suara yang menyokong resolusi 4K, Dolby Vision dan Dolby Atmos. Bagi mereka yang berminat, Apple TV 4K ini berharga RM699 untuk varian Wi-Fi + 64GB dan RM799 untuk varian Wi-Fi + Ethernet + 128GB.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version