Site icon TechNave BM

Ulasan ASUS ProArt StudioBook 16 OLED (H5600) – Komputer dengan fungsi khusus untuk kerja kreatif

Golongan pencipta kandungan (content creators) untuk platform internet semakin meningkat pada setiap hari dan mereka pasti inginkan komputer yang pantas bagi menyunting kerja-kerja kreatif. Bagi memenuhkan permintaan tersebut, ASUS telah memperkenalkan ASUS ProArt StudioBook 16 OLED (H5600) iaitu sebuah komputer riba khas untuk pencipta kandungan, dengan tombol unik ASUS Dial untuk kawalan halus dalam perisian suntingan gambar atau video serta skrin OLED 4K berukuran 16 inci.

Jadi adakah komputer riba ini boleh memenuhi keperluan pencipta kandungan untuk menyunting video atau gambar dengan mudah? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

Walaupun ketebalannya agak nipis untuk sebuah komputer riba pencipta kandungan (1.99 ~ 2.14cm), ASUS ProArt StudioBook 16 OLED (H5600) adalah agak berat dengan penimbangan sekitar 2.4kg. Di samping itu, pengecasnya juga agak besar jadi keseluruhan produk ini agak sukar untuk dibawa ke pelbagai tempat, melainkan jika anda tidak kisah membungkuskan komputer dan pengecas berat ini dalam beg anda.

Sungguh pun begitu, mutu buatannya adalah kukuh dengan standard tentera MIL-STD-810H untuk ketahanan jatuh serta hentakan, jadi anda boleh yakin bahawa komputer ini dibina dengan material yang berkualiti tinggi.

Daripada segi luaran, rekaannya nampak standard dengan logo ProArt di bahagian belakang skrin. Apabila skrinnya diangkat, anda boleh lihat paparan 4K OLED berukuran 16 inci yang sangat nipis, manakala sempadan bezel juga sangat nipis di bahagian atas dan sisi, namun bezel bawah adalah lebih tebal. Walaupun dengan bezel nipis di atas, ia masih mempunyai ruang untuk menempatkan sebuah webcam HD yang mempunyai penutup untuk menjaga privasi pengguna.

Papan kekuncinya mempunyai cahaya latar (backlit) dengan rekaan chiclet dan saiz kekunci yang agak besar. Selain itu, kekunci anak panah (arrow keys) pula mempunya tekstur yang berlainan agar pengguna boleh merasakannya tanpa perlu melihat.

Sementara itu, tombol ASUS Dial pula berada di antara papan kekunci dengan pad penjejak (trackpad) serta ia boleh ditekan dan diputar. Tetapannya boleh dilaras dalam perisian ProArt Creator Hub dan anda boleh ubah tahap sensitivitinya dan pelbagai tetapan lain. Kebanyakan perisian yang boleh digunakan bersama tombol ini adalah produk Adobe dan jika tiada sebarang perisian suntingan dibuka, ia boleh digunakan untuk melaras kecerahan skrin atau tahap pembesar suara.

Pad penjejaknya juga agak besar dan ia boleh digunakan seperti tablet lukisan kerana ia menyokong penggunaan stilus dengan 1,024 titik sentuhan padanya. Perlu diingati bahawa komputer ini tidak didatangkan bersama stilus, jadi anda perlu gunakan stilus pihak ketiga.

Dengan CPU AMD Ryzen R9-5900HX, GPU Nvidia GeForce RTX3070, RAM 32GB dan storan SSD 2TB, komputer ini boleh mengoperasikan pelbagai jenis perisian berat dengan lancar. Walau bagaimanapun, penarik utama komputer ini adalah pada skrin OLED 4K tadi dan ia boleh menghasilkan warna yang sangat cantik dengan kadar segar semula (refresh rate) yang tinggi. Pembesar suaranya yang telah ditala oleh Harman Kardon juga mengeluarkan mutu bunyi yang jelas.

Untuk hubungan, komputer ini mempunyai port HDMI, dua port USB-A, dua port USB-C, satu port RH-45 LAN, bicu audio 3.5mm dan pembaca kad SD yang menyokong kad SD Express 7.0.

Seperti yang dipaparkan dalam keputusan penanda aras di atas, komputer riba ini menjana prestasi yang sangat pantas. Perisian suntingan berat seperti Premiere Pro boleh menghasilkan (render) video dengan pantas, di mana video 9 minit hanya memerlukan satu minit untuk mengeksportnya. Untuk konteks, komputer riba untuk pencipta kandungan sebelum ini memerlukan sekitar enam minit. Tombol ASUS Dial pula boleh mempercepatkan proses suntingan, namun anda mungkin perlu mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengannya.

Skrin 4K OLED ini boleh menghasilkan warna yang sangat mengasyikkan untuk menonton filem manakala kadar segar semula yang tinggi membenarkan game sengit seperti League of Legends untuk dimainkan pada kadar terpantas dengan tetapan grafik maksimum. Sewaktu komputer ini sedang mengoperasikan tugas berat, kipasnya tidak menghasilkan bunyi yang bising.

Hayat baterinya boleh bertahan sekitar tiga ke lima jam bergantung kepada penggunaannya, jadi jika anda perlu gunakan komputer ini dalam tempoh yang lama, pastikan anda membawa pengecas bersama. Mujur sekali pengecasannya agak pantas, di mana pengecasan daripada kosong ke 100% mengambil masa sekitar sejam sahaja.

Secara keseluruhan, ASUS ProArt StudioBook 16 OLED (H5600) adalah komputer riba pencipta kandungan yang cemerlang dengan prestasi pantas dan fungsi unik seperti ASUS Dial dan skrin OLED. Walaupun begitu, kami tidak mencadangkannya untuk pengguna umum dan gamers kerana tombol itu mungkin akan menganggu pengalaman anda.

Dengan harga RM9,999, ini adalah sebuah komputer yang sangat mahal untuk kebanyakan pengguna namun jika anda serius dengan kerjaya penciptaan kandungan, ASUS ProArt StudioBook 16 OLED (H5600) adalah sebuah pelaburan yang boleh membawa karya anda ke tahap yang lebih tinggi. Lagipun, komputer riba lain yang mempunyai ciri serupa dijual pada harga RM13,000 atau lebih mahal.

Jadi adakah anda berminat untuk memiliki komputer ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Spesifikasi teknologi

Kelebihan: Sesuai untuk kebanyakan pencipta kandungan, ASUS Dial memudahkan suntingan, boleh gunakan stilus pada pad penjejak

Kekurangan: Sukar dibawa, pengecas berat, tidak sesuai digunakan oleh pengguna umum

Kesimpulan: Komputer khusus untuk pencipta kandungan yang jarang bergerak ke pelbagai tempat

Exit mobile version