Siri HONOR 200 telah dilancarkan membawa dua jenis varian iaitu HONOR 200 dan HONOR 200 Pro. Di sini, saya akan mengulaskan varian HONOR 200 Pro yang cukup mengagumkan daripada segi prestasi dan fotografi. Dengan harga RM2,699, adakah telefon ini berbaloi untuk anda?
Rekaan – Elegan dan utamakan keselesaan pegangan
Panel belakang HONOR 200 Pro adalah gabungan menarik antara kemasan matte dan kilauan yang menyerupai buih putih oleh ombak pantai di bawah sinanran cahaya bulan, yang juga sesuai namanya sebagai Moonlight White. Selain Moonlight White, peranti ini turut membawa lagi satu warna iaitu Ocean Cyan.
Pilihan reka bentuk ini bukan sahaja kelihatan premium terutamanya untuk telefon kelas pertengahan, tetapi juga menawarkan manfaat praktikal. Kemasan ini tidak meninggalkan kesan cap jari, memastikan telefon kekal dalam keadaan bersih walaupun dengan penggunaan yang kerap. Walaupun bonggol kameranya tebal dan menonjol, ini tidak mengganggu pegangan peranti dan masih mengekalkan keselesaan.
Panel depan HONOR 200 Pro dilengkapi dengan skrin melengkung, meningkatkan keseluruhan keselesaan dan ergonomik telefon. Ini menjadikannya lebih mudah untuk dipegang dan digunakan bersama bezel nipis di sekelilingnya, memberikan pengalaman yang lancar dan tanpa gangguan. Tetapan dwi-kamera di bahagian depan ditempatkan dalam potongan berbentuk pil, berbeza dengan kamera tunggal dalam lubang tebuk pada varian standard.
Di sebelah sisi kanan HONOR 200 Pro, anda akan menemui butang kuasa dan butang pelaras audio, diposisikan untuk akses mudah dan penggunaan intuitif seperti biasa. Bahagian bawah telefon dilengkapi dengan pembesar suara stereo, slot kad SIM dan port USB-C bagi memastikan semua pilihan sambungan penting terletak dengan mudah. Selain itu, pembesar suara kedua di bahagian atas peranti melengkapkan pembesar suara di bawah, memberikan pengalaman audio yang kuat dengan seimbang.
HONOR 200 Pro hadir dengan pakej aksesori yang komprehensif di dalam kotak termasuk pengecas 100W, kabel USB-C, sarung silikon untuk perlindungan segera, pin SIM dan dokumen. Secara keseluruhannya, HONOR 200 Pro membawa rekaan estetika dan elegan walaupun dilihat dari jauh.
Spesifikasi – Kuasa dan prestasi yang mengagumkan
Berikut adalah spesifikasi ringkas HONOR 200 Pro:
- Skrin AMOLED 6.78 inci, melengkung di sisi, kecerahan puncak 4,000 nits
- Cipset Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3
- RAM 12GB
- Storan dalaman 512GB
- Kamera utama 50MP (sensor H9000) + kamera telefoto 50MP (sensor Sony IMX856) + kamera ultra-lebar/makro 12MP
- Kamera swafoto potret 50MP
- Mempunyai sistem anti-getaran OIS+EIS, mod potret eksklusif Studio Harcourt
- Bateri 5,200mAh
- Pengecasan pantas 100W
- Pengecasan wayarles 66W
- Pembesar suara stereo dengan Voice Care
- Cip HONOR C1 + RF Enhanced untuk hubungan stabil dan pantas
- Pilihanb warna putih Moonlight White dan biru Ocean Cyan
- Harga: RM2,699
Dengan skrin AMOLED 6.78 inci yang melengkung di sisi, ia menawarkan visual yang baik dengan kecerahan puncak mencapai 4,000nits. Pengalaman menonton video atau bermain game menjadi lebih mengasyikkan dan menyeronokkan, walaupun di bawah cahaya matahari yang terang.
Prestasi telefon ini disokong oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3, RAM 12GB dan storan dalaman sebesar 512GB. Kombinasi ini tidak hanya memastikan kelajuan yang cepat dalam pelbagai tugas, tetapi juga menyediakan ruang yang mencukupi untuk menyimpan aplikasi, gambar dan video tanpa perlu risau tentang kehabisan ruang. Bukan itu sahaja, sesi permainan tidak terganggu sepanjang penggunaan yang lama tanpa henti.
Beralih kepada kamera, terdapat kamera utama 50MP dengan sensor H9000 untuk gambar yang jelas dan tajam, kamera telefoto 50MP dengan sensor Sony IMX856 untuk zum jauh yang berkualiti serta kamera ultra-lebar dan makro 12MP untuk pengambilan gambar yang lebih luas dan jelas untuk gambar yang lebih dekat.
Bagi memudahkan pengguna dan pencipta kandungan, terdapat kamera 50MP di bahagian hadapan yang menjanjikan gambaran yang jelas sama ada sebagai foto ataupun video. Salah satu ciri menarik lain adalah sistem anti-getaran OIS+EIS yang memperbaiki kestabilan gambar ketika mengambil video serta mod potret eksklusif Studio Harcourt yang menawarkan kesan artistik yang menarik.
Keupayaan pengecasannya juga adalah salah satu kelebihan besar HONOR 200 Pro dengan pengecasan pantas 100W yang mengisi bateri 5,200mAh dengan cepat dan pengecasan wayarles 66W untuk kemudahan perjalanan. Untuk bahagian ini, anda boleh membacanya di bawah.
Bagi mereka yang inginkan pengalaman penggunaan tambahan, anda boleh menggunakan fungsi AI seperti Magic Portal. Magic Portal membantu anda untuk terus membawa tangkapan skrin, perkataan atau gambar yang dipilih terus aplikasi seterusnya dengan hanya heret ke tepi kanan. Sekiranya anda tidak tahu bagaimana ia berfungsi, pergi ke Tetapan untuk lihat langkah-langkah yang disediakan.
Seperti Dynamic Island pada iPhone, HONOR 200 Pro mempunyai Magic Capsule yang mengeluarkan pemberitahuan di bahagian atas kamera swafoto. Namun ia hanya menyokong Rakaman, main balik media dan Jam. Folder yang banyak mungkin memeningkan anda, oleh itu, anda boleh memanfaatkan Smart Folder dengan menyimpan aplikasi dalam satu folder mengikut saiz yang anda tetapkan, sama ada besar atau kecil. Dengan ini, skrin telefon kelihatan lebih kemas dan teratur.
Kemudian, sekiranya tangan anda kotor dan tidak ingin memegang telefon, Air Gestures membantu anda menatal skrin dari atas ke bawah, bawah ke atas, kiri ke kanan dan kanan ke kiri. Tangkapan skrin juga boleh dibuat dengan isyarat tangan. Namun, Air Gestures mungkin sedikit leceh kerana anda perlu meletakkan tangan anda pada kedudukan yang betul supaya ia boleh berfungsi dengan tepat.
Prestasi – 3DMark turut akui prestasinya ‘power’
Berikut adalah keputusan Geekbench 6 dan 3DMark telah menyatakan bahawa HONOR 200 Pro ‘terlalu kuat untuk ujian ini’.
Tidak dinafikan, prestasinya sangat mengagumkan, bukan sekadar cukup tetapi melebihi jangkaan saya. Sesi gaming Mortal Kombat dan Call of Duty mampu melekakan saya untuk beberapa jam tanpa henti kerana skrinnya yang tepat dan lancar serta tidak memberi sebarang masalah dan lag.
Bukan itu sahaja, peranti juga tidak menjadi terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Boleh dikatakan ia mengekalkan suhu suam tetapi sedikit kurang panas. Bagi mereka yang mementingkan keseronokan sambil bekerja, HONOR masih menyediakan ‘Game Manager‘ di bahagian sisi kiri ketika bermain game untuk mengekalkan produktiviti anda.
Seperti yang dijanjikan, saya akan menceritakan prestasi bateri dengan lebih jelas di sini. Ia mempunyai bateri 5,200mAh dengan pengecasan 100W di mana pengecasan selama 20 minit mampu meningkatkan kuasa bateri daripada 0% kepada 52% dan pengecasan 46 minit mampu memberikan kuasa penuh daripada 0%.
Saya turut memainkan YouTube selama tujuh jam 20 minit dan bateri menurun daripada 100% kepada 59%. Kemudian, saya bermain game selama tiga jam tanpa henti dan telefon ini memakan kuasa sebanyak 50%. Oleh itu, sekiranya anda terlupa untuk membawa pengecas atau bank kuasa ketika dalam perjalanan jauh, bermain game bukanlah satu perkara yang disarankan untuk hiburan sementara.
Sekarang, kita beralih kepada topik yang saya sangat ingin ceritakan kerana bahagian kali ini mampu menarik perhatian saya. Kamera utamanya disokong oleh sensor H9000, kamera telefoto sensor Sony IMX856 50MP serta kamera ultra-lebar dan makro 12MP. Namun, untuk tangkapan gambar yang lebih estetik dan sekuat DSLR, saya mencadangkan anda menggunakan mod potret dengan pilihan kesan (filter) Harcourt. Anda boleh klik pada ikon Harcourt di atas.
Terdapat tiga jenis Filter Harcourt iaitu Harcourt Vibrant, Harcourt Color dan Harcourt Classic. Harcourt Color memberikan sentuhan yang lebih lembut berbanding Harcourt Color yang memberikan kesan vintage dengan memekatkan lagi warna imej sambil mengekalkan butiran yang jelas. Harcourt Classic pula memberi warna hitam dan putih lembut. Gambar yang ditangkap mungkin tidak perlu disunting untuk kontras warna kerana bagi saya, ia sudah cukup bagus untuk dimuat naik terus ke Instagram.
Untuk tangkapan mod standard, ia berfungsi seperti biasa dan masih mengekalkan warna semula jadi dan butiran yang jelas daripada tangkapan luas dan lebar kepada tangkapan imej makro. Anda boleh klik pada ikon ‘orang’ di sebelah kiri kamera untuk menangkap gambar dengan pergerakan. Lihat saja gambar-gambar di bawah, saya pasti anda turut kagum dengan kameranya yang hampir menyerupai DSLR. Mod standardnya masih mampu menangkap imej bergerak sama ada anda sedang berjalan, melompat atau berlari sambil mengekalkan mesej yang ingin disampaikan oleh pengguna.
Gambar pada waktu malam masih menghasilkan kualiti imej yang baik menggunakan mod malam. Ia menyerlahakan lagi kehidupan yang sibuk di bandar Kuala Lumpur walaupun sudah habis waktu bekerja. Kamera swafoto turut memberi kerjasama yang baik pada waktu siang dan malam tetapi saya tidak menggalakkan anda menghalakan lampu yang terang menghadap ke muka ketika mengambil gambar pada waktu malam kerana ia memberikan kesan seolah-olah kulit anda dilunturkan.
Telefon ini juga sesuai untuk pencipta kandungan selain daripada jurugambar. Pencipta kandungan seperti saya pasti memerlukan peranti yang mudah dibawa ke mana-mana untuk merakam inspirasi saya. Dengan sistem anti-getaran Penstabilan imej optik (OIS) dan Penstabilan imej elektronik (EIS), saya boleh membuat vlog larian dan aktiviti sukan lain tanpa perlu memegang penstabil telefon. Bukan itu sahaja, ia mampu menghasilkan video yang berkualiti dalam keadaan cahaya rendah.
Kesimpulan – Telefon kelas pertengahan tetapi setanding andalan
Kesimpulannya, HONOR 200 Pro menonjol sebagai telefon pintar kelas pertengahan yang mengagumkan, menggabungkan reka bentuk elegan dengan ciri-ciri praktikal yang mengutamakan keselesaan pengguna. Panel belakangnya yang menarik, menggabungkan kemasan matte yang berkilauan, bukan sahaja memancarkan kualiti premium tetapi juga memastikan penampilan yang sentiasa bersih.
Daripada segi prestasi, cipset Snapdragon 8s Gen 3, RAM 12GB dan storan 512GB memastikan pelbagai tugas yang pantas dan lancar. Tetapan kamera yang serba boleh termasuk sensor utama 50MP dan mod potret khusus, memenuhi keperluan pengguna biasa dan pencipta kandungan, menawarkan gambar dan video berkualiti tinggi.
Keupayaan pengecasan pantas, sama ada berwayar atau wayarles menambah lagi kemudahan, menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk pengguna yang sentiasa bergerak. Secara keseluruhannya, HONOR 200 Pro menggabungkan gaya, fungsi dan kuasa, menjadikannya antara pilihan yang menarik dalam julat harganya.
Anda juga mempunyai pilihan peranti lain seperti realme GT 6 yang baru sahaja dilancarkan pada harga RM2,599 membawa cipset yang sama dengan skrin AMOLED 6.78 inci, RAM 16GB dan pengecasan 120W. vivo V30 Pro juga boleh menjadi pilihan anda yang menawarkan cipset Dimensity 8200, RAM 12GB bersama RAM maya 12GB dan kamera ZEISS 50MP pada harga RM2,599.
Adakah anda akan mempertimbangkan HONOR 200 Pro ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

