Site icon TechNave BM

Ulasan HUAWEI Band 4e – Gelang pintar yang boleh dilekatkan di kasut

Pada bulan yang lalu, HUAWEI telah melancarkan HUAWEI Band 4e (Active) di pasaran Malaysia dengan penawaran harga yang berpatutan. Gelang pintar kelas permulaan ini dilihat seperti direka untuk orang ramai dan mampu milik. Ia hadir dengan beberapa mod sukan dan boleh dilekatkan di kasut anda. Ikuti ulasan selanjutnya mengenai HUAWEI Band 4e dan lihat jika ini adalah gelang pintar yang sesuai untuk anda.

HUAWEI Band 4e hadir dengan paparan PMOLED 0.5 inci yang menyokong gerakan sentuh jari dan seret. Saya mendapati bahawa ia berfungsi dengan lancar, tiada sela masa semasa menggunakan ciri yang ada. Gelang pintar ini juga sangat ringan (berat 4g), jadi anda hampir merasakan seperti tidak memakai apa-apa, walaupun anda memakainya di tangan atau di kasut. Untuk pilihan warna, ia tersedia dalam pilihan Mineral Red (seakan merah jambu) dan Graphite Black (hitam).

HUAWEI Band 4e apabila dilekatkan di kasut

Beralih ke mod sukan, gelang pintar ini hadir dengan panduan berlari, pengawasan berbasikal dan penjejakan prestasi bola jaring. Terdapat keseluruhan 9 metrik bentuk larian termasuklah “strike pattern”, “landing impact”, “ground contact time”, “cadence” dan banyak lagi. Anda boleh menyemaknya dalam senarai pada aplikasi HUAWEI Health. Untuk menggunakan mod-mod ini, anda hanya perlu menanggalkan gelang pintar dari talinya dan lekatkan ia di kasut anda. Ia akan tersedia dalam mod berlari atau bola jaring secara automatik. Untuk kembali pada mod sukan biasa, anda hanya perlu tekan selama 1-2 saat.

Gelang pintar ini mempunyai rating tahan air 5ATM, dimana anda boleh membawanya untuk berenang. Tiada masalah juga jika anda berpeluh atau ada air yang tertumpah di atas gelang pintar. Ia boleh tahan air sehingga kedalaman 50 meter di bawah permukaan air. Saya tidak ada menggunakannya untuk berenang, tetapi saya mengujinya dengan meletakkan ia di bawah air paip, gelang pintar masih bertahan dan berfungsi dengan baik. Selain itu, HUAWEI Band 4e turut hadir dengan beberapa ciri pintar seperti mencari telefon anda, kiraan langkah, kalori, jarak perjalanan, dan banyak lagi. Namun, pengesanan degup jantung dan oksigen dalam darah tidak tersedia.

Analisis bentuk larian anda

Masa pengecasan untuk HUAWEI Band 4e adalah kira-kira satu jam setengah dan ia mampu bertahan sehingga 2 minggu. Ia boleh dicas melalui pin pengecasan USB-ke-pogo yang berbentuk seperti pemacu USB. Untuk menggunakannya, anda perlu menanggalkan peranti dari talinya dan muatkan ia ke dalam pengecas. Setelah itu, anda boleh menyambungkannya ke komputer atau mana-mana palam pengecas.

Gelang pintar ini turut menyokong Bluetooth 5.0 dan sambungannya agak baik. Untuk menyemak sejarah senaman, anda boleh memuat turun aplikasi HUAWEI Health dan menyambungkan gelang pintar dengan telefon anda. Setelah anda membuka aplikasi, maklumat akan diselaraskan secara automatik ke telefon anda.

Dicas melalui penyambung USB-ke-pogo pin

Jadi, perlukah anda mendapatkan gelang pintar ini? Secara peribadi, saya menyukai jangka hayat baterinya yang panjang dan bagaimana ia boleh dilekatkan di kasut semasa saya sedang berlari. Dengan ini, saya boleh menyemak status di aplikasi semasa sedang bersenam. Namun, ketiadaan pengesan degup jantung tidak dapat memberi kemudahan untuk pengguna melihat kadar degup jantung.

Ia kelihatan bagus dengan harga RM119, tetapi terdapat Xiaomi Mi Band 6 yang bakal hadir tidak lama lagi untuk dipertimbangkan (saya jangkakan julat harganya adalah sama). Namun ketahanan bateri dan dua mod pemakaian memberi keunikan kepada gelang tangan pintar ini. Apakah pandangan anda pula mengenai HUAWEI Band 4e? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Ciri teknologi dan spesifikasi HUAWEI Band 4e

Kelebihan dan kelemahan

Kelebihan: Ringan, tali pusam (matte) TPU dan analisis larian

Kelemahan: Pilihan mod pengawasan sukan terhad kepada sukan tertentu sahaja, tiada sensor degup jantung

Kesimpulan: Selesa dipakai dan jangka hayat bateri panjang, tetapi pilihan mod sukan yang sedikit

Exit mobile version