Jenama HUAWEI sememangnya adalah nama yang tidak asing lagi dalam pasaran komputer riba. HUAWEI telah memasuki pasaran ini sejak awal tahun 2016 dengan siri MateBook mereka. Sejak dari itu, komputer riba keluaran mereka ini telah mendapat sambutan yang baik kerana ciri-cirinya yang menarik dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Terbaru, HUAWEI telah melancarkan sebuah lagi komputer riba dari siri MateBook iaitu HUAWEI MateBook 14 2020. Komputer riba ini dihasilkan untuk pengguna yang inginkan sebuah komputer riba yang versatil. Jika dilihat pada spesifikasinya, HUAWEI MateBook 14 ini pasti dapat menarik minat orang ramai terutamanya bilangan RAM setinggi 16GB serta skrin beresolusi 2K. Adakah HUAWEI MateBook 14 ini sesuai untuk anda? Mari lihat ulasan kami mengenai komputer riba terbaru HUAWEI ini.
Dari jauh lagi anda sudah boleh lihat akan kecantikan komputer riba MateBook 14 ini. Ia hadir dengan reka bentuk yang minimalis dengan warna Space Gray (kelabu) yang kemas dan tampak elegan. Dengan badan aluminium dan berat 1.49kg serta ketebalan 15.9mm, kami tidak mempunyai masalah untuk membawanya ke mana sahaja. Tambahan lagi, pengecas komputer riba ini bersaiz kompak dan yang menarik, ianya juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar. Jadi, ini sangat memudahkan aktiviti pengguna terutamanya yang sering kali bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Bahagian kanan MateBook 14 tersedia dengan dua port USB-A, manakala di sebelah kiri pula tersedia dengan port USB-C untuk pengecasan, bicu audio 3.5mm dan penyambung HDMI. Kami merasakan komputer riba ini mempunyai bilangan port yang mencukupi untuk penggunaan harian anda. Jika anda inginkan slot kad SD dan juga port LAN, anda boleh menyambungkannya melalui penyesuai (adapter).
Untuk skrin komputer riba MateBook 14 ini pula, ia hadir dengan skrin 14 inci IPS beresolusi 2K (2160 x 1440) dengan nisbah skrin ke badan 90%. Kami merasakan skrin komputer riba ini adalah antara yang terbaik dalam jurang harganya. Ia mempunyai bezel yang nipis di sekelilingnya dan warna yang dihasilkan adalah tepat, menawan dan cantik. MateBook 14 ini dapat menghasilkan kecerahan yang baik, namun tidaklah terlalu cerah untuk penggunaan di luar rumah yang memuaskan.
Satu ciri menarik yang ada pada skrin komputer riba ini ialah skrin sentuhnya. Ciri skrin sentuh ini hanya hadir pada varian tertinggi MateBook 14. Skrin sentuh MateBook 14 ini beroperasi sama seperti telefon pintar dengan kadar bacaan sentuhan yang sangat baik. Tiada sela masa (lag) yang dapat dirasakan ketika bernavigasi menggunakan skrin sentuh komputer riba ini. Namun, MateBook 14 ini tidak boleh digunakan sebagai tablet kerana ianya tidak boleh lipat sehingga 360 darjah.
Nisbah aspek skrin komputer riba ini adalah 3:2, sedikit berbeza daripada kebanyakan komputer riba yang lain. Nisbah 3:2 ini sememangnya dapat memberi ruang yang lebih lebar terutamanya sewaktu anda melakukan kerja harian seperti melayari internet, menulis dan membaca artikel. Jika anda menonton filem dan video dengan skrin penuh, anda akan dapat lihat bezel hitam bahagian atas dan bawah yang agak tebal.
Untuk pembesar suara pula, ianya terletak di bahagian bawah badan komputer riba. Walaupun begitu, bunyi yang dihasilkan agak kuat dan tidak terhalang secara penuh kerana lokasi pembesar suaranya sebenarnya berada di bahagian bawah tepi komputer riba yang terangkat sedikit. Bunyinya jelas dan sedap didengari ketika menonton video atau filem dengannya.
HUAWEI MateBook 14 ini juga hadir dengan lubang pengudaraan pada bahagian bawah dengan sistem penyejukan yang baik. Kami merasakan komputer riba ini tidak terlalu panas ketika menggunakannya untuk tugasan harian selama beberapa jam. Jika anda menggunakan komputer riba ini untuk menyunting video atau bermain game, anda akan dapat merasakan kepanasan yang lebih sedikit dan bunyi kipas yang lebih kuat. Sememangnya komputer riba ini tidak direka untuk gaming yang berpanjangan dan penyuntingan video yang berat.
Bercakap mengenai papan kekuncinya pula, ianya mempunyai reka bentuk yang lebar, tidak sempit dan mudah untuk menggunakannya. Papan kekuncinya juga terasa lembut dan seronok untuk digunakan tanpa sebarang kelewatan pada skrinnya. Di dalam papan kekuncinya juga terletak kamera web komputer riba ini. Jika anda ingin menggunakannya, anda hanya perlu menekan kekunci dengan simbol kamera ini. Ianya direka seperti ini untuk melindungi kamera web daripada digunakan oleh penggodam. Kami merasakan sudut rakaman dari kamera web ini terasa janggal kerana ianya merakam dari sudut bawah.
Di bahagian bawah papan kekunci MateBook 14 ini, terletak pad sentuh yang lebar dan selesa untuk digunakan. Pad sentuh MateBook 14 ini hadir dengan ciri HUAWEI Share yang dapat menyambungkan telefon pintar HUAWEI anda pada komputer riba ini dengan sangat mudah. Anda boleh memindahkan fail atau gambar dari telefon pintar ke komputer riba dengan hanya tarik (drag) di skrin komputer riba ini sahaja. MateBook 14 ini juga datang dengan sensor cap jari yang terletak pada butang kuasanya. Kelajuan pengesanan cap jari adalah baik dan mudah untuk digunakan.
HUAWEI MateBook 14 ini hadir dengan pemproses AMD Ryzen 7 4800H, grafik AMD Radeon, RAM DDR4 2666Mhz setinggi 16GB serta storan SSD PCIe NVMe sehingga 512GB. Penggunaan tugasan harian dengan komputer riba ini dapat dilakukan tanpa sebarang masalah. Dengan RAM setinggi 16GB, komputer riba ini boleh juga digunakan untuk menyunting video.
Walau bagaimanapun, kami merasakan prestasinya tidak begitu memuaskan terutamanya jika anda ingin menyunting video dengan tambahan kesan grafik yang banyak kerana ianya tidak mempunyai kad grafik yang khas untuk berbuat demikian. Kami juga telah bermain game Counter Strike Global Offensive menggunakan peranti ini. Dengan tetapan grafik rendah, ia hanya mampu mencapai frame rate sehingga 50fps sahaja. Jika tetapan tinggi digunakan, ia hanya capai setinggi 30fps dan tidak dapat berikan pengalaman gaming yang selesa. Berikut adalah gameplay Counter-Strike yang telah kami uji menggunakan MateBook 14 ini.
Kami juga telah menguji komputer riba ini menggunakan penanda aras PCMark 10. Markah yang ditunjukkan adalah sangat baik untuk penggunaan harian anda seperti tugasan kerja pejabat dan tugasan pelajaran. Anda juga boleh menggunakannya untuk mencipta kandungan seperti menyunting gambar dan video yang tidak memerlukan kuasa grafik yang tinggi dengan selesa. Jika anda ingin bermain game dengan kerap, komputer riba ini mungkin bukanlah pilihan yang tepat untuk anda walaupun ianya hadir dengan RAM setinggi 16GB.
Untuk baterinya pula, MateBook 14 dilengkapi dengan bateri bersaiz 56 Wh yang menyokong pengecasan USB-C 65W. Ia mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja untuk mengecas dari 5% sehingga 100%. Dengan bateri yang penuh, kami dapat menggunakannya lebih kurang 6 ke 7 jam untuk penggunaan harian yang ringan. Jika anda menggunakannya untuk tugasan yang berat, jangka hayat baterinya akan menurun.
HUAWEI MateBook 14 dijual dengan tanda harga RM3,799 untuk varian AMD Ryzen 5 4600H manakala RM4,399 untuk varian AMD Ryzen 7 4800H. Dengan harga ini, komputer riba ini boleh dikatakan berbaloi dengan ciri-ciri istimewa dan spesifikasi yang ditawarkan. Komputer riba ini adalah antara yang termurah di pasaran yang hadir dengan ciri skrin resolusi 2K. Jika anda ingin mencari komputer riba untuk tugasan harian dan untuk menonton video, MateBook 14 ini adalah pilihan yang bagus.
Namun, jika anda seorang gamers ataupun content creator (pencipta kandungan) yang memerlukan kuasa grafik yang tinggi, mungkin anda boleh pertimbangkan komputer riba lain yang hadir dengan kad grafik yang lebih baik. Pada jurang harga yang hampir sama, anda boleh lihat pada komputer riba lain seperti Lenovo Yoga Slim 7i, Dell Vostro 13 5300 dan juga Apple MacBook Air untuk spesifikasi dan ciri teknologi yang berbeza.
Ciri dan spesifikasi HUAWEI MateBook 14 2020
- Dimensi 307.5mm x 223.8mm x 15.9mm
- Berat 1.49kg
- Pemproses AMD Ryzen 5 4600H / AMD Ryzen 7 4800H
- Grafik AMD Radeon
- RAM 2666MHz DDR4 16GB
- SSD PCIe NVMe 256GB / 512 GB
- Bateri 56Wh
- Pengecasan pantas 65W
- Nisbah skrin ke badan 90%, nisbah aspek 3:2
- Skrin IPS 14 inci dengan resolusi 2K (2160 x 1440 piksel), kelulusan TUV Rheinland
- 4x mikrofon, 2x pembesar suara
- Butang kuasa dengan pengecas cap jari
- Kamera web 720p HD pop-up
- Papan kekunci backlit
- Warna Space Grey
- Sokongan WiFi IEEE 802.11a/b/g/n/ac, 2×2 MIMO
- Sokongan Bluetooth 5.0
- USB 3.2 Gen 1 x 2, USB Type-C (untuk pengecasan dan data) x 1, HDMI x 1, bicu audio 3.5mm
- Windows 10
Kelebihan: Reka bentuk kemas dengan warna yang elegen, skrin resolusi 2K yang menawan, RAM setinggi 16GB untuk multitasking dan penyuntingan video sederhana.
Kelemahan: Kekurangan port LAN dan slot kad SD, kedudukan kamera web dan pembesar suara yang kurang baik, ketiadaan kad grafik yang bagus
Kesimpulan: Komputer riba dengan ciri-ciri istimewa seperti skrin 2K, sesuai untuk tugasan harian dan untuk content creator (pencipta kandungan) yang tidak memerlukan kuasa grafik yang tinggi.
Bagaimana dengan ulasan komputer riba terbaru HUAWEI ini? Kongsikan dengan kami di Facebook dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

