Site icon TechNave BM

Ulasan JOI Book SK3000: Komputer riba cip SD850, Windows 10 Pro yang bagus, kompak, tahan lama

Qualcomm baru-baru ini telah mendedahkan beberapa cipset Snapdragon untuk komputer riba dan mungkin JOI Book SK3000 adalah komputer riba cipset Snapdragon yang pertama di Malaysia. Dengan paparan 12.5 inci FHD, komputer riba ultra kompak ini bukan sahaja dioperasikan Microsoft Windows Pro, tetapi juga menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 850. Ketahui ulasan penuh kami mengenai JOI Book SK3000.

Mengenai reka bentuknya, SK3000 adalah antara komputer riba ternipis yang kami ulas dengan ketebalan kurang daripada 15mm. Dengan berat 1.05kg, ia terbina dengan litupan besi yang kemas, lebih baik dari yang kami jangkakan. Bezelnya pula adalah sangat nipis, manakala kekunci dan pad sesentuhnya terasa sedikit janggal, tetapi agak responsif.

Apa ada dalam kotak, termasuk pengecas kompak

Dua pembesar suara terletak di bahagian atas papan kekunci, bersebelahan butang kuasa agak kuat, tetapi audionya seperti kecil sahaja. Di bahagian bawah skrin pula terletaknya kamera web, di mana lokasi ini adalah lokasi yang tidak dijangka untuk kamera web. Syukurlah skrin ini boleh ditolak ke belakang dan memadai untuk merakam anda, jadi tiada masalah untuk mesyuarat dalam talian.

Di bahagian sisi, terdapat satu sahaja port USB Type-C untuk kedua-dua pemindahan kuasa dan data, bersama bicu audio 3.5mm. Logo JOI terpampang di hadapan komputer riba. Jika anda terbalikkan komputer riba, terdapat panel yang boleh ditanggalkan (anda memerlukan pemutar skru kecil bermata phillip untuk membukanya), khas untuk kad nanoSIM 4G LTE dan kad microSD. Komputer riba SK3000 dan pengecas kompaknya pasti muat di dalam kebanyakan beg galas.

Markah Geekbench 5 untuk JOI Book SK3000

Dari segi aspek prestasi, beberapa penanda aras yang biasa kami gunakan tidak berfungsi dengan baik, mungkin kerana aplikasi tidak dioptimumkan untuk cipset ARM. Namun untuk Geekbench 5, SK3000 mendapat markah Single-Core 502 dan Multi-Core 1900 yang mana agak dekat dengan prestasi segmen komputer riba dengan pemproses AMD Ryzen 5 3500U. Perbezaan ketara adalah semasa ujian, SK3000 tidak panas dan tiada bunyi bising kipas yang boleh didengar.

Dengan bateri 4500mAh, SK3000 berupaya menguruskan tugasan tanpa dicas kembali selama 36 jam, dan masih mempunyai lebih kurang 30% (WiFi diaktifkan). Memandangkan kebanyakan komputer riba hanya mampu bertahan dari 5 hingga 10 jam sebelum dicas kembali, SK3000 memiliki jangka hayat bateri panjang ‘gila’ dengan prestasi lebih kurang sama dengan AMD Ryzen 3500U. Jadi, ia merupakan komputer riba kompak yang tidak memakan banyak masa untuk mengecas kembali. Pengecasan penuh semula mengambil masa lebih kurang 2 jam.

Roblox agak lancar dimainkan melalui JOI Book SK3000 (video ini dibuat menggunakan JOI Book SK3000)

Malangnya, gaming agak terhad kepada Candy Crush dan game kasual yang tidak intensif sahaja. Anda boleh bermain Minecraft atau Roblox dengan lancar di mana grafik Adreno 630 dilihat lebih baik berbanding grafik integrasi Intel HD pada pemproses Intel Core i3.

Anda juga boleh membuat kerja pengeditan asas seperti fail foto atau video dengan baik. Setakat ini, kami tidak menemui mana-mana aplikasi yang memiliki isu kesesuaian (compatibility) dengan komputer riba ini (Microsoft Office, GIMP, Google Chrome, Google Docs dan Video Editor berfungsi dengan baik) selain dari aplikasi penanda aras PCMark dan 3DMark yang tersekat separuh jalan atau tidak berfungsi. Ulasan ini dan beberapa artikel turut ditulis menggunakan SK3000, jadi ianya terbukti baik sebagai mesin kerja.

Sambungan WiFi adalah stabil dan baik, sementara pilihan untuk menambah kad nanoSIM 4G LTE bermakna anda boleh menggunakan hotspot mudah alih juga. Tontonan filem adalah jelas apabila berada di dalam bangunan, namun tidak terlalu jelas ketika di bawah cahaya matahari. Alangkah baiknya jika paparannya adalah skrin sentuh, namun skrin biasa seperti ini sudah memadai.

Secara keseluruhan, JOI Book SK3000 adalah komputer riba cemerlang untuk produktiviti dan tugasas asas (pengeditan imej dan video asas, gaming ringan dan lain-lain), terima kasih kepada pengoperasian Qualcomm Snapdragon 850. Dengan harga RM2,199, ia adalah komputer riba senyap dan tahan laman yang layak dipertimbangkan berbanding komputer riba lain pada julat harga yang sama, dari RM2,000 hingga RM2,300.

JOI Book SK3000 yang sangat mudah alih dengan berat hanya 1.05kg

Kami lebih suka jika harganya lebih rendah, namun memandangkan anda hanya memerlukan lebih kurang RM60 untuk menambah storan sehingga 256GB, kami berpendapat ianya tidak membebankan poket. Isu biasa yang boleh dirungut adalah kekurangan port (isu biasa untuk komputer riba kompak), tetapi kekurangan ini boleh diatasi dengan membeli Hub USB Type-C (ya, HDMI dan USB Type-A berfungsi dengan baik).

SK3000 mungkin bukan komputer riba terbaik untuk pembentangan kerana kualiti audionya, tetapi ia adalah mesin kerja tahan lama yang baik untuk pelajar dan pekerja pejabat. Komputer riba ini membuka mata pengguna tentang jenama JOI dan jenama komputer riba lain yang menggunakan pemproses Snapdragon.

Ciri teknologi dan spesifikasi

Kelebihan dan kekurangan

Kelebihan: Tidak bising, jangka hayat bateri 2x ganda lebih baik berbanding komputer riba lain dengan harga yang sama. Penambahan storan mudah dan sambungan 4G LTE, memiliki bicu audio 3.5mm.

Kekurangan: Audio kecil dan storan cuma 128GB. Tiada skrin sentuh dan port yang terhad.

Kesimpulan: Komputer riba dengan cip Qualcomm Snapdragon 850 berasaskan Windows 10 Pro yang melebihi prestasi biasa dan tahan lama sehingga 36 jam, hanya pada harga sekitar RM2,000.

Exit mobile version