Site icon TechNave BM

Ulasan Lenovo Yoga Slim 7 – Komputer riba harian mantap untuk pencipta kandungan

Komputer riba mungkin tidak sepopular telefon pintar di pasaran Malaysia, tetapi ianya masih menjadi sebahagian daripada keperluan sama ada dari segi gaming atau produktiviti. Pada bulan September lepas, Lenovo Malaysia telah memperkenal Yoga Duet 7i dan Yoga Slim 7i, tetapi kali ini kami akan mengulas mengenai Lenovo Yoga Slim 7.

Dengan harga bermula RM3,499, Yoga Slim 7 menampilkan pemproses siri AMD Ryzen 4000 dengan Radeon Graphics. Jika anda mahir dalam dunia komputer, anda pasti tahu pemproses ini adalah salah satu pemproses yang baik untuk gaming. Tidak terhenti di situ, ia juga ideal untuk pencipta kandungan (content creator). Ketahui ulasan kami dengan lebih lanjut mengenai Lenovo Yoga Slim 7 seperti di bawah.

Mengenai reka bentuknya, Yoga Slim 7 kelihatan seperti komputer riba biasa. Oleh kerana komputer riba ini bukan untuk gaming, jadi ia tidak ada reka bentuk khas yang berfokuskan gaming. Biasanya pembesar suara terletak di belakang komputer riba, tetapi terdapat dua pembesar suara stereo terletak di bahagian tepi. Butang kuasa diletakkan di sebelah kanan bersama pembaca microSD yang mana bagus untuk jurugambar memindahkan gambar mereka.

Lenovo Yoga Slim 7, rekaan ringkas dalam warna Slate Grey
Skrin panel boleh dibuka sehingga menjadi rata. Komputer riba juga boleh mengubah suai tahap kecerahan secara automatik bergantung kepada keadaan. Jadi, tiadalah tiba-tiba sahaja cahaya terpancar di muka apabila kita membukanya
Pandangan lebih dekat pada papan kekunci. Pembesar suara Dolby Atmos dan tag AMD Ryzen
Tiada apa di belakang kecuali lubang pengudaraan
Port di bahagian kiri adalah USB-C, HDMI, USB-B 3.2 dan bicu audio 3.5mm. Di sebelah kanan pula pembaca microSD, 2x USB-A 3.1 dan butang kuasa

Anda juga boleh melihat kamera web di komputer riba yang terletak di tengah panel skrin. Ia turut berfungsi sebagai pengimbas muka untuk menyahkunci komuter riba dan prestasi nyahkuncinya agak baik (sehingga saya tidak peduli tentang password, hanya menggunakan imbasan wajah untuk nyahkunci). Menaip di papan kekunci juga terasa baik, tetapi ia tidak mempunyai butang untuk mengaktifkan cahaya di belakang papan kekunci. Jadi, anda perlu biasakan diri. Siri Yoga terkenal dengan pelbagai mod paparan, tetapi Yoga Slim 7 cuma boleh dibuka rata sehingga 180 degree (tidak boleh didirikan seperti tablet).

Mengenai spesifikasinya, tiada banyak perkara yang boleh diperkatakan. Yoga Slim 7 mempunyai pemproses AMD Ryzen 4500 dengan kelajuan sehingga 2.30GHz, bersama grafik Radeon Graphics. Selain perkakas yang baik ini, ianya tidak sesuai untuk bermain game kerana kekurangan kad grafik yang baik. Bukannya tak boleh bermain game langsung, tetapi saya tidak menggalakkan anda bermain game dengan keperluan grafik yang tinggi. Anda masih boleh bermain Among Us (hahaha).

Boleh main Doom Eternal, tetapi tidak lancar seperti yang ditunjukkan dalam video
Oleh kerana tiada NVIDIA, kami hanya boleh menggunakan penanda aras PCMark 10
Mengikut carta, markah keseluruhan 4972 menjadikannya lebih baik dalam kalangan komputer riba bukan untuk gaming yang lain
Panel skrin yang boleh beroperasi pada 60Hz sahaja semasa bermain Doom Eternal
Agak panas jika anda bermain game bergrafik tinggi

Dengan perkakas sebegini, Yoga Slim 7 terbaik digunakan untuk pencipta kandungan. Pada hari bekerja yang biasa saya bukan sahaja menulis artikel, tetapi juga terlibat dengan produksi video. Di sinilah komputer riba ini menunjukkan taringnya. Saya boleh menggunakannya untuk menguruskan video bersaiz besar dengan lancar dan mengeditnya tanpa sebarang masalah. Saya juga mengujinya tanpa memasang pengecas dan ia mampu bertahan dengan baik. Kesemua tugasan video berjaya dilakukan oleh kerana saiz RAM 16GB yang sangat membantu.

Berkenaan prestasi ketahanan bateri, saya rasa ini adalah ciri terbaik untuk komputer riba ini. Semasa pengeditan video, saya terkejut kerana ia mampu bertahan sehingga ke petang (lebih kurang 5 jam) untuk mengecasnya kembali. Jika anda menggunakannya untuk tugasan biasa, baterinya akan bertahan lebih lama. Saya sudah mengujinya beberapa kali dengan tugasan menulis artikel dan mengulas artikel dan ia mampu bertahan sehingga 6 hingga 7 jam. Tentunya, ia juga bergantung kepada penggunaan anda. Pengecasannya pula mengambil masa agak lama untuk mencapai pengecasan penuh.

Menonton video berkualiti tinggi boleh dikira lulus
Anda boleh juga menonton filem di Netflix dengan baik
Kualiti kamera web adalah stabil! (Gambar tengah)
Tangkapan skrin dua monitor yang digunakan untuk menulis artikel (sebelah kanan) dan memproses video (sebelah kiri)

Berkenaan prestasi sambungan, tiada kekurangan pada komputer riba ini. Anda juga boleh menyambungkannya dengan monitor lain melalui port HDMI yang tersedia. Sebenarnya, setelah saya fikirkan, agak bagus kerana Lenovo berjaya menyediakan port HDMI dalam badan nipis Yoga Slim 7 ini. Secara keseluruhan, peranti ini ialah peranti dengan ciri produktiviti yang sangat bagus. Oh, satu lagi – dalam kebanyakan perkara positif mengenai komputer riba ini, panel skrin 14 inci adalah terlalu kecil untuk saya dan saya lebih suka menggunakan monitor yang disambungkan melalui HDMI.

Dengan harga bermula RM3,499, saya berpandangan bahawa komputer riba ini adalah sangat bagus untuk kerja dan mencipta kandungan. Secara peribadi, saya snagat menyukai prestasi bateri dan pembesar suara stereo. Ciri nyahkunci wajah dan ubah suai tahap kecerahan automatik juga adalah penambahan yang baik. Jika anda ingin bermain game, ianya boleh dimatkan tetapi bukan game jenis Triple-A. Komputer riba sebegini biasanya agak mahal dan boleh mencecah sehingga RM5K. Jika dibandingkan dengan Lenovo ThinkBook 14, saya lebih suka dengan Yoga Slim 7.

Ciri teknologi dan spesifikasi

Kelebihan: Bateri mantap dan pembesar suara Dolby Atmos, nyahkunci wajah dan ubah suai tahap kecerahan automatik yang sangat membantu, boleh menguruskan hampir semua tugasan produksi seperti mengedit video

Kelemahan: 14 inci adalah saiz kecil untuk pencipta kandungan

Kesimpulan: Salah satu komputer riba produktiviti berpatutan untuk pengguna yang mempunyai belanja rendah

Exit mobile version