Site icon TechNave BM

Ulasan Logitech Lift – Tetikus ergonomik dengan bentuk pelik

Tetikus komputer merupakan satu alat yang penting pada waktu ini kerana dalam kebanyakan tugas harian kita, tidak kira sama ada dalam pekerjaan atau hiburan, memerlukan aksesori ini. Walau bagaimanapun, reka bentuk tetikus yang konvensional boleh menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan seperti carpal tunnel syndrome selepas anda menggunakannya untuk tempoh yang lama pada setiap hari.

Bagi memudahkan anda untuk mengguna komputer dengan lebih selesa, Logitech Malaysia telah melancarkan Logitech Lift iaitu sebuah tetikus wayarles yang direka khas untuk digunakan secara selesa. Tetikus ini mempunyai reka bentuk yang sangat berlainan daripada tetikus biasa, jadi adakah ia berjaya untuk mengurangkan risiko kecederaan pada pergelangan tangan? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

Logitech Lift adalah sebuah tetikus menegak atau vertical mouse di mana butang klik kiri dan kanan disusun secara hampir menegak menegak dengan sudut 57° dan bukannya mendatar seperti tetikus biasa. Ini akan membuatkan anda untuk memegangnya seperti hendak ‘bersalaman tangan’ dengan Logitech Lift dan kedudukan tangan seperti ini adalah lebih natural daripada cara memegang tetikus biasa.

Cara memegang Logitech Lift

Sekali pandang, reka bentuk Logitech Lift memang nampak aneh dan saya sendiri menyoal sama ada saya boleh menggunakannya sebagai tetikus. Sungguh pun begitu, sebaik sahaja saya menempatkan jari-jemari di sekelilingnya, saya rasa amat selesa dan tidak mengambil masa yang lama untuk menggunakannya seperti tetikus saya sebelum ini. Bahagian tempat letak tangan pula mempunyai permukaan getah yang selesa apabila disentuh.

Sungguh pun begitu, reka bentuknya yang besar membuatkan tetikus ini sukar untuk dibawa ke mana-mana atau dimasukkan ke dalam beg. Logitech Lift lebih sesuai dijadikan sebagai tetikus di ruang pejabat atau meja komputer di rumah dan digunakan di satu tempat sahaja.

Daripada segi warna, separuh hadapan tetikus ini mempunyai warna yang lebih terang daripada separuh belakang. Logitech Lift juga ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam Graphite, kelabu Pale Grey dan merah jambu Rose.

Tona warna yang berlainan di separuh hadapan dan separuh belakang
Separuh belakang yang mempunyai permukaan getah untuk sentuhan selesa

Selain itu, butang klik kiri dan kanan juga rasa amat selesa untuk ditekan. Butang klik menghasilkan bunyi yang sangat perlahan apabila ditekan, jadi tetikus ini amat sesuai digunakan dalam suasana yang senyap seperti di perpustakaan atau pejabat. Walau bagaimanapun jika anda lebih menggemari butang klik dengan tindak balas yang lebih anjal, anda mungkin tidak menyukai Logitech Lift kerana butang kliknya agak lembut.

Jika anda merupakan seorang yang kidal, Logitech Lift turut ditawarkan dalam varian khas untuk tangan kidal. Dalam ulasan ini, saya menggunakan varian untuk pengguna tangan kanan.

Ia mempunyai roda tatal (scroll wheel) di antara butang klik kiri dan kanan, dan di bawahnya terdapat sebuah lagi butang yang boleh menukar sensitiviti DPI (dots per inch) di antara dua tahap secara pantas. Tahap DPI ini boleh dilaraskan dalam perisian Logi Options+ yang saya akan huraikan sebentar lagi.

Roda tatal (scroll wheel) dan butang tukar DPI di sebelah kirinya
Butang kiri dan butang kanan untuk ibu jari

Selain empat butang di atas, Logitech Lift turut mempunyai sepasang lagi butang di bahagian ibu jari dan ia boleh ditetapkan untuk pelbagai jenis fungsi seperti kawalan muzik, tahap audio, kecerahan skrin, buka perisian dan banyak lagi. Saya sendiri menetapkan dua butang klik ibu jari ini dengan fungsi salin (copy) dan tampal (paste).

Logitech Lift boleh dihubungkan secara Bluetooth dengan tiga komputer serentak, sesuatu yang amat berguna buat mereka yang memerlukan desktop dan komputer riba setentak sewaktu bekerja. Di bawah, tetikus ini mempunyai lampu yang menunjukkan ia sedang dihubung kepada komputer pertama, kedua atau ketiga. Untuk bertukar di antara tiga komputer ini, anda boleh menekan sebuah butang berhampiran lampu tersebut.

Bahagian bawah Logitech Lift
Lampu untuk menandakan komputer yang dihubungkan. Butang di bawah lampu itu boleh ditukan untuk menukar komputer

Tetikus ini menggunakan bateri AA dan pintu baterinya dilekatkan secara magnetik di bahagian bawah. Turut berada di sebelah bateri adalah penghubung wayarles (dongle) Bolt USB yang boleh dicucuk pada port USB komputer. Secara amnya, kualiti hubungan wayarles dengan dongle tersebut adalah serupa dengan Bluetooth, jadi ia bukanlah sesuatu yang perlu.

Logitech Lift boleh digunakan secara terus (plug-and-play) tanpa perlu memasang sebarang perisian, namun jika anda ingin memanfaatkan sepenuhnya fungsi yang terdapat pada tetikus ini, saya mengesyorkan anda untuk memuat turun perisian Logi Options+. Di sini, anda boleh melaraskan tahap sensitiviti, semak tahap bateri serta menetapkan fungsi untuk empat butang utama yang boleh diprogramkan pada Logitech Lift.

Apa yang menarik adalah tetapan klik boleh diprogramkan mengikut perisian berbeza. Sebagai contoh, anda boleh mempunyai tetapan klik yang berlainan untuk Google Chrome, Zoom dan Microsoft Word. Logi+ Options menyediakan beberapa tetapan klik untuk perisian popular seperti tiga perisian yang dinyatakan tadi, namun anda boleh menambah perisian anda sendiri jika ia tidak disertakan dalam Logi+ Options.

Perisian Logi Options+
Fungsi yang boleh ditetapkan pada butang ibu jari dan butang tengah
Pelarasan sensitiviti DPI
Boleh menetapkan butang untuk perisian yang berlainan

Jika anda menggunakan sehingga tiga komputer serentak, Logi+ Options membenarkan anda untuk mengakses Logi Flow, di mana anda boleh gerakkan penanda tetikus (mouse pointer) di antara tiga skrin dengan lancar. Selain itu, anda juga boleh menyalin dan tampal (copy and paste) fail di antara dua komputer berbeza dengan hanya menyalin fail pada skrin komputer pertama dan menampal fail itu pada skrin komputer kedua.

Untuk hayat bateri, Logitech berkata tetikus ini boleh bertahan dengan satu bateri AA sehingga dua tahun. Sebuah bateri AA disertakan dalam kotak tetikus ini untuk kemudahan anda. Saya berpendapat bahawa ketiadaan bateri dalaman yang boleh dicas semula adalah satu kekurangan untuk tetikus ergonomik seperti ini, namun memandangkan bateri AA boleh bertahan dengan lama, ini bukanlah satu isu yang besar.

Jika anda berminat untuk menggunakan Logitech Lift sebagai tetikus gaming, saya tidak mengesyorkannya kerana pegangan tetikus yang menegak akan menyukarkan gerakan tangan yang pantas. Saya telah mencubanya dalam game tembak-menembak dan sukar untuk saya membidik senapang pada musuh.

Dengan harga RM299, Logitech Lift adalah sebuah produk yang sangat berbaloi untuk mereka yang inginkan tetikus yang paling selesa untuk digunakan dalam tempoh yang lama setiap hari. Walau bagaimanapun, ia direka lebih kepada saiz tangan yang kecil, jadi jika anda mempunyai tangan yang besar, boleh lihat pada Logitech MX Vertical yang lebih mahal.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tetikus ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Spesifikasi

Kebaikan: Selesa dipegang, hayat bateri lama, ditawarkan dengan varian kidal, perisian Logi+ Options

Keburukan: Tiada bateri dalaman yang boleh dicas semula, reka bentuk yang sukar untuk dibawa ke mana-mana

Kesimpulan: Produk menarik untuk mereka yang inginkan tetikus ergonomik

Exit mobile version