Site icon TechNave BM

Ulasan MSI Stealth 15M – Komputer riba “gaming” yang ringan dan berkuasa

Dengan teknologi yang semakin maju pada setiap tahun, syarikat komputer seperti MSI boleh menghasilkan komputer riba gaming yang semakin nipis. Kini, komputer riba gaming bukan lagi sebuah peranti yang yang berat dan tebal, sebaliknya ia kini lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana seperti komputer riba biasa.

Antara komputer riba gaming yang sesuai untuk menunjukkan ciri ini adalah MSI Stealth 15M (A11UEK) di mana ia bukan sahaja boleh menjana prestasi pantas, malah masih boleh mengekalkan reka bentuk yang lebih nipis daripada komputer riba gaming lain. Untuk mengetahui pendapat seorang penulis TechNave tentangnya, ayuh baca ulasan kami untuk komputer ini di bawah.

Stealth 15M mempunyai slogan “Slim, Sharp and Stylish” (nipis, segak dan bergaya) dan saya berpendapat rekaannya menepati slogan tersebut. Komputer ini mempunyai ketebalan 16.15mm dan berat 1.7kg sahaja, membuatkannya sangat ringan untuk sebuah komputer riba gaming. Ia mempunyai rekaan yang ringkas dan ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu kelabu Carbon Grey.

Warna kelabu kemas di belakang skrin
Komputer riba ini boleh diratakan sepenuhnya
Port di bahagian kanan dan kiri. Perlu diingati bahawa petak berwarna hitam itu adalah lohong pengudaraan, bukannya port USB
Rekaan lohong pengudaraan yang agak unik di bahagian bawah

Sebagai sebuah komputer riba gaming ultra-nipis, anda perlu menjangkakan sedikit kompromi bagi mencapai reka bentuk tersebut. Salah satunya adalah jumlah port USB-A yang lebih sedikit iaitu dua USB-A sahaja, namun sekurang-kurangnya MSI turut melengkapkan port USB-C Thunderbolt 4 pada komputer ini. Thunderbolt 4 mungkin bukanlah port yang digunakan secara meluas di Malaysia, namun saya menjangkakan lebih ramai orang akan mula menggunakannya dalam masa terdekat.

Sebaik sahaja anda menghidupkan komputer ini, ia didatangkan dengan beberapa perisian yang telah siap dipasang seperti Xbox, namun kita semua sedia maklum bahawa ia bukanlah konsol gaming yang popular di Malaysia. Selain itu, game yang dijual dalam perisian Xbox juga dipaparkan dengan harga USD, jadi ia tidak akan menarik hati gamers Malaysia untuk menggunakannya.

Perisian utama dalam komputer ini adalah Dragon Center yang menawarkan fungsi standard untuk mengawal komputer gaming. Ini termasuklah pelarasan cahaya RGB pada papan kekunci, kelajuan kipas, pendaftaran waranti dan banyak lagi.

Anda juga boleh mengawal tahap prestasi yang ingin dijana, seperti Extreme Performance untuk prestasi tertinggi atau Super Battery untuk memanjangkan hayat bateri. Jika anda lebih gemarkan suasana yang senyap sewaktu bekerja, anda boleh hidupkan mod senyap (Silent) dan komputer ini tidak akan menghasilkan sebarang bunyi, namun kadang-kala kipasnya masih menghasilkan bunyi yang perlahan. Sebaik sahaja anda membuka game AAA, komputer ini akan mengaktifkan mod Extreme Performance secara automatik.

Beralih kepada skrin pula, Stealth 15M dilengkapi skrin dengan kadar segar semula 144Hz. Sungguh pun begitu, sewaktu kita masih kerap bekerja di rumah (WFH) ini, saya berpendapat gamers akan menghubungkan komputer riba ini kepada sebuah monitor luaran jadi mereka mungkin tidak akan banyak bergantung kepada skrin 144Hz ini. Dua port Thunderbolt 4 yang disebutkan tadi boleh dihubungkan kepada monitor dengan resolusi sehingga 8K untuk tugas produktiviti atau gaming.

Dynamic range agak luas dalam game Control, anda boleh lihat habuk dengan jelas

Daripada segi spesifikasi dalaman, Stealth 15M dilengkapi CPU 11th Gen Intel Core (sehingga Core i7), GPU NVIDIA GeForce RTX3060 6GB GDDR6, RAM DDR4 16GB dan SSD NVMe PCIe Gen 3 M.2 512GB. Seperti yang anda boleh jangkakan dengan spesifikasi tersebut, ia boleh memainkan sebarang game AAA dengan selesa pada kadar grafik tertinggi.

Saya telah memainkan Far Cry 5 pada kualiti grafik ultra dan saya boleh menikmati pemandangan yang cantik serta tekstur HD yang sangat jelas, namun ia masih memerlukan VRAM sebanyak 4GB daripada GPU.

Seperti yang anda boleh jangkakan untuk sebuah komputer riba gaming, ia akan menjadi sangat panas dalam tempoh yang singkat. Mujur sekali habanya dialirkan dengan baik ke bawah komputer dan ia tidak memanaskan papan kekunci. Anda juga boleh hidupkan fungsi Cooler Booster 5 untuk meningkatkan kadar pelesapan haba.

Kelajuan tertinggi yang saya dapat adalah 11.7MB/s
Prestasi webcam yang sederhana
Tiada masalah menjana video

Di luar gaming, Stealth 15M boleh mengoperasikan tugas produktiviti, penyuntingan gambar serta penghasilan video dengan pantas. Ia turut mempunyai sokongan untuk WiFi 6 bagi kelajuan internet terpantas jika anda sudah pun memiliki perkhidmatan internet yang menawarkan hubungan tersebut. Kualiti webcam pula agak sederhana, walaupun ia boleh merakam dalam resolusi 720p.

Jika anda merancang untuk membawa Stealth 15M ini ke dalam kafe atau mana-mana tempat di luar, pastikan anda membawa sekali pengecasnya kerana baterinya tidak boleh bertahan lama. Sepanjang penggunaan saya untuk kerja harian, baterinya hanya boleh bertahan selama sejam lebih, manakala pengecasan penuh daripada 10% pula mengambil masa sekitar dua jam. Ini adalah sifat yang biasa terdapat dalam kebanyakan komputer riba gaming kerana ia memang memerlukan banyak tenaga.

Reka bentuk mirip komputer riba biasa

Secara keseluruhan, MSI Stealth 15M adalah komputer riba gaming yang sangat cemerlang. Ia boleh menjana prestasi yang sangat pantas untuk semua kegunaan, manakala masalah kecil seperti kewujudan perisian remeh pula boleh ditangani dengan mudah. Produk ini pastinya sesuai untuk gamers yang inginkan peranti yang mudah dibawa namun masih boleh menjana prestasi pantas untuk game mereka.

Seperti yang boleh diagak, prestasi pantas dalam pakej kompak ini dijual pada harga yang mahal iaitu RM6,899. Walaupun ia adalah harga yang boleh dijangka untuk sebuah komputer riba gaming, anda boleh dapatkan komputer yang serupa daripada jenama lain dengan harga yang lebih murah, seperti Lenovo Legion 5 Pro (RM6,799). Komputer tersebut menawarkan GPU yang lebih pantas sedikit, SSD 1TB dan skrin 16 inci 165Hz dengan nisbah aspek 16:10, namun reka bentuknya tidak senipis Stealth 15M.

Spesifikasi dan fungsi MSI Stealth 15M:

Kelebihan – Komputer riba berkuasa tinggi dengan reka bentuk ringan dan bergaya

Kekurangan – Harga yang mahal berbanding komputer lain yang mempunyai spesifikassi serupa

Kesimpulan – Komputer sesuai untuk gamers yang kerap bergerak ke pelbagai tempat

Exit mobile version