Site icon TechNave BM

Ulasan Nothing Headphone (1) – Fon kepala paling “rare” untuk 2025?

Nothing secara rasmi telah melancarkan Nothing Headphone (1) di Malaysia sebagai percubaan pertama mereka dalam kategori fon kepala over-ear. Sejak diumumkan, ia menjadi perhatian kerana membawa identiti rekaan lutsinar ikonik Nothing ke format fon kepala penuh lengkap dengan ciri seperti Active Noise Cancellation (ANC), bateri tahan lama dan talaan audio hasil kerjasama dengan KEF.

Nothing Headphone (1) ini memang sebuah fon kepala yang membawa vibe berbeza kerana rekaan lutsinar ala zaman 80-an, rasa macam main peranti zaman dulu tapi hipster gila. Masa pertama kali pakai, salah seorang kawan saya terus tanya “ha tu apa kau pakai?” kerana memang menarik perhatian. Fon kepala agak berat sikit (329g) tetapi bukan berat yang menekan kepala secara teruk.

Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

Tapak telinga PU memory foam cukup lembut, rasa secure di kepala. Namun, bila cuaca panas atau memakainya lebih 45 minit dalam keadaan suhu bilik, telinga cepat rasa hangat. Selain itu, perkara yang membuatkan saya senang ialah cawan telinga dan headband yang sememangnya memberikan cengkaman yang stabil tetapi padding atas kepala agak nipis. Selepas sesi muzik lebih tiga jam, kepala mula rasa letih sikit.

Secara keseluruhan, Nothing Headphone (1) memberi keselesaan yang sangat diperlukan untuk penggunaan harian cuma bukan pilihan ideal kalau niat hendak pakai sepanjang hari tanpa rehat. Tiba di bahagian kawalan, Nothing bagi pengalaman tactile yang jarang nampak dalam pasaran sekarang. Ia hadir dengan roller untuk kelantangan dan tekan ANC, paddle untuk langkau lagu dan butang untuk voice assistant atau fungsi lain.

Memory foam cukup lembut
Untuk telinga pun sama. Cengkaman yang selesa

Macam main alat kawalan retro, sedap dan pantas, jauh lebih puas hati daripada ciri sentuhan yang kadang-kadang menjengkelkan. Untuk pengalaman audio, kolaborasi dengan KEF nampak berbaloi. Bass padu dengan punch tetapi tidak menenggelamkan vokal. Memang seronok untuk dengar lagu pop atau elektropop kerana bunyi yang dihasilkan terasa hidup dan bertenaga.

Walau bagaimanapun, kalau ANC diaktifkan, bunyi yang dihasilkan agak tenggelam dan perlu menguatkan yang akhirnya akan membuatkan telinga sedikit sakit untuk penggunaan yang lama. Untuk penggunaan dan hayat bateri, satu perkataan yang saya boleh cakap, hebat. Dua minggu penggunaannya, saya hanya mengecas dua kali sahaja. Penggunaan ini adalah berdasarkan penggunaan harian biasa semasa bekerja dan mendengar muzik.

Butang untuk bantuan suara
Suis hidup/mati, port usb-c dan audio 3.5mm

Headphone (1) tahan sekitar 42 jam dengan ANC diaktifkan dan sekitar 80 jam tanpa ANC yang mana ia merupakan sesuatu pencapaian yang menakjubkan. Pengecasan pantas selama lima minit memberikan beri beberapa jam dengar semula. App Nothing X juga seronok untuk guna kerana boleh tetapkan EQ secara terperinci (8-band), toggles spatial audio, OTA firmware dan boleh kongsi preset melalui QR.

Untuk ciri spatial audio saya rasa lebih sesuai digunakan ketika menonton filem atau gaming kerana untuk muzik kadang rasa gimmick sahaja. Untuk kualiti panggilan, dalam keadaan bilik senyap okay, suara jelas. Namun, kalau berada di luar dengan keadaan bising atau angin kuat, mikrofon agak struggle sikit. Bagi mereka yang banyak buat panggilan luar, mungkin ia tidak sesuai kerana pengecaman suara agak tidak konsisten.

Nothing Headphone (1) ditawarkan pada harga RM1,099 dan ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu hitam serta putih. Kalau dibandingkan dengan pilihan lain di pasaran Malaysia, Nothing Headphone (1) jelas cuba menyaingi model premium dengan cara berbeza kerana tampil dengan rekaan lutsinar ikonik, bateri tahan lama dan kawalan fizikal yang menyeronokkan.

Berbanding Bose Headphones 700 yang berharga sekitar RM1,299, Bose menawarkan ANC yang lebih mantap dan mikrofon lebih baik untuk panggilan tetapi baterinya jauh lebih singkat. Sementara itu, Sony WH-1000XM4 yang masih relevan di pasaran dengan harga sekitar RM1,199 menawarkan gabungan ANC yang sangat baik, audio seimbang dan keselesaan premium untuk sesi mendengar lama, walaupun sudah digantikan oleh model lebih baharu.

Bunyi dia memang syahdu~
Pelik tapi menarik tapi terbaik ehh. Gaya retro dalam moden

Kesimpulannya, dalam tempoh dua minggu saya rasa Nothing Headphone (1) bawa pengalaman yang segar dan bukan biasa-biasa. Saya perlu beri mata tambahan untuk gaya retro-futuristik, kawalan fizikal yang memuaskan, bateri tahan lama, sambungan lengkap, aplikasi X Nothing dan suara yang bertenaga untuk muzik seharian. Nak fon kepala bertema, portabel, customizable dan buat orang pandang dua kali? Nothing Headphone (1) memang jawapannya.

Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Spesifikasi lengkap Nothing Headphone (1):

Kebaikan dan Keburukan

Kelebihan: Reka bentuk ikonik dengan kawalan fizikal, bateri sangat tahan lama, kualiti bunyi seimbang dengan bass padu, sambungan lengkap dan aplikasi pintar.

Keburukan: Berat sedikit, ANC dan mod Transparency mungkin boleh dipertingkatkan lagi untuk kedapan dan lebih semula jadi, kurang selesa jika dipakai lama.

Ringkasan: Berbaloi untuk yang mahukan fon kepala bergaya dengan bateri tahan lama dan pengalaman berbeza, tetapi bukan pilihan terbaik jika cari ANC terbaik atau keselesaan sepanjang hari.

Exit mobile version