OPPO Reno12 Pro 5g secara rasminya telah dilancar di Malaysia pada 27 Jun lalu. Ia membawakan reka bentuk yang anggun dan beberapa penambahan ciri yang patut diberi perhatian. Pertama kali diperkenalkan di China pada Mei lalu, versi Reno 12Pro 5G China menampilkan Dimensity 9200+ manakal versi global dan dalam Malaysia menampilkan cipset Dimensity 7300-Energy yang lebih cekap tenaga.
Peranti ini mempunyai skrin OLED 6.7 inci dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak 1,200 nits. Walau bagaimanapun, bukan sahaja paparan yang menonjol, telefon ini mempunyai sudut melengkung di setiap penjuru yang memberikan rasa mewah. Ini mungkin bayangan awal untuk pembaca tentang potensi telefon pintar ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengalaman menggunakan OPPO Reno12 Pro 5G, jom baca ulasan ini!
Rekaan – Paparan, kemasan eksklusif
OPPO Reno12 Pro bukanlah satu perubahan besar daripada generasi sebelumnya dan seperti tradisi telefon pintar Reno, ia ringan, padat dan bergaya. Telefon dalam siri ini mahu menarik minat pengguna yang lebih muda dan memberi perhatian khusus kepada reka bentuk. Walaupun telefon ini hampir keseluruhannya dibina daripada plastik, ia selesa dipegang dan rasa premium di tangan.
Unit yang kami terima untuk membuat ulasan adalah berwarna Nebula Silver tetapi terdapat juga pilihan warna Space Brown dan Sunset Gold. Warna perak mempunyai corak beralun yang menarik di bahagian belakang kelihatan seperti sutera yang memantulkan warna ungu. Permukaannya walaupun tiada tekstur, tetapi sangat mencengkam mungkin kerana menggunakan kemasan matte dan tiada kesan cap jari.
Bahagian hadapan juga tidak kurang menariknya kerana skrin dilindungi Gorilla Glass Victus 2 dan mempunyai kelengkungan pada semua sisi seperti yang terdapat pada iPhone 8. Ia membantu pengguna kerana mungkin ada di antara kalangan pengguna yang gemarkan skrin rata berbanding melengkung. OPPO bijak untuk mengambil langkah dengan menggabungkan skrin rata dan melengkung pada penjuru untuk menghasilkan kesan premium.
Untuk peranti yang mempunyai skrin berukuran 6.7 inci, Reno12 Pro 5G menampilkan badan dengan berat 180 gram dan ukuran tebal 7.4mm. Pengimbas cap jari berfungsi dengan baik dan selamat tetapi ia diletakkan terlalu dekat dengan bawah skrin menjadikannya agak janggal untuk dicapai dengan ibu jari jika saya memegang telefon seperti biasa. Walau apa pun, Reno12 Pro 5G merupakan peranti yang bergaya dan direka dengan baik dengan reka bentuk yang menonjol.
Spesifikasi – Cukup untuk kegunaan harian
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Reno12 Pro 5G:
- Cipset MediaTek Dimensity 7300-Energy For Reno
- RAM 12GB dan storan 512GB yang boleh dikembangkan sehingga 1TB dengan kad mikroSD
- Skrin AMOLED fleksibel lengkung 120Hz 6.7 inci
- 2412 × 1080, 394 PPI dan 1200 nits
- Bateri 5,000mAh dengan pengecasan SUPERVOOC 80W
- Kamera belakang: Kamera utama 50MP, kamera telefoto 50MP dan ultra lebar 8MP
- Kamera swafoto 50MP
- Spesifikasi lain: NFC 360°, IP65, 5G dwi-SIM
- Warna: Nebula Silver dan Space Brown
- Harga: RM2,599
Reno12 Pro dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 7300 yang merupakan cipset baharu dengan proses pembuatan 4nm tetapi sebahagian besarnya berdasarkan Dimensity 7050. CPU beroperasi dengan teras 4x 2.5 GHz Cortex-A78 dan teras 4x 2.0 GHz Cortex-A55 manakala GPU ialah Mali-G615 yang menjanjikan peningkatan kecekapan sebanyak 25% berbanding pendahulunya.
Satu lagi perbezaan antara 7050 dan 7300 ialah ISP. Kini, HDR Imagiq 950 12-bit mampu menangkap dwi video menggunakan dua kamera serentak. Untuk memori, Reno12 Pro 5G menawarkan konfigurasi RAM 12GB dan storan memori UFS 3.1 512GB. Bagi saya, peranti ini sudah untuk digunakan bagi tugasan seharian, menyimpan gambar atau bermain game.
Untuk skrin, ia menampilkan panel OLED 6.7 inci yang bagus dengan kadar penyegaran 120Hz bersama sokongan HDR10+. Resolusi adalah standard dengan 1080 x 2412 piksel dan kedalaman warna 10-bit. Bagi saya, paparannya mencapai standard untuk peranti tahun 2024. Kecerahan maksimum 1,200 nits pada waktu siang memberikan tahap penglihatan yang sangat baik dan memastikan kandungan skrin kekal kelihatan.
Dan sekurang-kurangnya kecerahan 2 nits untuk tontonan sebelum tidur. OPPO mengatakan bahawa kecerahan puncak ialah 1,200 nits tetapi ia mestilah menggunakan HDR yang bermakna skrin boleh mencapai tahap maksimum apabila memainkan kandungan HDR. Bezelnya juga kelihatan nipis dan tidak menyakitkan mata dengan kesan bingkai hitam sekeliking skrin.
Siri OPPO Reno biasanya cuba meneroka spesifikasi dan ciri kamera peringkat teratas. Reno12 Pro 5G dilengkapi dengan sensor utama 50MP, kamera telefoto 50MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera swafoto 50MP. Kamera ultra-lebar 8MP yang digunakan agak ketinggalan berbanding telefon segmen pertengahan yang lain tetapi “sekurang-kurangnya” ia ada.
Daripada segi audio, Reno12 Pro 5G mempunyai set pembesar suara standard dalam konfigurasi hibrid yang mana pembesar suara kedua berfungsi sebagai alat dengar manakala bahagian bawah adalah pembesar suara sepenuhnya. Namun begitu, bunyinya agak seimbang. Pembesar suara pada bahagian bawah sedikit lebih kuat tetapi ia tidak begitu ketara seperti yang dijangkakan.
Terdapat herotan dan agak sedikit bingit pada tahap volum yang lebih tinggi. Bunyi tinggi dan pertengahan terlalu herot untuk citarasa saya manakala bass hampir tidak ketara. Dalam erti kata lain, saya akan menonton video YouTube menggunakan telefon ini tetapi tidak akan menstrim muzik secara langsung melalui pembesar suara.
OPPO Reno12 Pro 5G dilengkapi dengan ciri AI kontemporari penuh seperti AI Summary untuk meringkaskan artikel panjang atau rakaman suara, AI Writer untuk membantu saya menulis mesej yang lebih terperinci, lebih pendek atau lebih sopan dan AI Speak (text-to-speech) untuk membacakan artikel panjang kepada anda.
Tambahan, terdapat juga AI Eraser 2.0 yang merupakan pemadam pintar yang menghilangkan sebarang objek dalam gambar, AI Clear Face dan AI Best Face untuk tajamkan muka dalam foto kumpulan atau memilih subjek dalam gambar dan AI Studio untuk menyunting wajah saya pada pelbagai avatar kartun.
Reno12 Pro 5G hadir dengan sistem operasi ColorOS 13.1 berdasarkan Android 14. Ia mempunyai bar sisi terapung yang boleh menyimpan pintasan ke aplikasi kegemaran, papan keratan, boleh seret dan lepas fail, menyalin teks masuk dan keluar daripada mana-mana aplikasi. Terdapat juga kotak alat AI yang akan kelihatan dalam bar sisi apabila kandungan pada skrin membenarkan ciri AI digunakan.
Selain itu, ColorOS mempunyai banyak pintasan pintar dan penambahbaikan penggunaan seperti gerak isyarat mod satu tangan yang pantas, pelancaran pantas, aplikasi daripada imbasan cap jari, berbilang pilihan penentukuran warna paparan, folder aplikasi besar yang boleh disesuaikan untuk skrin utama dan banyak lagi. OPPO tidak menjanjikan tempoh kemas kini peranti tetapi saya menjangakan ia mempunyai 2 tahun kemas kini Android dan 3 tahun kemas kini keselamatan.
Prestasi – Kamera potret yang “umphh!”
Memandangkan saya menerima unit pra-jualan, ini bermakna penanda aras tidak dapat dipasangkan dan dijalankan pada peranti sekarang. Jadi, saya hanya boleh mengulas tentang pengalaman dan tindak balas peranti ini. Ia peranti yang bagus tetapi kadang-kadang terdapat sedikit ketinggalan dalam sentuhan dan kadangkala “tergagap” sebelum melancarkan aplikasi atau mengeluarkan papan kekunci.
Untuk nilainya, ciri AI berfungsi dengan pantas sekurang-kurangnya setanding dengan pesaing seperti Galaxy S24. Selain itu, saya juga melakukan ujian untuk situasi bermain game. Saya cuba memainkan game seperti PUBG MOBILE dan Mobile Legends: Bang-bang (MLBB) kerana saya rasa ramai pengguna di Malaysia yang turut memainkan game tersebut.
Sebagai contoh, melalui tangkapan skrin untuk yang ditunjukkan, anda boleh memilih pilihan grafik HDR dan kadar bingkai Ultra untuk tetapan dalam game PUBG MOBILE yang mana ia tidak menyokong mod Ultra HDR dan Extreme HDR. Seterusnya, untuk game MLBB, saya boleh tetapkan grafik Ultra untuk kedua grafik dan kadar bingkai.
Selepas menggunakannya dalam tempoh sejam untuk bermain game, saya dapati bateri masih lagi mempunyai kapasiti dalam 60% dan tiada isu tentang kepanasan peranti pada bahagian belakang. Saya bermain game di dalam bilik dengan suhu sederhana tanpa menggunakan pendingin hawa dan hanya menggunakan kipas untuk pengudaraan. Saya merasakan untuk bermain game tiada masalah untuk peranti ini dan yang seronok baterinya tahan!
Untuk bahagian prestasi bateri Reno12 Pro 5G, ia berkapasiti 5,000 mAh dan digandingkan bersama cipset Dimensity 7300-Energy (cekap kuasa) memberikan hayat bateri yang sangat baik. Saya boleh menggunakan telefon ini sehari suntuk tanpa perlu memikirkan tentang pengecasan jika tidak bermain game. OPPO Reno12 Pro mengecas dengan sangat pantas dengan pengecas SuperVooc 80W yang disertakan bersamanya.
Ia mengambil masa 30 minit untuk pengecasan 76% dan 41 minit untuk pengecasan penuh. Untuk kamera pula, OPPO Reno12 Pro 5G dilengkapi kamera utama 50MP f/1.8, 26mm (lebar), 1/1.95″, 0.8µm, PDAF berbilang arah, OIS, kamera ultra lebar 8MP f/2.2, 16mm, 112˚, 1/4.0″, 1.12µm, fokus tetap dan telefoto 50MP f/2.0, 47mm, 1/2.75″, PDAF, zum optik 2x. Bahagian hadapan pula terdapat kamera swafoto 50 MP, f/2.0, 21mm (lebar), 1/2.75″, PDAF; 4K@30fps.
Dua kamera potret yang ditampilkan OPPO merujuk kepada zum 2x dan kamera x1 sebagai khusus potret. Unit zum 2x mempunyai apertur lebar untuk potret cahaya malap yang baik dan zum optik 2x. Jarang untuk jumpa telefon dengan konfigurasi seperti ini di pasaran secara keseluruhan. Jelas bahawa OPPO menyasarkan golongan pengguna yang lebih muda yang juga minat dengan fotografi.
Hal ini kerana sistem kamera dilengkapi sepenuhnya untuk menghasilkan foto dan video yang bagus untuk media sosial. Kamera ultralebar 8MP sebaliknya agak mengecewakan tetapi kita akan lihat hasilnya adakah wajar untuk kita bimbangkan atau pun tidak. Kamera utama menghasilkan foto yang bagus dan tajam tetapi kurang perincian halus apabila dilihat dari dekat.
Warna tepu dan kontras yang tinggi menghasilkan beberapa gambar yang terang walaupun kadangkala ia boleh menjadi berlebihan. Julat dinamik agak baik tetapi saya menjangkakan ianya boleh jadi lebih baik. Mengambil gambar di dalam rumah menghasilkan imej yang lebih lembut dan kurang terperinci tetapi sekurang-kurangnya algoritma menghilangkan noise berfungsi dengan baik.
Gambar potretnya juga mengagumkan dengan butiran yang jelas dan tajam. Kamera zum 2x pula melangsaikan tugasnya dengan cukup cekap. Ia menangkap imej yang bersih, tajam dan terperinci dengan suhu warna yang sedikit lebih panas berbanding dengan kamera utama. Selain itu, unit zum agak lemah daripada segi pencahayaan yang mana subjek boleh jadi terlampau gelap dengan katar belakang yang terlampau terang.
Sesetengah tangkapan gambar kelihatan agak pencahayaan berbeza dengan kamera utama. Terdapat juga pilihan zum 5x khusus yang dipangkas daripada kamera zum 2x. Penghasilan gambar boleh dikatakan sama tetapi kehilangan butiran dengan agak ketara. Sejujurnya, foto zum 5x tidak begitu buruk dan ia boleh digunakan dengan sempurna untuk siaran media sosial kasual.
Kamera ultra lebar menghasilkan foto terperinci yang cantik dengan warna yang terang tetapi cenderung untuk mendapatkan pendedahan cahaya yang lebih rendah dan mengimbangi julat dinamik yang terhad. Sama seperti kamera zum, imej yang dihasilkan agak gelap mungkin kerana bergelut ingin mengekalkan cahaya pada subjek.
Terdapat juga percubaan yang jelas untuk meningkatkan ketajaman dengan beberapa penajaman selepas pemprosesan tambahan tetapi hasilnya seperti bercampur. Kadang-kadang gambar yang dihasilkan kelihatan seperti buatan (tidak asli). Saya merasakan kekuatan sebenar telefon ini adalah pada kamera potretnya. Contoh video daripada OPPO Reno12 Pro 5G:
Kesimpulan – Untuk kasual fotografer, penggunaan sepanjang hari
OPPO Reno12 Pro 5G adalah alternatif yang menarik jika anda ingin mencuba telefon yang kaya dengan ciri AI tetapi tidak mahu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk telefon segmen perdana. Ia pada asasnya memiliki tanda harga yang jauh lebih murah berbanding Galaxy S24 tetapi tidak mengurangkan sebarang ciri AI walaupun sesetengah daripadanya tidak berfungsi dengan baik.
Pada harga RM2,599, OPPO Reno12 Pro 5G pastinya bukan peranti yang murah tetapi seperti yang saya katakan pada mulanya, fokus OPPO untuk telefon ini adalah golongan muda yang ingin menonjol, ciri AI dan kameranya. Anda juga boleh membandingkan peranti ini dengan beberapa peranti lain untuk mendapatkan hasil yang terbaik, berbaloi dengan bajet anda.
Antara telefon pintar yang dilihat berpotensi menjadi pesaing OPPO Reno12 Pro 5G adalah seperti realme GT 6 (SD 8s Gen 3), OnePlus 12R (SD 8 Gen 2), Poco F6 Pro (SD 8s Gen 3) dan Xiaomi 13T Pro (Dimensity 9200+). Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri yang anda boleh bandingkan daripada segi cipset, perkakasan dan juga sistem operasi. Sehingga kita berjumpa lagi dalam ulasan yang akan datang!
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

