Pada awal bulan ini, OPPO melancarkan tiga model terbaru dalam siri telefon kelas pertengahan Reno iaitu OPPO Reno14, OPPO Reno14 Pro dan OPPO Reno14 F, di mana model OPPO Reno14 F merupakan yang paling murah dengan harga bermula RM1,399. Segmen telefon kelas pertengahan merupakan segmen yang paling banyak pilihan daripada pelbagai jenama untuk anda, jadi adakah Reno14 F telefon yang paling sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:
Rekaan – Cantik bak ikan duyung
Unit Reno14 F yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna biru Opal Blue dengan corak Iridescent Mermaid Design yang menampakkan kilauan sangat unik, mirip seperti kain yang berkilauan. Permukaan ini akan mempunyai kilauan yang berubah-ubah apabila anda sengetkan telefon ini. Semua varian Reno14 mempunyai corak seperti ini, jadi jika anda suka corak ini tetapi mahu bayar harga yang paling murah, Reno14 F adalah pilihan yang sesuai.
Perlu diingati bahawa hanya warna Opal Blue mempunyai corak Mermaid Design ini. Pilihan warna lain seperti merah jambu Glossy Pink atau hijau Luminous Green hanya mempunyai corak yang rata sahaja.
Bonggol kameranya tidak terlalu tebal, malah hampir rata sepenuhnya dengan permukaan belakang. Bahagian sisinya juga rata, namun dengan bucu yang tidak terlalu tajam supaya anda masih boleh memegangnya dengan selesa.
Bahagian bawah menempatkan pembesar suara, port USB-C dan slot dwi-kad SIM, bahagian kanan menempatkan butang kuasa dan butang volume, manakala di atas juga terdapat satu lagi pembesar suara.
Satu lagi ciri penting pada telefon ini adalah ia mempunyai rating kalis air IP66, IP68 dan IP69 yang bermaksud telefon ini masih boleh ditengglami air dan ia masih berfungsi seperti biasa. Selain itu, anda juga akan terima sarung lutsinar untuk telefon ini dalam kotaknya.
Spesifikasi – Macam tiada perubahan?
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Reno14 F:
- Skrin AMOLED 6.57 inci, resolusi 2372×1080, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 1,400 nits
- Cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 (4x 2.2 GHz Cortex-A78 dan 4x 1.8 GHz Cortex-A55)
- RAM 8GB atau 12GB
- Storan dalaman 256GB atau 512GB
- Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
- Kamera hadapan 32MP
- Bateri 6,000mAh
- Pengecasan pantas 45W
- Sistem operasi Android 15 dengan ColorOS 15, akan terima lima tahun kemas kini utama ColorOS
- Rating kalis air IP66/IP68/IP69
- Pembesar suara stereo
Reno14 F mempunyai spesifikasi yang boleh dijangka untuk telefon pada harga ini yang dilancar pada 2025, namun perlu dinyatakan bahawa ia tidak mempunyai perbezaan yang ketara berbanding OPPO Reno13 F yang dilancar pada Januari lalu. Lihat sahaja pada cipsetnya, ia menggunakan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 yang sama seperti Reno13 F, dengan kelajuan clock yang sama pada semua teras. Ini bermaksud ia tidak akan bawa perbezaan prestasi yang ketara dengan generasi sebelumnya.
Skrinnya kini lebih kecil berbanding Reno13 F, di mana skrin Reno14 F berukuran 6.57 inci (berbanding 6.67 inci pada Reno 13 F). Lebih aneh adalah kecerahan puncaknya (peak brightness) yang juga diturunkan, di mana Reno14 F mempunyai kecerahan puncak 1,400 nits sahaja berbanding 2,100 nits. Skrin Reno14 F masih boleh dilihat dengan terang bawah cahaya matahari terik, namun saya tidak pasti mengapa OPPO merendahkan kecerahan puncaknya berbanding Reno13 F.
Skrin ini menggunakan panel AMOLED dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 120Hz, jadi segala kandungan video memang nampak cantik dan animasi sewaktu meleret skrin juga rasa lancar. Sebuah pengimbas cap jari berada di bahagian bawah skrin, ia berfungsi dengan sangat pantas namun saya merasakan kedudukannya terlalu rendah.
Kamera juga dikekalkan daripada Reno13 F kepada Reno14 F, dengan kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP di belakang, serta kamera hadapan 32MP. Sistem operasi juga sama, iaitu Android 15 dengan antara muka (UI) ColorOS 15 dan ia akan menerima kemas kini utama selama lima tahun.
ColorOS 15 menampilkan UI yang mesra pengguna, sangat responsif dan menawarkan beberapa pilihan ubahsuai (customisation). Perlu diingati bahawa telefon ini didatangkan dengan jumlah bloatware yang agak banyak, namun ia boleh dibuang.
Satu peningkatan kecil boleh dilihat pada kapasiti bateri, di mana Reno14 F mempunyai bateri 6,000mAh, lebih tinggi berbanding 5,800mAh pada Reno13 F. Kadar pengecasan pantas masih sama iaitu 45W dan pengecas pada kadar itu turut disertakan dalam kotak.
Saya merasakan spesifikasi Reno14 F sudah cukup bagus untuk kegunaan harian asas, namun jika anda sudah memiliki Reno13 F, anda sudah pun memiliki telefon yang 90% sama dengan Reno14 F.
Prestasi – Cukup untuk kegunaan harian
Berikut adalah hasil penanda aras yang dilakukan pada OPPO Reno14 F:
Untuk game popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile, saya tidak mempunyai masalah memainkannya, namun apabila saya memainkan game dengan keperluan grafik yang agak tinggi seperti CarX Street atau Delta Force, telefon ini sukar memainkannya dengan lancar. Saya perlu menurunkan tetapan grafik untuk mendapatkan kadar bingkai (frame rate) yang selesa.
Suhu telefon pula tidak pernah menjadi terlalu panas, sekitar 40°C sahaja. Ini mungkin kerana telefon ini tidak boleh menjana prestasi yang tinggi untuk game, jadi penjanaan habanya turut rendah sahaja dan hasilnya jari saya juga selesa memegang telefon ini sewaktu bermain.
Untuk hayat bateri, kapasiti 6,000mAh memang sudah cukup untuk tahan selama sehari. Jika anda menggunakannya secara ringan tanpa banyak menggunakan kamera atau bermain game, ia juga boleh bertahan sehingga dua hari. Daripada segi ketahanan bateri sewaktu bermain game, saya boleh memainkan CarX Street selama 30 minit menggunakan bateri sebanyak 7%. Penggunaan bateri sama juga boleh dilihat sewaktu memainkan Delta Force selama 30 minit.
Sewaktu mengecas pula, kadar pengecasan pantas 45W boleh mengecas penuh bateri ini dalam masa sekitar sejam setengah. Berikut adalah rekod pengecasan menggunakan pengecas 45W yang disertakan dalam kotak:
| Tempoh pengecasan | Tahap bateri |
| 0 minit | 1% |
| 30 minit | 37% |
| 60 minit | 72% |
| 1 jam 20 minit | 96% |
Kini mari beralih kepada prestasi kameranya pula. Dengan tiga kamera di belakang, Reno14 F menawarkan prestasi fotografi yang agak bagus untuk kategori harganya, dengan kawalan cahaya yang seimbang, warna yang terang dan jurang dinamik yang agak luas untuk sebuah telefon. Gambar yang diambil dalam situasi terang nampak cantik, manakala gambar yang diambil dalam situasi malap pula tidak mempunyai noise yang terlalu ketara.
Ketiadaan kamera telefoto bermaksud telefon ini tidak boleh mengambil gambar dengan zum yang jauh, namun ini boleh dijangka untuk telefon yang dijual pada kategori harganya. Ia boleh melakukan zum digital sehingga 10x dalam mod gambar dan video.
Video juga boleh dirakam dengan kualiti yang baik, dengan penstabilan imej optikal (OIS) yang bagus jika anda merakam video sambil bergerak. Sungguh pun begitu, rakaman pada kamera hadapan tidak mempunyai penstabilan yang bagus jika anda ingin merakam vlog.
Kamera belakang boleh merakam video dalam resolusi 4K 30fps, manakala kamera hadapan sekadar 1080p 30fps sahaja. Perlu diingati bahawa kamera ultra-lebar tidak menyokong rakaman video dan ini pasti akan mengehadkan kebolehan videografinya.
Kesimpulan – Cuma pembaharuan pada rekaan sahaja
OPPO Reno14 F memang menawarkan prestasi dan fungsi yang lengkap untuk segala kegunaan asas anda, sambil menampilkan rekaan luaran menarik yang diinspirasikan daripada corak ikan duyung. Namun saya perlu ketengahkan bahawa ia tidak membawa perubahan yang ketara berbanding Reno13 F yang telah dilancar pada awal tahun ini.
Perbezaan yang ketara antara Reno13 F dengan Reno14 F hanyalah pada rekaan belakangnya. Jika Reno14 F mempunyai corak ikan duyung, Reno13 F mempunyai corak rama-rama. Jadi pilih sahaja corak telefon yang mana menarik minat anda. Malah, anda mungkin boleh dapatkan Reno13 F pada harga yang lebih rendah berbanding Reno14 F, dan anda masih boleh dapatkan ciri-ciri yang serupa di antara kedua-dua telefon.
Alternatif yang sesuai termasuklah Redmi Note 14 Pro (RM1,299) jika anda inginkan kamera dengan sensor 200MP, realme 14 5G (RM1,199) jika anda inginkan cipset yang lebih baru iaitu Qualcomm Snapdragon 6 Gen 4, serta Samsung Galaxy A26 5G (RM1,199) jika anda inginkan kemas kini Android yang lebih lama, iaitu sehingga enam tahun.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

