Site icon TechNave BM

Ulasan OPPO Reno7 Z 5G – Telefon kelas pertengahan dengan penampilan menarik & fotografi jelas

Siri OPPO Reno7 terdiri daripada OPPO Reno7 dan OPPO Reno7 Pro. Tetapi, ada lagi satu model yang dikeluarkan oleh OPPO Malaysia pada baru-baru ini iaitu OPPO Reno7 Z 5G. Mari kita lihat ciri dan spesifikasi menarik OPPO Reno7 Z 5G kepada pengguna biasa.

Reka bentuk – Premium dan berkilau

OPPO Reno7 Z mempunyai bahagian belakang dan tepi yang rata memberikan penampilan yang elegan dan premium. Kami telah mendapat varian Rainbow Spectrum yang merupakan pilihan yang lebih baik berbanding warna hitam kerana kesan pelangi yang berubah-ubah di bahagian belakang apabila anda menggerakkan telefon pada pelbagai sudut.

Barang-barang di dalam kotak
Di bahagian belakang berkilau dan bertekstur matte!
Warna berubah apabila anda menggerakkan pada sudut yang berbeza
Selesa digenggam
Nisbah skrin-ke-badan yang baik
Lubang tebuk (punch-hole) untuk kamera hadapan di bahagian atas kiri
Bicu audio + port USB-C + pembesar suara
Butang pembesar suara berada di sebelah kiri dengan dulang SIM
Hanya butang kuasa di bahagian kanan

Selain daripada rupa keseluruhan, telefon pintar ini amat selsa dipegang. Ia hadir dengan tekstur 3 lapisan yang memberikannya rasa matte dan masih mengekalkan kilauan. Modul kamera juga membantu menjadikan keseluruhan reka bentuk belakang kelihatan eksklusif. Selain itu, peranti ini adalah ultra nipis berukuran 159.9 x 73.2 x 7.5 mm dan seringan 173g.

Kamera belakang terdiri daripada kamera utama sudut lebar, kamera makro di bawahnya, sensor kedalaman dan flash LED di antara kamera utama dan makro. Seperti yang anda lihat, dua kamera pertama agak besar namun ia tidaklah terlalu tebal. Ini bermakna anda tidak perlu memakai sarung getah getah jika anda menyukai warna dan tekstur peranti. Namun, kami mencadangkan agar anda memakai sarung getah untuk melindungi lensa kerana ia mungkin mudah tercalar akibat reka bentuk belakangnya yang tidak rata.

Kamera agak menonjol
Dulang SIM menyokong dua SIM atau 1x SIM + 1x kad microSD

Di sebelah kiri dan kanan masing-masing membawa ciri tersendiri. Butang kuasa berada di sebelah kanan manakala butang pembesar suara di sebelah kiri bersama dulang SIM. Di bahagian bawah terdapat bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara.

Spesifikasi & ciri – Semua yang diperlukan bagi telefon kelas pertengahan

Berikut ialah spesifikasi teknologi untuk OPPO Reno7 Z 5G:

Daripada segi spesifikasi, OPPO Reno7 Z diperitngkatkan dalam beberapa bahagian jika dibandingkan dengan OPPO Reno6 Z. Ia menggunakan cipset Snapdragon 695 5G yang memberikan prestasi dan hayat bateri yang lebih baik untuk kegunaan keseluruhan. RAM LPDDR4x 8GB dan storan UFS 2.2 128GB adalah sama dengan Reno6 Z dan tidak banyak boleh diulas tentangnya.

ColorOS 12 berdasarkan Android 11

Namun begitu, ia juga mempunyai penurunan taraf yang ketara. Model pada tahun lepas membawa kamera swafoto 32MP manakala Reno7 Z kali ini sekadar menampilkan kamera hadapan 16MP sahaja. Ia tidak memberikan isu besar bagi kebanyakan orang tetapi peminat swafoto pasti perasan akan penurunan dalam perincian imej.

Peranti ini membawa skrin AMOLED 6.43 inci dengan resolusi 2400×1080 (FHD+) dan kadar penyegaran semula 60Hz. Ia turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari optik dalam paparan. Apa yang kami tahu, ia menggunakan paparan yang sama seperti Reno6 Z. Memandangkan ia menggunakan panel OLED, skrin peranti ini boleh menghasilkan warna dan kontras yang lebih bagus.

Skrin AMOLED yang bagus, kadar segar semula yang bersesuaian
Beberapa fungsi berguna boleh didapati dalam tetapan

Terdapat beberapa fungsi menarik dalam menu tetapan telefon. Salah satunya adalah Breathing Light yang berfungsi untuk mengawal cahaya di sekeliling dua kamera di bahagian belakang. Anda boleh menetapkannya untuk menyala semasa mengecas atau menerima panggilan telefon. Terdapat juga tetingkap (window) Fleksibel yang membolehkan anda membuka dua aplikasi atau tab dibuka pada satu masa.

Dalam aplikasi kamera, anda akan melihat pelbagai ciri termasuk mod malam, perlahan (slow-mo), selang masa (time-lapse), panorama dan makro. Ciri Potret Suar Bokeh dalam mod Potret juga terdapat pada kamera swafoto. Sekiranya anda mahukan lebih banyak kawalan manual, mod Pakar (Expert) membolehkan anda melaraskan kelajuan pengatup (shutter speed), apertur, ISO, imbangan putih (white balance) dan tahap pendedahan (exposure level). Rakaman video adalah standard dengan resolusi 720p atau 1080p.

Mod permainan melakukan perkara biasa seperti pemberitahuan blok

Satu lagi ciri adalah mod Games yang membolehkan anda menyekat semua pemberitahuan ketika bermain game. Ia boleh membuka game mudah alih dengan pantas. Terdapat juga aplikasi pra-pasang seperti Netflix, WhatsApp, Lazada dan banyak lagi. Bloatware pada peranti tidak begitu berguna dan anda boleh menyahpasang kebanyakan aplikasi yang tidak diperlukan.

Bagi ciri keselamatan, terdapat pengimbas cap jari bawah paparan dan pengimbas muka. Sensor cap jari bersesuaian pada telefon ini dan membolehkan anda mengunci aplikasi atau fail terpilih yang mungkin berguna untuk bisnes. Anda juga boleh menggunakan pengimbas muka yang berfungsi agak pantas, tetapi malangnya, ia tidak akan berfungsi jika anda memakai pelitup muka.

Prestasi – Lancar dan ciri fotografi yang bagus

Penanda aras CPU Geekbench & penanda aras 3DMark Wild Life

OPPO Reno7 Z mungkin tidak sekuat seperti model Pro. Namun, peranti jarak pertengahan ini bukan sahaja kelihatan menarik tetapi juga berpatutan jika anda memerlukan telefon 5G pertama. Dengan cipset Snapdragon 695, ia mampu melakukan pelbagai tugas. Ia mencatatkan markah 687 dan 1998 pada ujian tunggal dan berbilang teras Geekbench, iaitu seperti apa yang anda boleh jangkakan untuk prestasi CPU.

Untuk game mudah alih, ia hanya berjaya mendapat markah 1218 pada ujian Wild Life 3DMark. Secara keseluruhan, anda boleh bermain game seperti PUBG Mobile tanpa banyak masalah. Tetapi Genshin Impact akan dihadkan kepada kadar bingkai dan kualiti grafik yang rendah, jadi anda tidak boleh nikmati sepenuhnya dunia yang cantik dalam game tersebut. Anda masih boleh menonton video 1080p di YouTube kerana cipset masih mampu untuk mengendalikan kebanyakan perkara tanpa lag atau isu lain.

Anda boleh bermain game kelas bawah seperti PUBG Mobiles, tanpa harapan tinggi
Seperti yang anda boleh lihat, grafik kelihatan agak berhalangan
Genshin Impact tetapi hanya dengan menyesuaikan beberapa tetapan

Seperti yang dinyatakan di atas, panel OLED menghasilkan warna dan kontras yang baik. Menonton video di YouTube agak menyeronokkan kerana warna-warnanya terang dengan warna hitam kontras. Pembesar suara juga cukup kuat untuk menikmati kebanyakan video, tetapi kualiti audio tidak begitu mengagumkan, maka kami memilih untuk memakai fon kepala untuk video.

Sesetengah orang tidak menggunakan telefon mereka sepanjang hari, tetapi kebanyakan pengguna pasti ingin ketahui hayat bateri telefon. OPPO Reno7 Z mempunyai bateri 4,500mAh yang cukup besar untuk bertahan sepanjang hari. Video 1080p selama 1 jam di YouTube menggunakan bateri sebanyak 9%, jadi anda boleh menonton sehingga 11 jam. Daripada segi pengecasan, pengecas 33W boleh meningkatkan hayat bateri sehingga 67% dalam masa 45 minit dan 85% bateri dalam masa kira-kira sejam.

Bateri pada 10% dan pengecasan bermula pada 7:03 malam. Dicas semula 67% dalam 45 minit, 85% dalam kira-kira 1 jam
LED ini menyala apabila telefon dicas

Seterusnya, perkara yang diharapkan oleh kebanyakan peminat OPPO adalah bahagian fotografi. Pada pendapat saya, kamera utamanya menghasilkan tangkapan gambar yang jelas di bawah cahaya matahari, memberikan kontras dan warna semula jadi. Anda akan mendapat kontras yang lebih baik dengan mengaktifkan HDR, tetapi warna akan menjadi lebih tepu. Mod peningkatan AI juga sama walaupun foto kelihatan lebih semula jadi daripada mod HDR. Di bawah merupakan beberapa contoh gambar yang kami ambil.

Pelbagai ciri yang tersedia membantu anda mengambil pelbagai foto yang berbeza juga. Mod malam membolehkan pengguna mengambil foto dengan kontras dan perincian yang tinggi walaupun dengan cahaya malap. Bagi mereka yang gemar mengambil swafoto, Potret Bokeh Flair dan Potret Warna AI juga bagus manakala mod makro tidak begitu mengagumkan. Namun, kami lebih suka dengan mod video dwi-paparan.

Mod normal
Mod normal + HDR
Mod normal + peningkatan AI
Mod 64MP (kiraan piksel lebih tinggi)
1x zum – Focus pada kawasan permainan di tengah
2x Zum
5x Zum – Perincian imej masih bagus, tidak kabur
Mod swafoto – Potret AI dan Potret Suar Bokeh
Mod malam dimatikan
Mod malam diaktifkan

Kesimpulan – Telefon menarik dan prestasi bagus

Banyak telefon kelas pertengahan yang tersedia tetapi pengguna pasti ingin memilih yang berpatutan. Kebanyakan peranti mempunyai ciri yang lebih baik di beberapa bahagian atau yang lain, maka agak sukar untuk mendapat peranti yang seimbang. OPPO Reno7 Z tidak begitu hebat dalam prestasi umum atau gaming. Sekiranya anda mahukan peranti kelas pertengahan yang menarik perhatian dengan prestasi fotografi yang baik, kami mengesyorkan OPPO Reno7 Z.

Walau bagaimanapun, harga yang diminta iaitu RM1,699 bermakna ia lebih mahal daripada kebanyakan telefon kelas pertengahan yang tersedia pada masa ini. POCO X3 GT (RM1,299) lebih berpatutan jika anda mahukan telefon gaming, manakala OnePlus Nord N10 (RM1,199) mempunyai spesifikasi dan prestasi yang setanding juga. Bagaimanapun, kedua-dua telefon itu tidak dapat mengalahkan OPPO Reno7 Z daripada segi reka bentuk.

Adakah ulasan OPPO Reno7 Z 5G ini membantu anda untuk memilih telefon kelas pertengahan yang lebih berpatutan? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version