Site icon TechNave BM

Ulasan OPPO Reno8 T 5G – Spesifikasi standard lebih sesuai untuk produktiviti

Sebagai satu jenama telefon pintar terkenal, OPPO telah melancarkan Reno8 T 5G di Malaysia pada Februari lepas. Ia menampilkan beberapa ciri yang agak baik sebagai telefon kelas pertengahan.

Seperti yang diketahui orang ramai, OPPO sangat terkenal dalam menghasilkan telefon pintar dengan sistem pengimejan yang baik. Bukan itu sahaja, spesifikasi yang dibawa cukup memuaskan sebagai telefon kelas pertengahan tetapi sudah pasti, ia mempunyai kelemahan yang boleh dibaiki. Baca ulasan di bawah untuk tahu lebih lanjut mengenai OPPO Reno8 T.

Rekaan – Reka bentuk OPPO standard tetapi selesa dipegang

Dengan sekali pandang, reka bentuknya adalah seperti peranti OPPO yang lain di mana saya berpendapat ia kelihatan sama seperti OPPO A1Pro menampilkan reka bentuk kamera dan sisi melengkung yang hampir sama.

Namun, sekiranya anda lihat dengan lebih teliti, secara jujur saya mendapatinya sebagai satu telefon yang elegan dengan reka bentuk belakang berkilau dalam kemasan matte. Yang menariknya, warna yang saya dapati adalah Sunrise Gold tetapi pada posisi tertentu, ia kelihatan seperti warna putih. Jika digerakkan anda akan melihat gabungan warna oren, merah jambu dan biru muda.

Kemasan matte tersebut tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari menjadikan peranti nampak lebih kemas dan mudah dipegang. Dengan ukuran 6.7 inci, ia cukup selesa dan terletak pada telapak tangan anda ketika menggunakannya. 

Bonggol kameranya yang berbentuk bujur agak tebal menempatkan dua cincin kamera yang terdiri daripada kamera potret 108MP, mikro 40x, kamera kedalaman 2MP dan satu flash LED. Walaupun begitu, bonggol kameranya kelihatan sesuai dengan kemasan dan reka bentuk peranti. 

Bahagian sekelilingnya mempunyai rangka aluminium dan seperti biasa, butang kuasa di bahagian sisi kanan serta butang kawalan audio di sisi kiri manakala di bahgian bawah menempatkan satu pembesar suara, port USB-C dan slot kad dwi-SIM.

Seperti telefon Android yang lain setelah pembelian, anda akan mendapat kotak OPPO Reno8 T 5G yang menyediakan sarung silikon, dokumen waranti, pin SIM pengecas SUPERVOOC dan kabel USB-A ke USB-C.

Spesifikasi – Mudah dan standard

Cipset Snapdragon 695 5G sudah cukup bagus untuk meningkatkan produktiviti dan penggunaan harian anda. Ia mempunyai RAM 8GB, RAM maya tambahan sehingga 8GB dan storan 256GB serta menyokong penambahan kad SD sehingga 1TB yang secara peribadi saya dapati cukup memandangkan aplikasi biasa yang saya gunakan.

Di hadapan, ia memiliki paparan lengkungan 56 darjah 3D AMOLED bersaiz 6.7 inci dengan nisbah skrin-ke-badan 93%, kadar segar semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 120Hz yang boleh dipertingkatkan sehingga ke 1,000Hz. Skrinnya mempunyai pelindung DT-Star2. 

Bezelnya sangat nipis dan hampir meliputi seluruh paparan. Pilihan penyesuaian skrin adalah terhad kepada menukar profil warna dan suhu dalam tetapan paparan. Telefon ini boleh mencapai tahap kecerahan puncak sehingga 950nits yang lebih daripada mencukupi untuk penggunaan luar. Dalam pada itu,  ia mempunyai lubang tebuk di bahagian atas menempatkan kamera swafoto 32MP.

Terdapat juga sebuah pengimbas cap jari optikal di bahagian bawah skrin dan ia berfungsi dengan sangat pantas. Anda juga boleh membuka skrin yang dikunci dengan pengimbasan muka melalui kamera hadapan. Anda tidak perlu terlalu risau kerana ia mempunyai penarafan IP54 yang kalis habuk dan air. Namun, kuantiti air adalah seperti percikan hujan yang tidak terlalu banyak.

Untuk audio pula, telefon ini mempunyai pembesar suara stereo dan saya sangat berpuas hati dengan kualiti audionya. Ia menghasilkan bunyi yang jelas walaupun pada kelantangan tertinggi. Walaupun begitu, saya lebih gemar sekiranya ia mempunyai bunyi bes yang lebih kuat.

OPPO Reno 8T 5G mempunyai bateri 4,800mAh dengan pengecasan SuperVOOC 67W. Namun, dengan penggunaan maksimum, telefon ini tidak mampu bertahan seharian. Pengecas 67W boleh mengecas 0 hingga 100% dalam kira-kira 50 minit yang agak baik tetapi tiada pengecasan wayarles tersedia. Dalam kes ini, OPPO mengatakan mereka telah meningkatkan kitaran pengecasan pada bateri kepada 1,600 iaitu dua kali ganda daripada standard industri.

Seterusnya, ia menggunakan ColorOS 13 berdasarkan Android 13 yang dilengkapi dengan pelbagai penyesuaian dan pilihan. Terdapat beberapa ciri yang saya suka dan dapati agak berguna. Sebagai salah satu contoh, paparan sentiasa hidup (always-on-display) akan menyampaikan maklumat mengenai muzik yang dimainkan atau sejauh mana abang Grab akan tiba ke kawasan rumah anda. 

Prestasi – Boleh tahan lajunya

Sebelum penerangan prestasi, berikut adalah markah penanda aras yang telah saya lakukan untuk OPPO Reno8 T:

Penanda aras Geekbench 6
Penanda aras 3D Mark

OPPO Reno 8T dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 695 dengan RAM sehingga 8GB dan storan 256GB. Terdapat slot kad SD mikro untuk storan boleh dikembangkan sehingga 1TB menjadikan peranti pantas dan cekap, terutamanya apabila aplikasi boleh dimuatkan dibuka dengan lancar tanpa dilengahkan walaupun anda bertukar antara aplikasi.

Sepanjang dua minggu, saya telah bermain game seperti Asphalt 9 dan PUBG Mobile. Disebakan saya terlalu gemar bermain game Asphalt 9, agak sukar untuk memberhentikan diri daripada bermain selama tiga jam. Mujur sekali, telefon ini tidak menjadi terlalu panas walaupun selepas bermain game dalam tempoh yang lama. 

Kedua-dua game ini dimainkan pada tetapan grafik tertinggi pada 120Hz dan ia tidak memberi sebarang masalah serta berfungsi dengan lancar. Kadar bingkai juga dinaikkan sehingga penuh untuk permainan yang lebih mengasyikkan.

Namun, ia agak mengecewakan kerana saya perlu mengecasnya kembali setelah tujuh jam bermain game dan perlu menunggu hampir sejam untuk cecah kuasa bateri ke 100%. 

Daripada segi fotografi pula, OPPO Reno 8T 5G hadir dengan persediaan tri-kamera di bahagian belakang. Ia mempunyai kamera utama 108MP, kamera kedalaman 2MP dan kamera mikrolens 40x. Terdapat mod malam, potret, video, foto pro, Extra HD, Slo-Mo, Panorama, video dwi paparan dan banyak lagi. Terdapat juga kamera swafoto 32MP yang boleh mengambil gambar yang cantik dalam situasi terang.


Pelbagai fungsi kamera OPPO Reno8 T 5G

Namun, kualiti gambar yang diambil pada waktu malam masih terdapat noise yang jelas terutamanya apabila dizum. Selain itu, saya telah menggunakan banyak telefon pintar dengan kamera makro, tetapi Reno8 T berada pada tahap yang berbeza. Anda boleh mengambil gambar makro pada jarak 0.4mm dan ia menghasilkan imej yang sangat jelas. Mod makro ini secara automatik memberikan potongan gambar dalam bentuk bulat.

Malang sekali, telefon pintar ini tidak boleh merakam video dalam 4K, hanya sehingga 1080p. Telefon ini tidak sesuai untuk merakam pergerakan yang cepat dan terumbang ambing kerana ia tidak menawarkan ciri penstabilan. Memandangkan ia merupakan jenama yang mengutamakan kamera dan pengimejan, saya merasakan ia masih perlu dipertingkatkan terutamanya pada harga pasarannya pada RM1,799

Kesimpulan – Harga yang agak mahal dengan spesifikasi standard

OPPO Reno8 T 5G kelihatan cantik dengan kemasan matte yang berkilauan mudah digunakan tetapi spefikasinya adalah standard. Daripada pengalaman saya, harganya agak mahal bagi kualiti dan spesifikasi yang ditawarkan. Ia lebih sesuai untuk penggunaan harian dan produktiviti dengan penggunaan sederhana. 

Anda juga boleh mendapatkan peranti dengan spesifikasi yang hampir sama pada harga yang lebih murah. Antaranya adalah OnePlus Nord CE 2 Lite 5G yang menggunakan cipset yang sama, RAM LPDDR4X 8GB, storan 128 GB dan bateri 5,000mAh yang boleh bertahan kira-kira 21 jam dengan main balik video untuk sekali cas berharga RM1,199.

Pilihan kedua adalah realme 10 Pro+ pada harga RM1,799. Ia mempunyai cipset MediaTek Dimensity 920 5G, panel AMOLED 120Hz, RAM 12GB yang boleh dibesarkan lagi sebanyak 12GB dan bateri 5,000mAh.

Adakah OPPO Reno8 T 5G menjadi pilihan anda? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version