Siri Pixel 10 telah dilancar pada Ogos lalu sebagai telefon pintar andalan (flagship) daripada Google dan seperti biasa untuk siri Pixel, ia siap dilengkapi sistem operasi terkini iaitu Android 16 tanpa sebarang aplikasi tambahan (bloatware) yang kerap terdapat pada telefon jenama lain.
Varian pertengahan iaitu Google Pixel 10 Pro menawarkan beberapa penambahbaikan kecil berbanding Pixel 10 biasa, seperti skrin yang lebih cerah dan kapasiti memori yang lebih besar. Apa yang agak aneh adalah jika dilihat pada siri Pixel sebelum ini, satu ciri yang memisahkan varian Pro daripada varian standard adalah kewujudan kamera telefoto pada varian Pro. Untuk siri Pixel 10 kali ini, varian Pixel 10 standard sudah pun dilengkapi kamera telefoto 5x, jadi itu mungkin akan merendahkan tarikan untuk Pixel 10 Pro.
Dengan harga bermula RM4,999, adakah Pixel 10 Pro pilihan yang lebih berbaloi berbanding Pixel 10 standard dan secara umumnya, adakah ia berbaloi dengan harga setinggi itu? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.
Rekaan – Serupa seperti Pixel sebelum ini
Pixel 10 Pro tidak mempunyai rekaan yang berbeza dengan siri Pixel sebelum ini, di mana ia mempunyai bonggol kamera yang mendatar dan dwi-warna. Tiga lensa diletakkan pada bahagian berwarna hitam, manakala bahagian yang menempatkan lampu denyar dan sensor tambahan pula mempunyai warna yang sama dengan badan telefon.
Ia mempunyai sudahan pusam (matte) yang kemas dan langsung tidak meninggalkan kesan cap jari. Logo “G” di tengah-tengah pula nampak berkilat dan membuatkannya jelas terpampang pada permukaan bahagian belakang.
Bahagian hadapan dan belakang Pixel 10 Pro dibuat daripada Corning Gorilla Glass Victus 2 yang tahan impak dan calar serta sering terdapat pada telefon flagship tahun ini. Saiz skrinnya yang berukuran 6.3 inci sahaja membuatkan ia mudah digenggam dan diguna dengan satu tangan.
Bahagian tepinya pula mempunyai rangka aluminium yang sangat berkilat dan memang membuatkannya nampak seperti telefon premium. Bahagian sisinya rata dengan sedikit lengkungan pada bahagian bucu. Ia turut mempunyai rating kalis air IP68, jadi jangan risau jika ia terkena percikan air.
Satu perkara yang mungkin akan menyukarkan anda sedikit adalah pada bahagian sisi kanan yang menempatkan butang kuasa dan butang volume. Butang kuasa berada di atas butang volume dan ini adalah sesuatu yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan telefon Android lain. Memandangkan saya sudah biasa dengan telefon Android seperti Samsung, Xiaomi dan lain-lain, sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan kedudukan dua butang ini pada Pixel 10 Pro.
Spesifikasi – Tidak jauh beza dengan Pixel 10
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Pixel 10 Pro:
- Skrin OLED LTPO 6.3 inci, resolusi 1280×2856, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 3,300 nits, kaca Gorilla Glass Victus 2
- Cipset Google Tensor G5
- RAM 16GB
- Storan dalaman 128GB, 256GB atau 512GB
- Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 48MP + kamera telefoto 48MP dengan zum optikal 5x, zum digital sehingga 100x
- Kamera hadapan 42MP, medan penglihatan 103°
- Bateri 4,870mAh, boleh bertahan lebih daripada 24 jam
- Pengecasan pantas 30W, boleh cas sehingga 55% dalam masa 30 minit (tiada pengecas dalam kotak)
- Pengecasan wayarles 15W
- Port USB-C 3.2
- Pembesar suara stereo, 3 mikrofon
- Sistem operasi Android 16, akan menerima kemas kini selama 7 tahun
- Fungsi Google AI: Gemini Nano, Gemini, Pixel Screenshots, Magic Cue, Circle to Search, Live Translate, Clear Calling
- Rating kalis air IP68
- Pilihan warna Moonstone, Jade, Porcelain, Obsidian
- Harga: RM4,999 (128GB), RM5,499 (256GB), RM6,099 (512GB), RM7,299 (1TB)
Untuk sebuah telefon yang berharga hampir lima ribu ringgit, telefon ini lengkap dengan pelbagai spesifikasi yang layak membuatkannya telefon andalan untuk 2026. Ia mempunyai skrin OLED LTPO 6.3 inci yang boleh menghasilkan visual dengan sangat cantik dengan kadar segar semula setinggi 120Hz.
Satu perbezaan dengan Pixel 10 standard adalah Pixel 10 Pro mempunyai panel LTPO yang bermaksud kadar segar semula boleh direndahkan sehingga 1Hz sewaktu anda melihat imej yang statik (seperti gambar, e-buku dan sebagainya) untuk menjimatkan bateri. Pixel 10 standard hanya boleh merendahkan kadar sehingga 60Hz sahaja yang akan menggunakan lebih banyak bateri.
Pixel 10 Pro juga mempunyai kecerahan yang lebih tinggi iaitu sehingga 3,300 nits, berbeza dengan 3,000 nits pada Pixel 10 standard. Satu lagi perbezaan adalah pada resolusi skrin, di mana Pixel 10 Pro mempunyai resolusi 1280×2856 yang lebih tinggi berbanding 1080×2424 pada Pixel 10 standard, bermaksud anda boleh lihat butiran yang lebih tinggi pada Pixel 10 Pro. Walaupun begitu, memandangkan saiz skrin kedua-dua telefon adalah sama, perbezaan resolusi ini mungkin tidak ada banyak makna.
Selain perbezaan skrin, Pixel 10 Pro mempunyai RAM yang lebih besar berbanding Pixel 10, dengan kapasiti 16GB (hanya 12GB pada Pixel 10). Ia juga ditawarkan dalam pilihan storan yang lebih besar iaitu 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB.
Untuk cipset, ia dilengkapi cipset yang sama dengan semua siri Pixel 10 iaitu Tensor G5 yang dibangunkan oleh Google sendiri. Ia merupakan sebuah cipset yang mengetengahkan prestasi kecerdasan buatan (AI) dan saya akan ulas mengenai pengalaman penggunaannya dalam seksyen Prestasi.
Satu perkara yang agak aneh adalah Pixel 10 Pro mempunyai kapasiti bateri lebih kecil iaitu 4,870mAh, berbeza dengan Pixel 10 standard pada 4,970mAh. Saya tidak pasti mengapa terdapat perbezaan kecil pada kapasiti bateri, walaupun kedua-dua telefon mempunyai saiz yang serupa.
Walaupun dengan perbezaan pada kapasiti bateri, kedua-duanya menyokong kadar pengecasan yang sama iaitu 30W berwayar dan 15W wayarles dengan Pixelsnap. Kadar pengecasan ini agak rendah jika dibandingkan dengan telefon andalan lain. Malah, pengecas juga tidak disertakan dalam kotak.
Sudah tentu, tarikan utama untuk siri Pixel adalah ia mempunyai sistem operasi Android versi asal (stock) tanpa sebarang bloatware yang keterlaluan. Pengalaman saya menggunakan antara muka (UI) pada telefon ini rasa sangat lancar, kemas dan ringan. Ia juga akan menerima kemas kini Android selama tujuh tahun, jadi telefon ini akan kekal relevan sehingga tahun 2032.
Sudah pasti ia lengkap dengan fungs-fungsi AI standard untuk telefon Android seperti Gemini Live, Circle to Search dan Pixel Studio, namun unik untuk siri Pixel 10 adalah ia datang dengan beberapa fungsi AI baharu seperti Magic Cue dan Camera Coach. Sungguh pun begitu, fungsi-fungsi AI baharu ini agak sukar untuk diguna.
Sebagai contoh, Magic Cue sepatutnya menimbulkan notifikasi dan maklumat penting berdasarkan penggunaan dan aplikasi saya, namun jujur saya katakan saya tidak mengalami sebarang faedah daripadanya. Saya berpendapat ia memerlukan penggunaan yang lebih lama untuk menganalisis corak penggunaan saya, namun berdasarkan penggunan yang pendek selama beberapa minggu, sukar untuk saya katakan jika Magic Cue ini benar-benar membantu saya.
Fungsi Camera Coach pula direka khas untuk memberi panduan supaya anda boleh mengambil gambar dengan lebih cantik sewaktu anda menggunakan kamera, namun pelaksanaannya rasa kurang lengkap. Ia juga mengambil masa yang agak lama untuk memberi panduan kepada anda, jadi ini pasti akan mengganggu proses fotografi. Saya merasakan ia lebih kepada gimik berbanding fungsi yang benar-benar bermanfaat.
Sungguh pun begitu, fungsi AI kegemaran saya, Pixel Studio, masih kekal dalam Pixel 10 Pro dan boleh bantu anda jana karya daripada barisan teks sahaja. Ia kini boleh menjana imej manusia dan menawarkan lebih banyak stail seni yang anda boleh pilih.
Prestasi – Bagus, tapi bukan tahap flagship
Berikut merupakan beberapa markah penanda aras yang kami sudah lakukan untuk Pixel 10 Pro:
Berdasarkan markah di atas, jelas sekali pemproses Google Tensor G5 tidak menghasilkan prestasi yang setinggi cipset telefon andalan lain seperti Qualcomm Snapdragon 8 Elite atau Snapdragon 8 Elite Gen 5. Ini bukanlah isu yang besar kerana siri Pixel memang bukan peranti yang dikhaskan untuk prestasi tinggi dalam gaming, sebaliknya lebih fokus pada penggunaan harian yang lebih lancar dan prestasi AI lebih pantas.
Untuk penggunaan harian, Pixel 10 Pro boleh melaksanakannya dengan cemerlang tanpa sebarang rasa sangkut-sangkut, namun saya boleh rasa prestasi yang tidak sekata apabila saya memainkan game grafik tinggi seperti Genshin Impact. Berbeza dengan telefon flagship lain, saya merasakan pengalaman game ini tidak berapa lancar apabila saya memainkannya dengan tetapan grafik tertinggi, dengan kadar bingkai yang tidak sekata dan kadang-kadang menurun.
Walaupun begitu, game dengan grafik rendah seperti COD Mobile boleh dimainkan dengan sangat lancar dan selesa. Penjanaan haba pada telefon ini juga rasa tidak terlalu panas dengan terlalu cepat.
Saya sedia maklum bahawa orang yang akan membeli Pixel 10 Pro mungkin bukanlah seorang gamer tegar, jadi anda tidak akan jangkakan prestasi yang setaraf telefon-telefon lain seperti ROG Phone 9 atau Samsung Galaxy S25 Ultra. Sungguh pun begitu dengan harga RM4,999, saya merasakan Pixel 10 Pro tidak boleh menghasilkan prestasi gaming tinggi yang sepadan dengan harga tersebut.
Beralih kepada hayat bateri pula, Pixel 10 Pro boleh bertahan selama sehari dengan yakin. Apabila saya memulakan hari pada waktu pagi dengan bateri penuh dan menggunakannya untuk tugasan harian (menggunakan GPS dalam Google Maps, menonton video, mendengar lagu, mengambil gambar, mencari maklumat dalam Chrome), pada waku malam saya masih mempunyai baki sekitar 20%.
Sewaktu mengecas, saya menggunakan pengecas pihak ketiga yang berkadar 65W. Pengecasan daripada 0% hingga penuh mengambil masa sekitar sejam setengah. Google mengatakan ia boleh mengecas daripada 0% hingga 55% dalam masa 30 minit dan saya mendapati Pixel 10 Pro memang menepati dakwaan tersebut.
Kini saya ingin bercakap tentang kameranya pula. Seperti siri Pixel sebelum ini, gambar-gambar yang dihasilkan daripada kamera Pixel 10 Pro mempunyai warna yang natural, rata dan kurang pekat, tidak seperti telefon-telefon lain. Dalam situasi yang terang, gambar nampak kemas dengan butiran yang tinggi untuk kamera utama dan kamera ultra-lebar. Ia juga boleh mengambil gambar makro yang sangat jelas.
Pixel 10 Pro mempunyai kamera telefoto yang menyokong zum optikal 5x dan boleh mengambil gambar zum yang sangat jelas. Ia juga boleh membuat zum digital Pro Res Zoom sehingga 100x. Apabila anda berada pada tahap zum yang sangat jauh, ia akan mengaktifkan pemprosesan AI untuk meningkatkan butiran pada bahagian gambar yang kabur. Efek pemprosesan AI ini akan buatkan gambar anda nampak aneh, malah palsu, namun jauh lebih baik berbanding tiada pemprosesan langsung.
Ia mempunyai fungsi Night Sight yang akan menghasilkan gambar waktu malam yang kurang noise dan saya berpuas hati dengan hasilnya. Selain itu, Fungsi Add Me yang diperkenalkan dalam siri Pixel 9 masih kekal pada Pixel 10 Pro. Ia bertujuan untuk memudahkan anda memasukkan pengambil gambar ke dalam gambar, dan walaupun hasilnya mungkin tidak sempurna, ia sudah cukup bagus jika anda ingin sekadar mengambil gambar ringkas.
Untuk video, ia boleh merakam video pada resolusi sehingga 8K 30fps, namun sepanjang saya merakam video untuk ulasan ini, saya hanya merakam dalam resolusi 4K 60fps sahaja kerana ia sudah memadai dan saya ingin menjimatkan storan (unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai storan 128GB sahaja, tidak sesuai untuk rakaman 8K). Kualiti video yang dihasilkan nampak cantik dan penstabilan juga nampak kemas walaupun anda rekod sambil berjalan.
Kesimpulan – Telefon yang bagus, tapi jangan lupa Pixel 10 standard!
Secara keseluruhan, Pixel 10 Pro merupakan sebuah telefon yang sangat bagus dan lengkap dengan segala fungsi AI canggih, namun saya mempunyai beberapa isu dengannya. Pertama, harganya lebih mahal sebanyak RM1,000 berbanding Pixel 10 standard (bermula RM3,999) namun perbezaannya dengan Pixel 10 standard tidak begitu ketara. Sebelum ini, ciri yang memisahkan Pixel Pro dengan Pixel standard adalah kewujudan kamera telefoto, namun untuk siri Pixel 10, pada Pixel 10 standard itu sendiri sudah ada kamera telefoto yang membenarkan anda zum jauh.
Kedua, harga RM4,999 pada Pixel 10 Pro mungkin terlalu mahal jika anda inginkan telefon dengan prestasi yang setaraf dengan telefon yang dilengkapi cipset Snapdragon 8 Elite Gen 5 atau MediaTek Dimensity 9500. Meskipun Pixel 10 Pro sudah sangat cemerlang untuk kebanyakan penggunaan harian, jika anda sanggup melaburkan harga hampir lima ribu ringgit untuk sebuah telefon, pastilah anda inginkan prestasi yang terbaik, bukan? Walaupun beza harga Pixel 10 Pro dan Pixel 10 mencecah seribu ringgit, kedua-duanya mempunyai prestasi yang setaraf sahaja.
Jadi siapakah yang paling sesuai mendapatkan Pixel 10 Pro? Saya menyimpulkan ia sesuai untuk pengguna yang mengutamakan sistem operasi Android versi stock dan inginkan kualiti skrin yang lebih baik sedikit berbanding Pixel 10 standard. Untuk diri saya sendiri (dan nasihat saya juga untuk majoriti para pembaca), saya merasakan Pixel 10 adalah lebih berbaloi dengan harganya manakala Pixel 10 Pro adalah agak mahal.
Alternatif yang sesuai kepada Pixel 10 Pro termasuklah Pixel 10 Pro XL (RM5,999) jika anda mahukan skrin lebih besar, Samsung Galaxy S25+ (RM4,999) jika anda mahukan prestasi yang lebih pantas atau OPPO Find X8 Pro (RM4,999) jika anda mahukan kualiti fotografi Hasselblad yang lebih unik. Satu lagi tindakan yang anda boleh buat ialah tunggu sehingga telefon flagship generasi seterusnya yang dilengkapi cipset Snapdragon 8 Elite Gen 5 atau MediaTek Dimensity 9500 yang akan hadir dalam pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

