Site icon TechNave BM

Ulasan realme 9 Pro+ 5G – Kamera andalan pada telefon pintar kelas pertengahan

Untuk tugasan harian, pengguna pasti inginkan telefon yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Terutamanya bagi mereka yang gemar bermain game dan inginkan kelancaran dalam melakukan tugasan harian seperti tontonan YouTube, melayari media sosial dan sebagainya.

Kebanyakan pengguna sudah mula tertanya-tanya akan prestasi dan kamera realme 9 Pro+ 5G walaupun ianya sekadar telefon kelas pertengahan. Telefon pintar ini nampaknya lebih fokus dalam sistem kamera di mana ia menggunakan sensor kamera andalan. Sekarang, mari kita lihat ulasan penuh mengenai reka bentuk, spesifikasi dan prestasi telefon pintar realme 9 Pro+ 5G ini.

Reka Bentuk – Selesa dipegang dan warna menarik

Bagi saya, realme 9 Pro+ 5G ini sangat selesa dipegang dengan reka bentuk yang tidak terlalu licin. Seperti dalam imej, anda akan dapati telefon ini dalam warna Aurora Green. Warnanya kelihatan menarik terutama apabila pantulan cahaya yang lengkap membuatkan telefon kelihatan berkilau seperti bintang di angkasa.

Telefon pintar ini agak nipis, ringan dan selesa untuk dibawa kemana-mana. Tidak dilupakakan juga, sarung silikon (warna yang agak gelap) turut disediakan di dalam kotak bersama dokumen-dokumen penting. Walaupun anda menyarungkan sarung silikon tersebut, warna hijau telefon masih terserlah. Modul kameranya agak lebar akan tetapi saya kurang gemar akan bonggolan kameranya yang tebal.

Bahagian belakang realme 9 Pro+ 5G berkilau seperti kilauan bintang
Warna sarung silikon yang agak gelap
Bonggol kamera agak tebal

Sebelum saya lupa, realme 9 Pro+ 5G ini tersedia dalam dua warna iaitu Aurora Green dan Sunrise Blue. Malangnya, kami tidak dapat menunjukkan kepada anda warna Sunrise Blue di mana ia akan berubah warna mengikut cahaya matahari. Sekiranya anda membeli telefon ini, anda akan mendapat telefon realme 9 Pro+ 5G, sarung silikon, kertas dokumen, pin-SIM, pengecas 65W dan kabel USB-C yang tersedia di dalam kotak.

Di bahagian sisi kanan, ia mempunyai butang kuasa manakala di bahagian kiri terdapat slot kad dwi-SIM dan butang kelantangan. Di bahagian bawah telefon mempunyai bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara utama manakala di bahagian atas terdapat pembesar suara kedua untuk panggilan telefon dan tontonan dengan bunyi yang kuat. Dwi-pembesar suara tersebut disokong oleh Dolby Atmos.

Spesifikasi –  Canggih walaupun telefon kelas pertengahan

Pelanggan akan menerima realme 9 Pro+ 5G dengan cipset MediaTek Dimensity 920 5G yang menawarkan prestasi cukup menakjubkan walaupun sekadar telefon kelas pertengahan. Jika dibandingkan dengan cipset Snapdragon 695, telefon ini kira-kira 20% lebih pantas, sesuai untuk kegunaan harian. 

Cipset yang digunakan turut membantu dalam penggunaan baterinya 4,500mAh yang boleh bertahan sehingga 1 hari setengah. Anda tidak perlu risau sekiranya telefon kehabisan bateri kerana ia menyokong pengecasan SuperDart 60W. Agak pelik bagi saya kerana pengecas yang disediakan dalam kotak adalah 65W tetapi telefon ini hanya menyokong sehingga 60W sahaja. Dalam masa 15 minit, kuasa bateri boleh meningkat sehingga 50% manakala 44 minit pengecasan dapat menaikkan kuasa bateri ke 100%.

Untuk skrinnya pula, ia berukuran 6.4 inci dengan skrin Super AMOLED FHD+ dengan kadar penyegaran semula 90Hz manakala kadar bacaan sentuh 180Hz. Telefon ini agak lancar apabila di klik dan di leret mengikut penggunaan. Jadi, anda tidak perlu risau bagi mereka yang gemar bermain game. Dengan Vapor Chamber Cooling System, ia membantu mengurangkan panas walaupun anda bermain game untuk tempoh yang lama.

Ia membawa RAM 8GB dengan tambahan RAM maya sehingga 5GB. Anda boleh simpan aplikasi yang banyak dan bermain game sepuas-puasnya.  Bahagian storan pula mempunyai 256GB tanpa sebarang tambahan atau slot kad MikroSD tetapi hadir dengan dwi-SIM. 

Perisian realme UI 3.0 dan tambahan RAM maya 5GB

Prestasi – Sesuai untuk tugasan harian

Telefon realme 9 Pro+ 5G ini menggunakan realmeUI 3.0 atas Android 12. Prestasi telefon tidaklah sebagus cip A15 Bionic dalam iPhone atau cipset Snapdragon 888. Namun, dengan harga RM1,599 ia agak bagus untuk tugasan harian dan gaming.

Sekiranya anda pergi ke bahagian Tetapan (Settings), klik pada Pemberibadian (Personalisations), anda boleh memilih tema warna bagi tetapan anda. Anda juga boleh klik pada Sentiasa-Dipamerkan (Always-On Display) untuk membuat rekaan tersuai anda sendiri dan boleh dilihat pada latar belakang kunci.

Keputusan Geekbench (kiri) dan 3D Mark (kanan)
Ciri Pemberibadian (Personalidations) di Tetapan (Settings)

Kamera – Kamera yang digunakan ada pada telefon andalan

Menarik sekali di mana sensor kamera andalan diletakkan di telefon kelas pertengahan. Ia membawa sensor Sony IMX766 OIS 50MP + ultra lebar 8MP + makro 2MP manakala kamera hadapan membawa sensor swafoto 16MP. Seperti biasa kebanyakan telefon pasti mempunyai mod foto standard dan potret tetapi realme 9 Pro+ 5G ini memberikan anda tangkapan gambar pilihan termasuk 50MP, mod Street dan beberapa ciri seperti time-lapse, slo-mo, dual-view video dan sebagainya.

Bahagian video memberikan anda pilihan 4K sehingga 30f/1s dengan gandingan OIS + EIS untuk penstabilan yang mantap. Sekiranya anda berminat dalam fotografi, anda pasti ingin menggunakan mod street serta mod malam.

Tangkapan dalam mod makro – Anda boleh meilhat kedutan dan habuk pada buah ceri

Kesimpulan – Telefon pintar menarik untuk kelas pertengahan

Secara amnya, realme 9 Pro+ 5G adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang agak mantap daripada segi kamera dan prestasi. Macam anda ketahui seperti di atas, ciri kamera yang digunakan terdapat pada telefon pintar andalan. Namun di sini, saya mencadangkan agar realme mengeluarkan telefon pintar ini dalam reka bentuk yang lebih menarik dengan tambahan pilihan warna seperti warna ros emas dan ungu untuk pengguna yang ingin menyerlahkan keperibadiannya.

Dalam pada itu, saya amat mengesyorkan realme 9 Pro+ 5G untuk pengguna. Dengan harga  RM1,599, anda boleh dapatkan telefon pintar yang sesuai untuk tugasan harian, gaming dan kamera kelas andalan. Perisian yang digunakan juga cukup mantap untuk disuaikan mengikut kreativiti atau keperibadian anda.

Dalam pasaran Malaysia, terdapat juga telefon kelas pertengahan lain dengan harga yang sama seperti vivo V23e 5G  yang menampilkan cipset MediaTek Dimensity 810, skrin AMOLED 6.44 inci, bateri 4,050mAh, pengecasan pantas 44W dan tri-kamera 50MP + ultra-lebar 8MP + makro 20MP. Selain itu, saya juga mengesyorkan Redmi Note 11 Pro 5G yang dikuasakan oleh cipset Snapdragon 695, skrin Super AMOLED 6.67 inci, 6GB+128GB, bateri 5,000mAh dan tri-kamera 108MP + 8MP +2MP dengan harga RM1,299.

Barang yang tersedia dalam kotak

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version