Site icon TechNave BM

Ulasan Samsung Galaxy A13 – Telefon kelas permulaan sesuai untuk kegunaan harian

Pada Mac lepas, Samsung telah melancarkan telefon pintar Samsung Galaxy A13 di Malaysia. Ia menawarkan spesifikasi kelas permulaan dan boleh dihubungkan kepada rangkaian 4G LTE sahaja.

Samsung Galaxy A13 dijual di Malaysia pada harga RM799 dan adakah ia berbaloi dengan spesifikasi kelas permulaan yang ditawarkan? Mari baca ulasan ini untuk ketahui selanjutnya:

Rekaan – Reka bentuk biasa bagi telefon kelas permulaan

Samsung Galaxy A13 menampilkan reka bentuk yang sama seperti Samsung Galaxy A23. Ia kelihatan biasa sahaja bagi telefon kelas permulaan. Di bahagian belakangnya dibuat daripada plastik yang meninggalkan kesan cap jari dan sesuatu yang boleh dijangkakan untuk telefon dalam kategori ini.

Terdapat empat kamera di bahagian belakang dan bonggol kameranya lebih nipis berbanding Galaxy A23. Ia menempatkan satu lampu kilat di bawah sensor makro. Peranti ini membawa empat pilihan warna iaitu Awesome White, Awesome Blue, Awesome Peach dan Awesome Black seperti yang dipinjamkan kepada kami.

Bahagian sisinya mempunyai rangka plastik yang melengkung (curved) menempatkan butang kawalan audio dan butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di sebelah kiri terdapat dulang kad SIM dan slot kad memori mikroSD. Bahagian bawah pula mempunyai satu pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm. 

Di hadapan, ia mempunyai skrin berukuran 6.6 inci dengan sempadan bezel yang agak nipis di bahagian kiri dan kanan manakala bahagian atas dan bawah pula mempunyai bezel yang agak tebal. Sebuah kamera swafoto pula berada dalam lubang punch hole di bahagian atas tengah skrin. 

Spesifikasi – Tawarkan warna skrin yang pekat

Dengan reka bentuknya yang standard, telefon ini masih mampu memenuhi tugasan harian anda. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk telefon ini: 

Walaupun telefon ini skrin PLS TFT, skrin Galaxy A13 ini masih boleh menghasilkan warna yang terang tetapi tidak begitu jelas dan pekat seperti skrin Super AMOLED yang ada pada Samsung Galaxy M22. Ini dapat memberikan pengalaman yang mengasyikkan ketika menonton video serta ketika bermain game

Skrin ini memaparkan kadar penyegaran semula 90Hz memberikan sentuhan yang lancar ketika menatal halaman media sosial. Saya juga agak berpuas hati ketika bermain game seperti PUBG Mobile kerana grafik dan sentuhan skrin telefon yang terang dan lancar.

Warna skrin masih jelas dan terang ketika bermain game

Daripada segi cipset pula, ia menggunakan cipset Exynos 850 menyediakan prestasi yang pantas untuk kegunaan harian termasuklah melayari internet, aplikasi pemesejan, media sosial dan lain-lain. 

Modul kameranya pula membawa kamera utama 50MP, ultra lebar 5MP, sensor kedalaman 2MP dan sensor makro 2MP. Walaupun ia merupakan telefon kelas permulaan, ia masih mampu memberikan foto yang jelas terutamanya bagi ciri makro. Saya agak kagum dengan warna foto yang pekat dan kualiti imej yang diberikan.

Dengan kapasiti baterinya yang besar iaitu 5,000mAh, ia boleh bertahan lebih daripada sehari dengan penggunaan standard. Ia menyokong pengecasan pantas 15W yang mengambil masa 2 jam 30 minit untuk mengecas bateri daripada 0 hingga 100%.  Bagi saya, jangka pengecasan ini agak lama terutamanya bagi gamers yang mungkin boleh terlepas perlawanan seterusnya.

Seperti kebanyakan telefon kelas permulaan, Galaxy A13 mempunyai RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Anda tidak perlu risau kerana ia menyediakan slot kat memori mikroSD untuk storan tambahan.

Untuk antara muka (UI) pula, perisian One UI 4.1 berdasarkan Android 12 mudah untuk digunakan untuk pengguna Android. Sepanjang penggunaan telefon ini selama dua minggu, saya tidak mengalami sebarang masalah kecuali telefon agak lambat sedikit untuk membuka aplikasi. 

Prestasi – Berjalan dengan lancar untuk tugasan harian

Sebelum saya mengulas lanjut tentang prestasi telefon ini, berikut adalah keputusan yang dihasilkan daripada ujian penanda aras Geekbench dan 3DMark untuk Galaxy A13:

Dengan cipset Exynos 850 ini, saya memang tidak boleh jangkakan prestasi yang sangat pantas untuk tugasan berat seperti gaming. Seperti yang saya nyatakan di atas, ia mampu melakukan tugasan harian dengan baik dan penggunaan lancar. Telefon ini masih mampu menjana prestasi yang baik untuk game seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Asphalt 9 dengan tetapan grafik medium. 

Daripada segi audio, pembesar suara stereo dalam telefon ini menghasilkan kualiti bunyi yang sederhana dan tidak terlalu kuat. Ia menyediakan bicu audio 3.5mm, walaupun kebanyakan telefon terkini tidak menggunakan fon telinga dengan bicu tersebut.

Kapasiti baterinya 5,000mAh mampu bertahan lama sehingga lebih sehari. Namun, jika skrinnya dibiarkan hidup dengan memainkan video berulang kali, ia berjaya mencatatkan masa hampir lapan jam untuk bateri penuh. Tidak perlu risau mengenai hayat bateri kerana anda boleh mengaktifkan Power Saving Mode yang boleh meningkatkan hayat bateri sehingga lebih dua hari.

Butang kuasa ditekan untuk menghidupkan telefon mengambil masa dalam satu saat sahaja untuk skrin mula berfungsi. Daripada segi keselamatan, telefon ini hanya menyediakan jenis kunci skrin seperti corak (pattern), PIN, kata kunci, pengimbas muka dan cap jari yang juga berfungsi sebagai butang kuasa.

Kini, tiba masanya untuk saya tunjukkan foto yang ditangkap dengan Galaxy A13 ini. Sebagai telefon kelas permulaan, telefon ini menyediakan fungsi asas dan tambahan seperti Portrait, Pro, Panorama, Food dan Macro. 

Seperti kebanyakan telefon kelas permulaan lain, telefon ini boleh mengambil gambar yang sangat cantik jika anda berada dalam suasana yang terang. Jika dalam suasana malap pula, gambar boleh jadi kabur dengan mudah.

Halaman rumah pada waktu petang
Mod makro dengan jarak 2-3cm

Kesimpulan – Telefon kelas permulaan biasa

Samsung Galaxy A13 menawarkan spesifikasi dan pengalaman yang lengkap terutamanya untuk tugasan harian seperti aplikasi pemesejan dan melayari internet. Saya berpendapat telefon ini lebih sesuai digunakan bagi warga ibu bapa kerana ia mudah digunakan.

Dengan harga RM799, anda boleh mendapatkan telefon pintar yang lain dengan harga lebih murah atau prestasi lebih canggih pada harga yang sama. Sebagai contoh, OPPO A57 (RM699) menawarkan kamera utama 13MP + 2MP dan kamera swafoto 8MP manakala Infinix Note 12 (RM749) menawarkan prestasi yang hampir serupa dengan Galaxy A13 namun ia mempunyai kamera utama 50MP + 2MP + QVGA dan kamera swafoto 16MP. 

Akhirnya, ia bergantung kepada keutamaan anda sendiri. Anda mungkin memerlukan telefon yang lebih canggih untuk melakukan kerja pejabat selain tugasan harian. Bagi saya, Samsung Galaxy A13 adalah telefon pintar kelas permulaan yang menawarkan prestasi yang lancar dengan reka bentuk yang biasa.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tetikus ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version