Site icon TechNave BM

Ulasan Samsung Galaxy Watch 3 – Jam tangan pintar ‘stylo’ untuk peminat tegar Samsung

Pada bulan lalu, terdapat 5 gajet yang dilancarkan semasa acara Samsung Unpacked dan salah satunya adalah Samsung Galaxy Watch 3. Jam ini adalah jam pintar terkini yang tersedia di Malaysia. Jika anda merancang untuk membeli jam tangan pintar, anda patut terus membaca ulasan kami di bawah. Model yang kami ulas adalah berukuran 45mm.

Galaxy Watch 3 45mm menampilkan paparan 1.4 inci dan dua pilihan warna; Mystic Black dan Mystic Silver. Ia hadir dengan tali kulit asli dan badan besi yang kemas dengan rekaan bezel boleh putar. Dengan berat 53.8g, ianya agak berat walaupun jika lelaki yang memakainya.

Model dan pilihan varian

Terang lagi bersuluh, tali kulitnya dan beratnya tidak sesuai untuk pengguna yang ingin membawanya bersenam (lainlah kalau anda ingin membina otot di lengan hehehe). Atas sebab yang tertentu, stor dalam talian Samsung di negara lain melancarkan tali silikon – Ridge Sport Band khas untuk bersenam, namun ia masih tidak tiba di Samsung Malaysia Experience Store. Menurut staf stor Samsung, tali Galaxy Watch 3 boleh diganti dengan tali dari model Galaxy Watch sebelum ini. Contohnya, Galaxy Silicone Band.

Satu perkara lagi yang tidak tersedia di Malaysia adalah varian dengan badan titanium dan tali besi. Varian ini agak ringan berbanding model yang kami ulas, seringan 43g dan tersedia dengan model 45mm. Walaupun ianya masih tidak tersedia, mungkin ia bakal hadir di Malaysia kelak.

Silicone Band (tali silikon)
Badan titanium dengan tali besi (Sumber gambar dari wareable)
Rekaan 41mm sesuai dengan pengguna berlengan kecil, 45mm sesuai dengan pengguna lelaki

Samsung Malaysia hanya melancarkan Galaxy Watch 3 versi Bluetooth di pasaran Malaysia, bukan versi LTE seperti yang terpapar di laman web. Jadi tanpa LTE, kita masih perlu membawa telefon untuk menjawab panggilan atau membalas mesej. Ia tidaklah terlalu membebankan dan pengalaman menggunakannya baik sahaja. Apa pun, terdapat pembesar suara kecil untuk panggilan. Ianya agak kuat dan jelas, tetapi jangan harapkan bunyi yang sempurna untuk mainkan muzik. Selain itu, anda juga boleh memuat turun Spotify pada jam dan memainkan muzik secara offline.

Galaxy Watch 3 dilihat hadir dengan saiz berbeza, tetapi dengan spesifikasi sama selain bateri (akan diulas selapas ini). Jam tangan ini dilengkapi paparan Super AMOLED beresolusi 360p dan dilitupi Corning Gorilla Glass DX, serta bingkai aluminium. Ia dijana cipset dua teras Exynos 9110, RAM 1GB, storan 8GB dan dioperasikan Tizen OS 5.5. Dengan storan 8GB, anda boleh memuat turun lagu, gambar, beberapa game dan banyak lagi.

Kawal dan mainkan Spotify dari Watch

Untuk menggunakannya, anda boleh menghubungkan Galaxy Watch 3 dengan pelbagai telefon pintar jenama lain. untuk ulasan ini, kami menghubungkannya dengan dua jenama berbeza iaitu Samsung Galaxy S20 Ultra dan iPhone 11 Pro Max. Secara umumnya, tiada perbezaan ketara kecuali notifikasi tidak muncul di iPhone. Contohnya, notifikasi (dan Bitmoji) tidak muncul di Watch 3 dan kami tidak boleh membalas mesej dengan balasan lalai pendek (short default reply). Namun, ianya tidak menjadi masalah untuk peranti Galaxy. Tidak mesra dengan pengguna iPhone, tetapi peminat Samsung pasti menyukainya.

Untuk ciri lain pula, Galaxy Watch 3 hadir dengan 40 Workout Tracking Mode, lebih 120 Fitness Programs (program kesihatan), mod Running Form Coach dan pengesanan VO2 Max Tracker. Kami mencuba beberapa senaman yang telah di pra-pasang di jam ini seperti crunches, lunges, squat dan beberapa senaman lain. Sepertinya jam ini memaparkan kiraan senaman yang agak tepat, tetapi sedikit mengambil masa untuk mengaktifkan sensor semasa mula-mula anda ingin bersenam.

Sebagai tambahan, terdapat ciri menganalisis larian yang boleh membimbing anda untuk mengekalkan kelajuan, menambah baik postur dan mengelakkan kecederaan. Ciri ini berguna untuk pelari, tetapi pengguna biasa mampu hidup tanpanya. Pada masa yang sama, jam ini boleh membantu anda menilai tahap maksimum VO2 dan tahap prestasi anda, yang mana sangat berguna untuk pengguna berfokuskan kesihatan dan senaman.

Menyokong fungsi Blood Oxygen untuk mengesan dan menganggar kadar oksigen dalam darah, ciri ini ada pada jam tangan pintar lain juga
Ciri Running Asymmetry
Running Coach termasuk data VO2

Untuk ciri Fall Detection, jam ini boleh mengesan jatuh yang kuat dengan akselerometer yang dioptimumkan. Ia kemudiannya akan menghantar SOS kepada kontak kecemasan anda bersama lokasi (hanya jika anda tidak bergerak). Menurut pengalaman kami, ia cuma berfungsi jika anda jatuh dengan sangat kuat. Apa pun, ia mungkin diaktifkan jika anda bergerak secara aktif (seperti bermain bola jaring). Tentunya, anda perlu menghubungkan jam dengan peranti anda. Jika tidak, mesej SOS tidak dapat dihantar kerana versi jam ini adalah versi Bluetooth, bukan LTE. Kami sebenarnya menjalankan eksperimen untuk ciri ini, tetapi gagal kerana pengulas jatuh tidak cukup kuat.

Untuk ketahanan bateri, Galaxy Watch 3 hadir dengan bateri 340mAh yang dikatakan mampu bertahan sehingga 56 jam. Kami telah menguji ketahanannya untuk larian dan ia agak ‘memakan’ bateri, dari 99% sehingga 75% dalam masa yang singkat. Selain itu, kami perlu mengecas jam kira-kira 2 hari sekali. Jam ini boleh bertahan hampir 2 hari, bergantung kepada penggunaan.

tetapan untuk Fall Detection dan kontak SOS
Dengan Pengecas Wayarles Magnetik, jam pintar ini juga boleh menggunakan fungsi pengecasan wayarles berbalik

Akhir sekali, kami boleh katakan bahawa kami berpuas hari dengan sambungan Bluetooth kerana jam ini akan berhubung secara automatik dengan telefon setelah dikesan. Walaupun kami selalunya tidak membawa telefon semasa bersenam, jam akan mengemaskini hasil senaman secara automatik dengan telefon secara pantas. Tambahan pula, walaupun kami tidak membawa jam ini semasa berenang kerana tali kulitnya, tetapi kami cuba membuang tali dan membasuhnya dengan air paip. Hasilnya, ia masih berfungsi seperti biasa.

Secara keseluruhan, reka bentuknya agak bergaya dan stylo dengan paparan yang masih boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah cahaya matahari. Terdapat hanya satu model yang tersedua di Malaysia iaitu model Bluetooth yang mungkin menjadi faktor penggemar kesihatan dan senaman tidak membelinya. Galaxy Watch 3 45mm berharga RM1,799. Jadi, jika poket anda tidka terlalu tebal, anda boleh mengintai Galaxy Active 2. Apakah pendapat anda? Beritahi kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita dan ulasan teknologi terkini.

Spesifikasi dan ciri teknologi Samsung Galaxy Watch 3

Kelebihan: Bergaya, paparan yang cantik, bezel boleh putar

Kekurangan: Berat (walaupun untuk lelaki), tali jam tangan asal tak sesuai untuk bersenam

Kesimpulan: Baik untuk pengguna telefon Galaxy yang inginkan jam tangan pintar bergaya

Exit mobile version