Site icon TechNave BM

Ulasan Samsung Galaxy Watch4 – Jam tangan pintar yang sangat mesra pengguna

Pada bulan lalu, Samsung telah melancarkan lima buah gajet elektronik yang baru dalam acara Samsung Unpacked dan salah satu produk tersebut adalah Samsung Galaxy Watch4. Ia ditawarkan dalam dua saiz iaitu 40mm atau 44mm dan dalam ulasan ini, penulis akan mengulas tentang varian 40mm Bluetooth.

Produk ini menampilkan skrin Super AMOLED berukuran 1.2 inci dengan sokongan skrin sentiasa hidup (always on display) dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam, perak dan emas-merah jambu. Jam ini mempunyai berat 25.9 gram, jadi ia mudah dipakai dalam situasi harian atau senaman. Tali jamnya dibuat dengan silikon manakala badan jam ini dibuat dengan rangka besi Armor Aluminium dan terdapat dua butang fizikal di bahagian sisi iaitu Home Key dan Back Key.

Rekaan depan dan belakang Galaxy Watch4
Mudah dipakai walaupun dengan pergelangan tangan saya yang kecil
Pilihan warna Galaxy Watch4

Butang tersebut mempunyai permukaan rata dan bukannya melengkung seperti dalam model sebelum ini, menjadikan rekaan Galaxy Watch4 nampak lebih kemas dan ringkas. Daripada segi ketahanan, jam tangan ini dibuat dengan kaca Corning Gorilla Glass DX+ serta dilengkapi rating kalis air 5ATM + IP68 dan rating tahan impak MIL-STD-810G.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Exynos W920 Dual Core, RAM 1.5GB dan storan dalaman 16GB. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, CPU Watch4 adalah lebih pantas sebanyak 20%, GPU pula lebih pantas sebanyak 10 kali ganda dan RAM adalah 50% lebih tinggi.

Watch4 juga adalah jam tangan pintar pertama yang dilengkapi perisian One UI Watch 3 berdasarkan Android Wear OS. Anda kini boleh mengakses pelbagai aplikasi kegemaran dari Google Play Store seperti pemain muzik, aplikasi kesihatan atau Google Maps dengan menyentuh skrin jam tersebut. Selain itu, semua aplikasi yang telah dipasang dalam telefon pintar akan dipasang ke dalam Watch4 secara automatik.

Google Maps kini berada di tangan anda!
Boleh dengar lagu dengan fon telinga wayarles

Anda juga boleh kawal jam tangan ini melalui kawalan suara Bixby Voice atau gerakan tangan Gesture Controls. Bixby boleh diakses dengan menekan Home Key selama 1-2 saat dan anda boleh menyuarakan kehendak anda. Untuk Gesture Controls pula, jika anda ingin menjawab panggilan, anda hanya perlu menggerakkan tangan ke atas dan bawah sebanyak dua kali untuk berbuat demikian. Jika anda tidak ingin menjawabnya pula, anda hanya perlu memutar tangan. Penulis berpendapat jam ini boleh membaca gerakan tangan dengan baik.

Seperti yang anda boleh jangkakan, Watch4 varian Bluetooth ini memerlukannya untuk sentiasa dihubungkan kepada telefon pintar agar ia boleh menjawab panggilan. Walau bagaimanapun, jika anda ingin menamatkan panggilan, anda masih perlu menekan butang end call pada skrin jam. Penulis berharap Samsung akan memperkenalkan Gesture Control untuk fungsi ini.

Gerakan tangan untuk jawab panggilan

Fungsi senaman juga telah diperbaharui dengan lebih 90 jenis senaman, iaitu jauh lebih banyak berbanding 40 sahaja dalam Galaxy Watch3. Anda juga boleh bersaing dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dalam cabaran berkumpulan seperti jumlah langkah kaki. Lencana (commemorative badges) dan sistem pemarkahan boleh menjadikan senaman lebih seronok bersama orang lain. Untuk menambah baik senaman di rumah, anda boleh berkongsi skrin dengan televisyen melalui fungsi Smart View untuk menjejak senaman anda.

Galaxy Watch4 dilengkapi beberapa sensor khas untuk mengukur tahap kesihatan fizikal pemakai, seperti sensor 3-in-1 BioActive Sensor yang boleh mengukur degupan jantung, komposisi tubuh serta bacaan electrocardiagram (ECG).

Dengan teknologi Bioelectrical Impedance Analysis (BIA) jam ini boleh mengukur peratusan lemak badan, otot tulang (skeletal muscle), jumlah air dan BMI dalam masa 15 saat sahaja. Untuk mengaktifkan fungsi ini, anda hanya perlu meletakkan jari pada kedua-dua butang fizikal dan keputusannya akan ditunjukkan dalam skrin jam serta aplikasi Samsung Health. BIA menggunakan bahan konduktif pada butang Watch4 serta salutan chromium silicon carbon nitride di bahagian bawah jam.

Boleh paparkan kalori, degupan jantung dan masa bersenam
Cara mengukur komposisi tubuh
Lebih banyak maklumat dalam aplikasi Samsung Health
Lakukan senaman bersama ahli keluarga dan rakan dengan pelbagai cabaran menarik

Penjejak tidur (sleep tracker) dalam Watch4 juga telah diperbaharui berbanding model lepas. Fungsi pengurusan tidur (advanced sleep management) boleh mengukur corak dengkuran, tahap oksigen dalam darah dan akan memberi markah untuk menilai kualiti tidur. Untuk semak penilaian tidur, anda hanya perlu lihat skrin Watch4 dan aplikasi Samsung Health selepas anda bangun. Penulis merasakan ciri ini sangat bernilai untuk meningkatkan mutu tidur anda.

Untuk bateri pula, Galaxy Watch4 dilengkapi kapasiti 247mAh yang menyokong pengecasan magnetik wayarles. Ia boleh bertahan sehingga 40 jam daripada pengecasan penuh, manakala pengecasan selama 30 minit pula boleh menghidupkan jam ini selama 10 jam. Sewaktu penulis memakainya untuk tidur selama lapan jam, ia menggunakan 38% daripada bateri (55% ke 17%) manakala baki 17% itu dihabiskan dengan larian pagi selama 24 minit.

Secara kasar, penulis merasakan pengecasan penuh boleh bertahan selama dua hari, namun ia masih bergantung kepada penggunaan anda. Terdapat juga mod penjimatan kuasa jika anda ingin memanjangkan hayat baterinya.

Terdapat mod penjimatan kuasa untuk panjangkan hayat bateri
Pengecas magnetik turut disertakan dalam kotak

Secara keseluruhan, penulis merumuskan bahawa Samsung Galaxy Watch4 mempunyai reka bentuk yang sangat ringkas serta dilengkapi skrin cantik yang cukup terang untuk digunakan bawah cahaya terik. Sungguh pun begitu, penulis berharap ia boleh digunakan sepenuhnya dengan telefon bukan Samsung kerana penulis tidak dapat menghubungkannya dengan HUAWEI P10 dan iPhone 11. Setakat ini, ia hanya boleh digunakan dengan telefon Samsung.

Galaxy Watch4 Bluetooth 40mm dijual pada harga RM899, manakala 44mm pula berharga RM999. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Spesifikasi

Kelebihan: Mesra pengguna, skrin cantik, teknologi BIA

Kekurangan: Tidak boleh digunakan dengan jenama telefon bukan Samsung

Kesimpulan: Sempurna untuk mereka yang inginkan jam bergaya untuk melengkapkan telefon Samsung Galaxy

Exit mobile version