Site icon TechNave BM

Ulasan vivo X200 FE – Telefon “flagship” Android paling comel

Jika anda inginkan telefon Android andalan (flagship) dalam saiz yang kompak pada 2025, anda tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada Samsung Galaxy S25 atau Google Pixel 9 Pro. Ini adalah kebanyakan telefon andalan di Malaysia hanya ditawarkan dalam saiz 6.6 inci dan ke atas.

Walau bagaimanapun, kini terdapat satu pilihan baru yang terdapat dalam pasaran tempatan iaitu vivo X200 FE. Berbeza dengan vivo X200 (berukuran 6.67 inci) atau vivo X200 Pro (berukuran 6.78 inci), vivo X200 FE mempunyai reka bentuk 6.3 inci sahaja, menjadikannya telefon andalan vivo pertama yang ditawarkan dalam saiz kompak ini.

Dengan reka bentuk sekecil ini, adakah vivo terpaksa mengorbankan ciri-ciri canggih lain yang terdapat dalam siri vivo X200? Dan soalan yang lebih penting, adakah ia berbaloi dengan harganya yang berjumlah RM3,199? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.

Rekaan – Mudah digenggam!

Dengan saiz skrin sekecil 6.3 inci, vivo X200 FE sangat mudah digenggam. Sebagai seorang pengguna yang sudah biasa dengan skrin sekitar 6.7 inci, saya akui bahawa saya rasa kekok apabila memegang telefon ini. Apabila saya cuba menaip, saya dapati jari saya sering terkena kekunci yang salah kerana saiz kekuncinya kini lebih kecil, jadi saya perlu ambil masa sedikit untuk biasakan diri dengan vivo X200 FE. Sungguh pun begitu, saya pasti ada ramai pengguna yang lebih gemar bentuk telefon kecil seperti ini, terutamanya mereka yang mempunyai saiz tangan kecil. Satu lagi faedah saiz kecil ini adalah beratnya yang ringan iaitu sekadar 186 gram sahaja.

Selain reka bentuk yang kecil, satu lagi perkara menarik mengenai luarannya adalah pilhan warna yang ditawarkan. Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna merah jambu pada bahagian belakang yang dibuat daripada kaca, serta warna hitam pada bonggol kamera dan rangka aluminium di bahagian sisi. Ia membuatkan saya terfikir tentang konsep “Blackpink” yang jarang terdapat pada telefon lain. 

Pilihan warna vivo X200 FE

Malah warna-warna lain yang ditawarkan bertemakan pastel, sepert warna biru muda dan kuning. Jika anda inginkan warna yang berprofil rendah, terdapat juga dalam warna hitam. Permukaannnya pula mempunyai sudahan matte yang bermaksud ia tidak akan meninggalkan kesan cap jari dan tidak mempunyai sebarang kilauan.

Rekaan bonggol kameranya juga sangat berlainan jika dibandingkan dengan varian lain dalam siri vivo X200. Model FE ini menampilkan bonggol kamera dengan susunan lensa menegak yang nampak serupa seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan, seperti siri vivo V50.

Walaupun dengan saiz skrin kompak, ia masih mempunyai ketebalan 7.99mm iaitu hampir sama dengan kebanyakan telefon. Terdapat port USB-C 2.0 dan pembesar suara di bahagian bawah dan terdapat butang kuasa dan volume di bahagian sisi kanan.

Daripada segi ketahanan, ia mempunyai rating kalis air IP68 dan IP69, bermaksud ia boleh ditenggelami air sepenuhnya dan akan masih berfungsi dengan baik. Telefon ini juga mempunyai kaca yang dibina dengan Gorilla Glass untuk ketahanan impak yang tinggi, namun vivo tidak menyatakan jenis Gorilla Glass spesifik yang digunakan dalamnya.

Spesifikasi – Lebih rendah berbanding X200 lain

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk vivo X200 FE:

Spesifikasi ringkas dalam ruang tetapan vivo X200 FE

Sebagai sebuah telefon yang dipasarkan dalam kategori “flagship”, ada beberapa aspek mengenai spesifikasinya yang menimbulkan isu. Jika dilihat pada skrinnya sahaja, saya rasa tidak ramai yang akan mengadu tentangnya kerana ia mempunyai ciri-ciri yang bagus. Ia menggunakan panel AMOLED dengan ZEISS Master Color Display untuk penghasilan warna yang pekat, kadar segar semula 120Hz untuk animasi yang lancar sewaktu anda berinteraksi dengan skrin, kecerahan puncak 5,000 nits yang memudahkan anda untuk lihat skrin ini di bawah cahaya matahari terik, serta sempadan bezel yang seragam dan sangat nipis di semua sisi.

Anda juga boleh pilih antara resolusi penuh (1216×2640) untuk kualiti imej yang tajam atau resolusi Full HD (1080×2344) untuk menjimatkan bateri, namun dengan jumlah resolusi yang lebih rendah.

Pengalaman visual yang menarik untuk sebarang kandungan
Pilihan resolusi vivo X200 FE

Sungguh pun begitu, cipsetnya mungkin akan menimbulkan tanda tanya kerana ia menggunakan MediaTek Dimensity 9300+. Secara kasar, ia masih boleh menjana prestasi yang tinggi untuk segala kegunaan anda, namun ia tidak setanding dengan Dimensity 9400 yang terdapat pada vivo X200 dan vivo X200 Pro. Malah, cipset ini tidak banyak bezanya dengan Dimensity 9300 yang digunakan pada vivo X100 Pro pada tahun lalu.

Adakah ini merupakan isu yang besar? Pada pendapat saya tidak kerana vivo X200 FE masih boleh hasilkan prestasi yang sangat laju dan lebih daripada cukup untuk kebanyakan pengguna. Cuma apabila ia dibandingkan dengan adik-beradiknya dalam siri X200, jelas sekali vivo X200 FE adalah model yang paling perlahan.

Untuk pasaran Malaysia, ia cuma ditawarkan dalam satu sahaja varian memori iaitu storan dalaman UFS3.1 512GB dan RAM LPDDR5X 12GB. Saya rasa kapasiti storan itu sudah cukup besar, jadi tiada masalah walaupun telefon ini tidak mempunyai memori slot kad microSD. RAM LPDDR5X sudah terbukti sebagai RAM telefon yang paling laju buat masa ini, namun storan UFS 3.1 tidak menawarkan kelajuan baca/tulis laju seperti UFS 4.0 yang terdapat pada siri vivo X200 yang lain.

Antara muka lalai (default UI) pada vivo X200 FE

Telefon ini menggunakan perisian Funtouch OS 15 berdasarkan Android 15 dan pengalaman saya menggunakannya adalah sangat lancar dan mesra pengguna. Ia masih menawarkan fungsi-fungsi kecerdasan buatan (AI) seperti Google Gemini, Circle to Search with Google, AI Screen Translation, AI Captions dan banyak lagi. Sungguh pun begitu, saya tidak pasti berapa lamakah telefon ini akan menerima kemas kini pada masa hadapan. 

Prestasi – Setaraf flagship lain untuk 2025!

Berikut adalah markah penanda aras yang saya lakukan untuk vivo X200 FE:

Geekbench mencatatkan prestasi vivo X200 FE yang mengatasi telefon andalan tahun lepas, namun tidak cukup untuk menyaingi telefon andalan tahun ini yang dilengkapi Snapdragon 8 Elite
3DMark menunjukkan prestasi yang menurun ketara antara Loop 1 hingga Loop 3, namun mengekalkan prestasi yang menurun dengan lebih sekata selepas Loop 4

Semestinya dengan cipset Dimensity 9300+, ia boleh melakukan semua tugasan harian seperti membalas mesej, melayari media sosial, menonton video dan banyak lagi dengan sangat pantas. Untuk bermain game terkini seperti Genshin Impact dan Delta Force dengan tetapan grafik tertinggi juga tidak mengalami banyak masalah. Saya tidak mengalami penurunan kadar bingkai yang ketara walaupun dengan bermain selama sejam.

Daripada segi suhu, saya juga tidak mengalami suhu yang terlalu panas sewaktu memegang telefon ini sambil bermain game. Ia tidak pernah mengalami lebih daripada 45°C. Walaupun dengan saiz telefon yang agak kecil, ia masih mempunyai saiz kamar wap 3830mm² yang agak besar untuk melesapkan haba dengan lebih efisien.

Genshin Impact boleh dimainkan dengan lancar dalam tetapan grafik tinggi
Delta Force juga lancar, namun mungkin agak tersangkut-sangkut sewaktu anda berada dalam asap

Untuk hayat bateri, walaupun vivo X200 FE merupakan varian yang paling kecil dalam siri X200, ia mempunyai kapasiti yang paling besar iaitu 6,500mAh. Untuk penggunaan biasa, ia mampu bertahan sehingga dua hari, manakala penggunaan yang berat dengan gaming dan komputer akan mampu membuatnya bertahan sehingga sehari sahaja. Sebagai rujukan, sewaktu saya memainkan Genshin Impact selama 30 minit, ia menggunakan sekitar 11% daripada kapasiti bateri.

Sewaktu mengecas pula, bateri ini menyokong kadar pengecasan pantas 90W dan pengecas 90W itu turut disertakan dalam kotak. Dengan pengecas tersebut, telefon ini mengambil masa sekitar sejam untuk mengecas penuh daripada 0%. Perlu dinyatakan bahawa anda perlu aktifkan sendiri Fast Charging untuk mendapatkan pengecasan penuh daripada pengecas 90W yang disertakan. Selain itu, telefon ini tidak mempunyai pengecasan wayarles yang mungkin akan mengecewakan peminat siri vivo X.

Bateri penuh mampu memberikan Screen-On-Time (SOT) selama 21 jam!
Pengecasan daripada 1% hingga 91% mengambil masa 57 minit (2:13pm hingga 3:10pm)
Fungsi Fast Charging itu tidak dihidupkan secara lalai (default), jadi anda perlu hidupkan sendiri

Kini mari kita beralih kepada aspek yang sangat penting untuk siri vivo X iaitu kameranya. Walaupun dengan saiz yang kecil, vivo X200 FE tidak berkompromi terhadap prestasi kameranya yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto periskop 50MP dengan zum optikal 3x dan kamera ultra-lebar 8MP, semua dengan lensa ZEISS.

Gambar yang diambil dalam situasi terang nampak sangat bagus dengan warna yang pekat dan kawalan cahaya seimbang, manakala gambar yang diambil pada waktu malap pula mempunyai jumlah noise yang sangat rendah. 

UI kamera vivo X200 Pro
Kamera utama
Kamera utama
Kamera utama
Kamera utama
Ultra-lebar
Ultra-lebar
Gambar mod malam
Walaupun ia tidak mempunyai mod makro, fungsi zum boleh digunakan untuk mengambil gambar makro dengan agak baik
Swafoto mod potret

Kamera ini menyokong zum yang sangat jauh, dengan zum lossless sehingga 6x dan zum digital sehingga 100x. Saya mendapati prestasi zumnya sangat bagus kerana walaupun selepas zum sejauh 50x, ia masih boleh hasilkan gambar yang jelas, terutamanya dalam Stage Mode. Perlu diingati bahawa efek pemprosesan AI masih jelas kelihatan, terutamanya sewaktu zum yang sangat jauh. Selain itu, Stage Mode nampak kemas untuk persembahan yang statik (seperti penyanyi yang tidak banyak bergerak), namun ia masih nampak kabur untuk persembahan aktif seperti tarian yang ada banyak gerakan.

Ia turut mempunyai lampu Aura Light Portrait untuk mencahayakan gambar potret anda dalam situasi gelap. Bercakap tentang gambar portret, pemisahan antara subjek dengan latar belakang kadang-kadang nampak comot, namun pada kebanyakan masa ia nampak kemas. Dan sudah tentu, ia datang dengan efek bokeh ZEISS yang akan menghasilkan bentuk-bentuk cahaya yang menarik pada latar belakang.

Zum 10x
Mod potret
Mod potret
Stage Mode yang nampak kemas walaupun dalam situasi malap, untuk penyanyi yang tidak banyak bergerak
Gerakan tangan nampak kabur dalam persembahan tarian, walaupun Stage Mode diaktifkan

Untuk rakaman video, ia boleh merakam video pada resolusi 4K 60fps pada kamera belakang dan hadapan. Ia masih boleh menghasilkan kualit video yang cantik dan stabil dalam kebanyakan situasi cahaya, namun perlu diingati bahawa ia hanya boleh zum sejauh 15x sahaja dalam mod video asal dan sejauh 20x sahaja dalam Stage Mode.

Kesimpulan – Flagship yang unik untuk 2025

vivo X200 FE menawarkan pakej yang unik untuk sebuah telefon pintar pada 2025. Ia mempunyai segala fungsi telefon pintar andalan yang dilancar pada tahun ini, namun mempunyai reka bentuk yang jauh lebih kecil dan ringan. Benar, mungkin cipsetnya tidak setaraf telefon andalan lain dan ketiadaan pengecasan wayarles akan menjatuhkan minat anda, namun dengan harga RM3,199, ia adalah sebuah telefon yang serba lengkap untuk peranti bersaiz kecil.

Alternatif yang sesuai kepada vivo X200 FE termasuklah Samsung Galaxy S25 (RM3,999) yang mempunyai skrin 6.2 inci dan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite, namun ia dijual pada harga yang lebih mahal. Satu lagi pilihan adalah Google Pixel 9 (RM3,999) yang akan menerima kemas kini Android pada masa hadapan dengan lebih awal berbanding jenama Android lain, namun harganya jauh lebih mahal. Sebelum ini, ASUS Zenfone dijual dalam pasaran Malaysia sebagai telefon andalan dengan reka bentuk kecil, namun sayangnya ia tidak lagi dijual.

Jika anda tidak kisah dengan harga yang serupa dengan vivo X200 FE dan inginkan bentuk telefon yang lebih konvensional, Nothing Phone (3) (RM3,299) menawarkan reka bentuk yang sangat unik di bahagian belakangnya.

Beritahu kami di Facebook jika anda ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version