Site icon TechNave BM

Ulasan Xiaomi Mi Note 10 Lite – Tanpa 108MP, tapi prestasi bagus tak macam ‘Lite’

Siri Xiaomi Mi Note 10 merupakan siri pertama dalam barisan telefon pintar Xiaomi yang memperkenalkan kamera penta 108MP. Setelah tercetusnya spesifikasi 108MP ini, pelbagai jenama dilihat berlumba untuk memfokuskan spesifikasi kamera.

Seperti biasa, di sebalik kehadiran varian standard dan varian Pro dalam sesebuah siri, kebanyakan jenama akan turut menawarkan varian Lite. Begitu juga dengan siri Xiaomi Mi Note 10, varian Xiaomi Mi Note 10 Lite akhirnya dibawa hadir ke pasaran Malaysia pada hujung April lalu. Sebenarnya, kehadiran varian Lite ini dengan spesifikasi yang agak baik tanpa membuang keseluruhan spesifikasi menonjol adalah bagus! Baca di bawah untuk tahu kenapa!

Reka bentuk – Seperti flagship, tidak seperti Lite

Seperti tajuk di atas, reka bentuk Xiaomi Mi Note 10 Lite sememangnya seperti sebuah flagship menurut pandangan peribadi saya. Walaupun terdapat beberapa ciri yang tidak sama seperti Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro, tetapi ia tidak kelihatan seperti diturun taraf.

Mi Note 10 Lite hadir bersama paparan AMOLED 6.47 inci beresolusi 1080 x 2340 piksel (sama seperti varian lain) bersama potongan bertakuk dan sisi melengkung. Kepada anda yang tidak berminat dengan skrin sisi melengkung, mungkin peranti ini bukan untuk anda. Namun, untuk peminat skrin sisi melengkung, anda pasti berpuas hati.

Antara aksesori yang hadir termasuk pengecasan pantas 30W
Skrin bertakuk
Skrin bertakuk dengan lebih dekat
Selesa di tangan
Lihat dengan lebih dekat panel belakang Glacier White
Potongan reka bentuk kamera belakang yang berlainan dengan versi Mi Note 10 yang lain
Logo Xiaomi di panel belakang
Bahagian bahawa, bicu audio, port USB-C, gril pembesar suara
Bahagian atas
Bahagian kiri kosong
Bahagian kanan terdapat butang ‘power’, ‘volume’ dan dwi-SIM
Lihat reka bentuk lengkungan

Selain daripada reka bentuk panel Corning Gorilla Glass 5 yang melengkapkan reka bentuk berciri flagship, pilihan warnanya juga menarik. Memandangkan sudahan panel belakangnya adalah berkilau, maka cap jari anda bakal melekat dengan jayanya. Namun, mungkin disebabkan rekaan pilihan warna campuran yang menghasilkan efek kilauan, cap jari pada panel warna Glacier White yang ada pada kami tidak kelihatan.

Melihat kepada rekaan potongan susunan kameranya, ianya mungkin kelihatan terbonjol jika dilihat daripada hadapan, tetapi nipis sahaja jika dilihat daripada sisi. Rekaannya berlainan dengan varian Xiaomi Mi Note 10 yang lain.

Corning Gorilla Glass 5
Glacier White

Di sisi reka bentuk yang lain, sebenarnya peranti seberat 204g ini lebih ringan daripada varian lain, tetap masih agak terasa beratnya. Namun, hal ini mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan telefon pintar saya, Xiaomi Mi 9. Peranti dengan berat sebegini juga tidak menjadi masalah jika anda pertimbangkan tentang kapasiti baterinya yang besar (salah satu faktor berat peranti).

Ciri dan Spesifikasi – Hanya kamera yang berubah

Untuk pengetahuan anda, spesifikasi menonjol pada sesebuah siri biasanya diragut apabila tiba pada versi Lite. Seperti yang sudah dinyatakan pada awal ulasan, Xiaomi hanya menukar spesifikasi penting seperti tetapan kamera sahaja. Agak bagus kerana Xiaomi kelihatannya masih mempertimbangkan pengalaman bakal pengguna peranti Lite ini.

Apa yang penting, Xiaomi mengekalkan paparan AMOLED 6.47 inci dan cipset Snapdragon 730G. Walaupun tetapan kamera utamanya sudah berbeza dengan Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro, tetapi Xiaomi masih baik hati untuk sediakan kamera utama 64MP. Anda boleh merujuk spesifikasi asasnya di vawah atau klik pada pautan ini untuk perbandingan spesifikasi di antara variannya yang lain.

Ciri sensor cap jari di bawah skrin
Antara muka kamera
Antara muka halaman utama
Pengecasan pantas 30W

Kelihatannya, tiada perbezaan besar atau turun taraf besar selain daripada perbezaan tetapan kamera. Perlu anda ketahui juga Xiaomi Mi Note 10 Lite tidak mempunyai fungsi pembatalan hingar aktif seperti Mi Note 10 atau Mi Note 10 Pro, tetapi mengekalkan bicu audio 3.5mm.

Prestasi – Hampir terbaik untuk versi Lite

Menurut pandangan peribadi kami, versi Lite hanya adil untuk dibandingkan dengan versi Lite lain sahaja. Secara keseluruhan, prestasi Mi Note 10 Lite ini sangat memuaskan! Namun, terdapat juga kelemahan dari sudut pandangan kami jika diperhatikan satu persatu dari pelbagai sudut.

Jika anda penggemar peranti skrin melengkung di sisi, mungkin anda akan gembira menggunakan skrin melengkung di sisi AMOLED 6.47 inci Mi Note 10 Lite. Namun, jika anda tidak menggemarinya, anda akan sentiasa menemui masalah seperti warna skrin yang berbeza pada lengkungan dan tersilap sentuh skrin di lengkungan sisi.

Warna skrin yang berbeza pada lengkungan sisi
Menonton dalam definisi paling tinggi
Menonton Saitama di Netflix memuaskan!

Di sisi yang lain, pengalaman menonton dengan skrin HDR 10 430 nit ini sangat memuaskan (sehinggakan saya sentiasa mencari Mi Note 10 Lite jika ingin buka Netflix).

Berkenaan prestasi kelancaran, Mi Note 10 Lite boleh digunakan dalam pelbagai aspek termasuklah tugasan kerja yang boleh dilakukan melalui telefon pintar, multitasking dan gaming. Mengulas lebih tentang kelancaran, prestasinya yang memuaskan adalah kerana versi Lite ini menggunakan cipset yang sama dengan varian lain, Snapdragon 730G.

Ujian telah dijalankan melalui penanda aras AnTuTu dan 3DMark. Anda boleh melihat markahnya melalui gambar di bawah. Walau bagaimanapun, jika markah penanda aras ini tidak tinggi, ia sebenarnya tidak menggambarkan prestasi sebenar secara tepat. Namun, markahnya boleh bertindak sebagai rujukan sahaja.

Markah di 3DMark
Markah di AnTuTu

Mengenai kelancaran gaming, kami mengujinya dengan Call Of Duty (COD) dan PUBG seperti biasa. Tetapan tertinggi dalam COD adalah grafik ‘Very High’ dan kadar frame ‘Very High‘, manakala tetapan asasnya (default) adalah grafik ‘Medium’ dan kadar frame ‘High‘ untuk pengalaman gaming yang paling lancar.

Sebelum menyimpulkan prestasi gaming, lihat dulu gambar di bawah yang memaparkan tetapan dan pengalaman gaming COD dan PUBG.

Tetapan asas (default)
Tetapan tertinggi
Skrin sebenar jauh lebih memuaskan daripada tangkapan skrin ini

Semasa bermain COD dalam kadar tetapan asas, tiada frame jatuh dan tiada sela masa. Skrin juga tidak memerlukan tekanan yang kuat untuk menggerakkannya, terima kasih kepada paparan AMOLED dan pengoptimuman Game Turbo. Namun, kelihatan sedikit kadar frame yang tidak konsisten jika memainkannya pada tetapan tertinggi.

Kami turut memainkan game PUBG. Tiada rungutan yang boleh dilakukan memandangkan prestasinya lancar sahaja. Namun, tiada pilihan HDR atau Ultra HD untuk anda.

Tetapan tertinggi di PUBG
Memuaskan!

Antara perkara yang paling disukai pada peranti ini adalah kapasiti baterinya yang besar, 5260mAh bersama pengecasan pantas 30W. Pengecasan penuh hanya mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit. Jika anda keluar rumah bersama peranti yang dicas penuh, bateri masih berbaki ketika anda pulang.

Jangka hayat bateri 5260mAh pula bergantung kepada kadar penggunaan anda. Peranti bertahan selama hampir 2 hari melalui penggunaan seperti telefon utama (akses laman media sosial dan sebagainya). Penggunaan yang semakin ringan dan kasual bakal memberi jangka hayat yang lebih lama.

Beralih kepada aspek kamera, kamera utama di panel belakang dihuni lensa lebar 64 MP apertur f/1.9, lensa ultra lebar 8 MP apertur f/2.2, lensa makro 2 MP apertur f/2.4 dan lensa kedalaman 5 MP apertur f/2.4. Kamera hadapan pula dihuni lensa lebar 16MP. Tetapan ini lah yang membezakan varian Lite dan varian Mi Note 10 yang lain.

Prestasi kameranya adalah memuaskan kerana secara asasnya ia mempunyai kombinasi lengkap lensa lebar, ultra lebar, makro dan kedalaman. Bagi penggunaan fotografi tanpa jangkaan terlalu tinggi, sememangnya ia merupakan kombinasi kamera utama dan kamera hadapan yang baik. Anda juga boleh mendapatkan gambar berdefinisi tinggi HDR yang baik.

Kamera 64MP HDR
Kamera 64MP
Kamera 64MP; langit biru!
Mod makro; nampak tekstur bunga dengan agak jelas
Lagi gambar mod makro
Lensa biasa (bandingkan dengan gambar di bawah)
Lensa ultra lebar 8MP lebih luas (posisi yang sama seperti di atas)
Tanpa zum (bandingkan dengan gambar di bawah)
Zum 10x; masih boleh diterima kerana tidak terlalu pecah gambarnya
Lagi gambar mod malam jam 7.40PM
Kamera tanpa mod potret
Menggunakan mod potret

Penggunaan mod malam juga berfungsi dengan baik. Anda dapat melihat butiran dengan lebih jelas dan cahaya tidak berselerak.

Prestasi kamera hadapan 16MP diklasifikasikan sebagai prestasi biasa. Bukan kerana ianya tidak bagus, tetapi lensa 16MP adalah lensa standard untuk peranti kelas pertengahan. Tiada rungutan di sini kerana ia mampu menghasilkan gambar bokeh yang memuaskan juga.

‘Selfie’ biasa
‘Selfie’ potret

Walaupun peranti ini versi Lite, namun ia masih boleh menghasilkan video berkualiti tinggi kerana kamera 64MP menyokong sehingga 2160p atau 4K pada 30fps.

Jika anda menyukai warna dengan kontras yang agak tinggi, anda mungkin bakal menyukai rakaman video melalui Mi Note 10 Lite ini. Oleh kerana kadar kontras tingginya menyebabkan warna lebih terang dari keadaan asal, prestasi videonya masih berkualiti, tetapi itulah kelemahannya.

Maafkan bayang (shadow) yang tinggi disebabkan rakaman semasa tengah hari (panas terik)

Oleh kerana kekurangan lensa 108MP, maka tetapan kamera Mi Note 10 Lite hanyalah seperti peranti kelas pertengahan lain yang mempunyai kamera utama 64MP. Namun, mungkin tidak menjadi masalah jika anda sebenarnya hanya mencari peranti kelas pertengahan terbaru dengan harga lebih berpatutan kerana prestasi kameranya adalah memuaskan.

Kesimpulan – Peranti kelas pertengahan berprestasi dengan kamera utama 64MP

Seperti tajuk kecil di atas, begitulah pandangan kami secara keseluruhan. Mi Note 10 Lite adalah seperti peranti kelas pertengahan lain dengan tetapan kamera 64MP (tanpa lensa 108MP). Ia juga tampil dengan reka bentuk yang berlainan. Jika anda bukan peminat skrin melengkung di sisi, mungkin peranti ini tidak sesuai untuk anda. Apa pun, prestasi penggunaannya memuaskan hati kami.

Oleh kerana harganya adalah RM1,479, terdapat peranti lain dengan harga dan spesifikasi yang seakan sama iaitu HUAWEI nova 7 SE, vivo V19 dan lain-lain. Jika anda melupakan nama Lite, ia sebenarnya seperti sebuah peranti Xiaomi kelas pertengahan berlainan dari siri Mi Note 10, tetapi dengan cipset dan beberapa spesifikasi yang sama.

Adakah anda berpuas hati dengan ulasan Mi Note 10 Lite? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version