Site icon TechNave BM

Ulefone Power Armor 13 tampilkan bateri terbesar dalam telefon, dengan kapasiti 13,200mAh

Ulefone bukanlah satu jenama telefon yang terkenal di seluruh dunia, namun ia masih digemari oleh penggemar teknologi sebagai jenama telefon yang dilengkapi bateri besar serta binaan tahan lasak. Terbaru, mereka telah melancarkan telefon terbaru iaitu Ulefone Power Armor 13 yang menawarkan kapasiti bateri terbesar dalam dunia.

Telefon itu mempunyai bateri 13,200mAh, lebih besar berbanding mana-mana bateri telefon yang dijual setakat ini. Ia juga menyokong pengecasan pantas 33W, pengecasan wayarles 15W dan pengecasan wayarles berbalik 5W. Dengan bateri tersebut, ia juga mempunyai saiz yang besar dengan skrin Full HD+ berukuran 6.81 inci.

Spesifikasi lain terdiri daripada kelas pertengahan, seperti cipset MediaTek Helio G95, RAM 8GB, storan dalaman 256GB, kamera utama 48MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP + kamera makro 2MP dan rating kalis air IP68/69K.

Pada tahun 2019, Energizer pernah memperkenalkan telefon pintar dengan bateri berkapasiti 18,000mAh namun ia tidak dijual secara komersial. Oleh yang demikian, takhta bateri terbesar buat masa ini dimiliki oleh Ulefone Power Armor 13. Setakat ini, masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Adakah ia satu telefon yang anda berminat untuk miliki? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Ulefone

Exit mobile version