Site icon TechNave BM

Usaha Netflix untuk elakkan perkongsian kata laluan telah menjengkelkan ramai pengguna

Buat masa ini, Netflix sedang berusaha untuk mengelakkan perkongsian kata laluan (password sharing) di kalangan pengguna mereka. Dengan perkongsian kata laluan, hanya seorang pelanggan perlu membayar yuran langganan setiap bulan, kemudian kata laluan untuk pelanggan tersebut boleh dikongsi dan diakses oleh ramai orang lain yang tidak membayar yuran.

Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, Netflix memperkenalkan yuran tambahan sebanyak USD2 (~RM8) jika sebuah kata laluan ingin dikongsi kepada seorang lagi pengguna.

Netflix hanya membenarkan pengguna untuk berkongsi kata laluan secara percuma jika para pengguna lain yang menggunakan kata laluan tersebut menetap dalam satu unit kediaman atau rumah. Ini bermaksud anda boleh berkongsi akaun Netflix di kalangan ahli-ahli serumah, namun anda tidak boleh berkongsinya dengan ahli keluarga atau rakan yang menetap secara berasingan.

Netflix sedang mencuba yuran tambahan ini dalam sebuah ujian rintis (pilot program) di Costa Rica, Chile dan Peru namun ia telah menyebabkan kemarahan ramai pengguna dalam negara-negara tersebut. Segolongan pengguna terus membatalkan langganan Netflix, manakala pengguna lain terus berkongsi kata laluan tanpa sebarang tindakan daripada Netflix.

Netflix mengatakan ujian ini adalah progresif dan ia sedang mencuba versi yang berlainan di Peru, Costa Rica dan Chile. Setakat ini masih tiada maklumat jika yuran tambahan ini akan diperkenalkan dalam negara-negara lain.

Syarikat penstriman itu mungkin memperkenalkan yuran tambahan ini kerana mereka mengalami penurunan jumlah pelanggan yang agak ketara sepanjang 2022 setakat ini. Mereka menghadapi saingan hebat daripada perkhidmatan lain seperti Hulu, HBO Max dan Disney+.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Rest Of World

Exit mobile version