Site icon TechNave BM

“Vaksin COVID-19 bukan agenda Illuminati atau New World Order” – Khairy Jamaluddin

Berikutan penularan maklumat palsu tentang pemberian vaksin COVID-19, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin ingin mengesyorkan rakyat bahawa vaksin tersebut bukanlah satu agenda di sebalik batu oleh pihak berkepentingan. Beliau merujuk kepada kebanjiran teori konspirasi yang menyatakan vaksin ini adalah helah terbaru daripada Illuminati atau New World Order untuk melaksanakan agenda mereka.

Dalam sebuah blog rasmi, beliau menjamin bahawa vaksin yang telah dibeli oleh kerajaan Malaysia adalah selamat, berkesan dan telah dibangunkan oleh sains. Jutaan manusia telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dan tidak mengalami sebarang gejala pelik atau perubahan DNA.

Menteri itu mengingatkan rakyat untuk tidak mudah percaya dengan teori konspirasi yang tular dalam WhatsApp dan sebaliknya meletakkan kepercayaan penuh kepada sains. Beliau berharap agar bilangan orang yang mengambil vaksin adalah tinggi bagi mengurangkan jangkitan baru serta meneruskan aktiviti ekonomi seperti biasa.

Khairy turut memberi amaran bahawa sebarang gangguan dalam Program Imunisasai COVID-19 Kebangsaan akan membawa negara ke arah ketidaktentuan ekonomi dan memanjangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: KhairyKJ.com

Exit mobile version