Site icon TechNave BM

Vaksin COVID-19 pertama tiba di KLIA, lebih banyak akan tiba hari ini

Malaysia sudah mula menerima vaksin COVID-19 pertama pada pagi ini yang diterbangkan oleh penerbangan MH604 Malaysia Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Vaksin yang dibuat oleh Pfizer-BioNTech itu dihasilkan oleh kilang Pfizer di Belgium dan diterbangkan dari Lapangan Terbang Leipzig, Jerman.

Penerbangan tersebut membawa 312,390 dos vaksin dan disambut di KLIA oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan ketibaannya di KLIA, vaksin tersebut akan diedarkan oleh syarikat DHL Express ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara. Khairy Jamaluddin mengatakan sejumlah vaksin juga akan tiba di Johor dari Singapura jam 2:00 petang hari ini. Pulau Pinang akan turut menerima vaksin melalui jalan darat dan penerbangan pada jam 6:00 petang.

Beliau mengatakan 54 lokasi di seluruh negara telah pun dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version