Site icon TechNave BM

Valve Steam Deck dilancar: Sebuah konsol ‘gaming’ mudah alih dengan SteamOS, berharga ~RM1,676

Terbaru, Valve telah mengumumkan sebuah konsol gaming mudah alih, Steam Deck. Ia adalah sebuah komputer gaming kompak yang menggunakan SteamOS. Ini bermakna peranti ini boleh memainkan semua game Steam anda dan juga berfungsi sebagai sebuah komputer.

Steam Deck mempunyai faktor bentuk yang hampir sama seperti konsol gaming Nintendo Switch dan PlayStation Vita. Ia hadir dengan batang analog bersama d-pad pada belah kiri dan butang ABXY pada kanannya.

Berbezanya dengan konsol yang lain, Steam Deck hadir dengan dua trackpad yang membolehkan anda mengawal penunjuk tetikus untuk game yang dimainkan dengan tetikus. Konsol ini juga mempunyai 4 analog triggers di atasnya serta 4 lagi butang di belakangnya. Butang ini boleh diubahsuai untuk fungsi tersendiri di dalam game.

https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2021/07/1.mp4

Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi skrin 7 inci IPS LCD dengan resolusi 1280 x 800. Ia mempunyai kecerahan setinggi 400nits dengan sokongan sentuhan. Jika anda mendapatkan varian yang tertinggi, skrinnya menggunakan kaca kalis silau yang memudahkan anda untuk bermain di luar rumah.

Steam Deck ini menggunakan APU AMD yang diubahsuai. CPU konsol ini berasaskan seni bina Zen 2 yang menawarkan 4 teras dengan kelajuan boleh ubah antara 2.4GHz sehingga 3.5GHz. Manakala GPUnya pula menggunakan seni bina RDNA2 dengan 8 unit kiraan.

Untuk storan, Valve menawarkan tiga varian iaitu 64GB eMMC, 256GB NVMe SSD dan 512GB NVMe SSD. Ketiga-tiga model ini hadir dengan RAM LPDDR5 setinggi 16GB.

Steam Deck beroperasi melalui SteamOS 3.0, menyokong Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth 5.0, port USB-C 3.2 gen 2 dan mempunyai bateri bersaiz 40Wh. Valve menyatakan bahawa peranti ini dapat bertahan selama 8 jam untuk game 2D dan turun sehingga 2 jam sahaja untuk game 3D yang memerlukan kuasa tinggi. Anda juga akan mendapat pengecas 45W USB-C PD di dalam kotak.

https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2021/07/2.mp4

Steam Deck dijual pada tanda harga $399 (~RM1,676) untuk model 64GB, $529 (~RM2,222) untuk model 256GB dan $649 (~RM2,726) untuk model 512GB.

Konsol gaming ini boleh dibeli bermula bulan Disember ini di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan United Kingdom.

Sehingga kini, tiada lagi berita mengenai kehadiran peranti ini ke pasaran Malaysia.

Adakah anda berminat dengan konsol baru ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version