Site icon TechNave BM

Video rekaan dedahkan HUAWEI Mate X2 boleh jadi ‘mini-laptop’ dan tablet

Sementara dunia telefon pintar boleh lipat sedang dihangatkan dengan kehadiran Samsung Galaxy Z Fold2, ura-ura mengenai peranti lipat HUAWEI Mate X2 kini tiba di internet. Sumber telah mendedahkan sebuah video rekaan yang memaparkan reka bentuk HUAWEI Mate X2 berdasarkan spesifikasi jangkaan.

Gambar melalui video ini dikongsi oleh pendedah maklumat terkenal di laman Twitter. Berdasarkan video, Mate X2 dilihat menunjukkan bagaimana sekiranya ia benar-benar dilengkapi mod tablet dan mod komputer riba seperti yang telah dijangkakan sebelum ini.

Video ini juga memaparkan stilus HUAWEI S-Pen baharu yang bakal menghuni slot khas pada peranti tersebut. Jika rekaan ini benar, peranti HUAWEI Mate X2 merupakan salah satu peranti boleh lipat premium dengan ciri yang baik. Agak tidak mustahil jika ia memiliki mod komputer riba memandangkan Samsung Galaxy Z Fold2 juga boleh dikekalkan kedudukan lipatan skrin pada sesetengah sudut.

Modul kamera yang terletak pada skrin kedua juga menarik. Anda boleh lihat rekaan skrin kedua yang memaparkan masa, cuaca dan sensor cap jari dalam skrin. Ia dijangka hadir dengan skrin utama berukuran 8.03 inci, lebih besar dari skrin Galaxy Z Fold2 yang berukuran 7.6 inci.

Apa pun, video ini hanyalah rekaan semata-mata berdasarkan spesifikasi jangkaan. Adakah anda berminat dengan peranti boleh lipat premium ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version